06/10/2026
LAPORAN JKKK
6.10.2026 (Selasa) | Tambulion Ulu
Serbuk Racun Ditemui di Dua Lokasi Berasingan di Tambulion Ulu
JKKK Kampung Tambulion Ulu menerima laporan daripada Gaman Buting berhubung penemuan serbuk racun yang ditabur di kawasan perumahannya. Penemuan serupa turut dilaporkan di satu lokasi berasingan.
Lokasi 1: Kawasan perumahan Gaman Buting.
Lokasi 2: Kawasan Jalan Tambulion – SK Tambulion, berhadapan rumah Cikgu Christito Kuala.
Susulan laporan tersebut, Pengerusi JKKK turun ke lokasi bagi meneliti keadaan dan menjalankan siasatan awal. Pihak JKKK turut mendapatkan penjelasan daripada Peladang Kota Belud berkaitan bekalan racun serta dokumen yang ditemui bersama kotak racun berkenaan.
Berdasarkan keterangan saksi mata, rekod pengambilan racun melalui dokumen yang ditinggalkan serta penelitian terhadap kronologi kejadian, pihak JKKK mendapati tiada unsur sabotaj daripada pihak pemilik racun. Sebaliknya, terdapat petunjuk bahawa kejadian tersebut berkait dengan tindakan individu yang telah memasuki kawasan berkenaan tanpa kebenaran.
Menurut saksi mata, seorang individu berbaju kuning telah dilihat memasuki kawasan rumah pada awal pagi. Saksi kemudiannya cuba menjejaki individu tersebut, namun gagal mengesannya kerana kejadian berlaku dalam tempoh yang singkat. Hasil pemeriksaan di kawasan rumah pemilik racun turut menemukan kesan kotak racun dengan serbuk racun bertaburan di luar pagar.
Berdasarkan hasil siasatan tersebut, Pengerusi JKKK telah memberikan pandangan dan seterusnya berbincang bersama pengadu serta pihak-pihak yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap aduan yang diterima.
Hasil perbincangan, semua pihak bersetuju bahawa tiada unsur sabotaj daripada pemilik racun, manakala kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada tindakan pihak yang telah menceroboh kawasan berkenaan. Dengan persetujuan pihak-pihak yang terlibat, perkara tersebut telah diselesaikan secara aman dan dianggap selesai di peringkat komuniti.
JKKK menyeru penduduk supaya meningkatkan pemantauan keselamatan di kawasan rumah masing-masing dan segera melaporkan sebarang bahan atau aktiviti mencurigakan kepada JKKK. Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak menyentuh atau mengalihkan bahan yang tidak dikenal pasti.
Sekiranya kejadian berulang atau terdapat bukti baharu berkaitan pencerobohan atau sabotaj, perkara tersebut akan dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan lanjut.
JKKK merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Gaman Buting dan Tompinai Pius atas kerjasama serta sikap terbuka yang telah mempermudahkan urusan siasatan bersama pihak Peladang dan JKKK.