05/10/2026
PERKUKUH KESIAPSIAGAAN ASET, JPJ KELANTAN LAKSANA KAWAD KHAS KENDERAAN
Gua Musang, 5 Oktober 2026 – Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Kelantan telah melaksanakan Kawad Khas Kenderaan Siri 1 Tahun 2026 bertempat di Stesen Penguatkuasa Mentara, Gua Musang, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan jabatan dalam memastikan tahap kesiapsiagaan, keselamatan dan pengurusan kenderaan jabatan sentiasa berada pada tahap optimum.
Kawad khas tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Mohd Misuari bin Abdullah, Pengarah JPJ Negeri Kelantan, dengan turut dihadiri Ketua Seksyen Operasi, Ketua JPJ Cawangan Gua Musang, Ketua-ketua Stesen Penguat Kuasa serta barisan penyelia kenderaan daripada lima Stesen Penguatkuasa di negeri Kelantan.
Sebanyak 12 buah kenderaan berlogo JPJ telah terlibat dalam pemeriksaan berkenaan. Pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan sendiri oleh Pengarah JPJ Negeri Kelantan bagi menilai keadaan semasa kenderaan, termasuk aspek fizikal, keselamatan, penyelenggaraan dan tahap kesiapsiagaan kenderaan untuk digunakan dalam pelaksanaan tugas serta operasi jabatan.
Pelaksanaan kawad ini turut memberi ruang kepada pihak pengurusan mengenal pasti dengan lebih awal sebarang keperluan penyelenggaraan, pembaikan atau tindakan susulan terhadap kenderaan, sekali gus memastikan setiap aset kerajaan diurus secara sistematik, berhemah dan berakauntabiliti.
Kawad Khas Kenderaan Siri 1 Tahun 2026 mencerminkan komitmen pengurusan tertinggi JPJ Negeri Kelantan dalam membudayakan pengurusan aset yang cekap serta memastikan kenderaan jabatan sentiasa berada dalam keadaan selamat, terurus dan bersedia bagi menyokong kelancaran operasi serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Inisiatif ini juga selari dengan usaha JPJ Negeri Kelantan untuk terus memperkukuh imej sebuah organisasi penguatkuasaan yang profesional, berdisiplin dan berintegriti.
Teruskan Ikuti laman sosial rasmi JPJ Negeri Kelantan untuk informasi terkini.
-80