08/07/2026
✨ Memelihara Warisan, Mengangkat Identiti ✨
Pada 3 hingga 4 Julai 2026, lebih daripada 45 peserta telah berkumpul di Mari Mari Cultural Village bagi menyertai Kursus Pemurnian Pakaian dan Tarian Etnik Rungus — sebuah program selama dua hari yang memberi fokus kepada pemeliharaan keaslian pakaian tradisional serta seni persembahan budaya etnik Rungus.
Program ini dianjurkan oleh Mari Mari Cultural Village dengan kerjasama rakan-rakan strategik iaitu Lembaga Pelancongan Sabah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, Ritmabayu Dancers, Pasak Ansamung l, Vinusak Collection, Komuniti Kampung Kobuni, Homestay Desa Cinta Kobuni, serta para penggiat budaya yang komited dalam usaha memelihara, memperkasakan dan mempromosikan warisan budaya etnik Rungus.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Tuan Julinus Jeffery Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, yang turut menghargai usaha kolaborasi antara agensi kerajaan, pemain industri pelancongan, penggiat seni budaya dan komuniti tempatan dalam memperkukuhkan pemeliharaan warisan budaya Sabah.
Program ini diakhiri dengan majlis penutupan yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Puan Edna Jessica Majimbun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, yang menekankan kepentingan kesinambungan usaha dalam memelihara budaya dan identiti masyarakat pribumi Sabah.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah serta Puan Emalia Rabin, Penyelaras Homestay Desa Cinta Kobuni, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan komuniti dan memastikan warisan budaya Rungus terus dihargai.
Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang mendalami kepentingan setiap elemen pakaian tradisional Rungus, kaedah pemakaian yang tepat, serta memahami sejarah, nilai budaya dan pergerakan tradisional Tarian Mongigol Sumundai.
Lebih daripada sekadar sebuah kursus, inisiatif ini menjadi platform penting dalam memastikan ilmu, kemahiran dan nilai budaya Rungus terus diwarisi oleh generasi akan datang, di samping memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya yang autentik.
Mari Mari Cultural Village merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik, tenaga pengajar, penggiat budaya dan para peserta yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini:
Memelihara tradisi, meraikan budaya, memastikan warisan Sabah terus hidup. ❤️