15/09/2026
MAJLIS KUNJUNG HORMAT DAN PERTEMUAN BERSAMA PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NGO) MUALLAF
Jabatan M***i Negeri Kelantan telah mengadakan Majlis Kunjung Hormat dan Pertemuan Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Muallaf bertempat di International Islamic Information & Dakwah Centre (IIDAC), Taman Hijau, Kota Bharu pada 03 Rabiulakhir 1448H bersamaan 15 September 2026M (Selasa).
Majlis ini diadakan sebagai wadah untuk memperkukuh hubungan serta membina jaringan kerjasama antara Jabatan M***i Negeri Kelantan dengan pertubuhan-pertubuhan yang terlibat dalam usaha membimbing, menyantuni dan membantu komuniti muallaf di negeri Kelantan.
Majlis dimulakan dengan ucapan serta penerangan ringkas berkaitan fungsi dan peranan Jabatan M***i Negeri Kelantan, khususnya dalam bidang kefatwaan serta penyampaian kefahaman berkaitan hukum syarak kepada masyarakat.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan oleh Yang Berhormat Sahibus Samahah Dato’ Biji Sura, Timbalan M***i Kerajaan Negeri Kelantan. Ucapan tersebut turut menekankan kepentingan kerjasama antara institusi agama dan NGO dalam memastikan kebajikan serta keperluan komuniti muallaf terus diberi perhatian secara bersepadu.
Pertemuan turut disusuli dengan sesi perkongsian dan dialog bersama pihak NGO yang membuka ruang kepada para peserta untuk berkongsi pengalaman, pandangan serta isu-isu berkaitan pengurusan dan kebajikan muallaf. Sesi ini juga menjadi platform bagi mengenal pasti ruang kerjasama yang boleh diperkasakan antara Jabatan M***i Negeri Kelantan dengan NGO yang terlibat.
Antara NGO yang terlibat dalam pertemuan ini ialah IIDAC, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kelantan, Persatuan India Muslim Kelatan (KIMA), Persatuan Dayak Muslim Kelantan, Kelab Kebajikan Baitul Hijrah (KKBH) dan Hidayah Centre.
Pertemuan ini diharapkan dapat memperkukuh jaringan strategik antara Jabatan M***i Negeri Kelantan dengan NGO Muallaf, khususnya dalam usaha memperkasa bimbingan keagamaan, dan pembangunan komuniti muallaf. Kerjasama berterusan antara pihak-pihak berkepentingan juga penting bagi memastikan komuniti muallaf mendapat sokongan dan bimbingan yang sewajarnya dalam menjalani kehidupan sebagai sebahagian daripada masyarakat Islam.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama para peserta sebelum diteruskan dengan jamuan makan tengah hari.