29/10/2025
𝐏𝐄𝐋𝐀𝐍𝐂𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐊𝐀𝐌𝐏𝐔𝐍𝐆 𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐓 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐄𝐊𝐎𝐋𝐀𝐇 𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐓 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈 𝐀𝐓𝐌 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟓 𝐎𝐋𝐄𝐇 𝐏𝐀𝐍𝐆𝐋𝐈𝐌𝐀 𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐓𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐀 (𝐏𝐀𝐓)
MUAR, 28 Oktober 2025 - Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar, telah menyempurnakan Pelancaran Program Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani ATM Tahun 2025 yang berlangsung di Kampung Temiang, dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, Muar, Johor.
Setelah PAT tiba di Kampung Temiang, Mej Ts. Mohd Aizuddin bin Ab Rahman selaku Pegawai Pemerintah 8 Skn RAJD telah memberikan taklimat ringkas kepada PAT berkenaan maklumat projek dan skop kerja yang terlibat bagi Balai Belia, Dewan Terbuka, dan Surau di Kampung Temiang. Projek yang bermula pada 22 September 2025 ini telah berjaya disiap sepenuhnya pada 27 Oktober 2025 dengan penglibatan anggota daripada 8 Skn RAJD dan 10 RAMD. Kerja-kerja yang dilaksanakan merangkumi kerja-kerja naik taraf Balai Belia, Dewan Terbuka serta Surau bagi manfaat penduduk setempat.
PAT turut menyampaikan sumbangan Bakul Rezeki dan wang tunai sebanyak RM200 kepada lima keluarga asnaf di Surau Kampung Temiang. Selain itu, PAT juga berpeluang untuk turut serta dalam aktiviti mengecat tembok surau, sebagai simbol semangat kesukarelawanan dan keprihatinan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap kesejahteraan komuniti.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan ATM dalam memperkukuh jalinan dengan masyarakat melalui pendekatan Madani yang berasaskan nilai kasih, hormat dan kesejahteraan bersama.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Azhan bin Hj Md Othman; Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Mejar Jeneral Dato’ Indera Zahari bin Mohd Ariffin; Ketua Polis Pahang, Komisioner Polis Dato’ Sri Yahaya bin Othman; dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Tuan Hj Mohd Hanafi bin Samad.