24/10/2026
24 OKTOBER 2026 | SABTU
Majlis Perasmian Zon Tumpuan Pelancongan PATUH 2026 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan telah berlangsung di Laman Warisan Kampung Laut, Tumpat. Inisiatif ini merupakan satu langkah proaktif dalam memperkukuh pematuhan undang-undang dalam kalangan peniaga khususnya bagi kesalahan berulang di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan dan keselesaan pengguna di kawasan tumpuan pelancongan.
Program PATUH turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai agensi seperti KPDN, Jabatan Kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis dan agensi berkaitan yang lain. Penilaian terhadap premis perniagaan merangkumi pelbagai aspek penting seperti kebersihan premis, kemudahan tandas, paparan tanda harga yang jelas, promosi kepada pengguna serta kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Usaha ini bertujuan memastikan para peniaga sentiasa mengutamakan amalan perniagaan yang beretika, bersih dan mesra pelanggan.
Pelaksanaan Zon Tumpuan Pelancongan PATUH 2026 bukan sahaja tertumpu kepada kedai runcit, pasar dan pusat beli-belah malah turut merangkumi kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya. Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan keyakinan pelancong, memperkukuh imej destinasi serta mewujudkan persekitaran pelancongan yang lebih berkualiti, selesa dan selamat. Semoga usaha berterusan ini menjadi pemangkin kepada kemajuan industri pelancongan negeri Kelantan sekali gus mengundang lebih ramai pelancong untuk menerokai keunikan warisan, budaya dan keindahan negeri Kelantan.
Majlis Perasmian Zon Tumpuan Pelancongan PATUH 2026 telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YBrs Tuan Aris bin Mamat.
°