29/09/2026
Teringat pengalaman sendiri.
Saya pernah berada dalam keadaan yang hampir sama — apabila kehendak kepimpinan tidak semestinya sehaluan dengan kehendak akar umbi. Saya tahu bagaimana rasanya berada di tengah-tengah keadaan begitu.
Pengalaman itu banyak mengajar saya. Dalam politik, perbezaan pilihan itu biasa. Tetapi kalau tidak diurus dengan matang, ia mudah bertukar menjadi luka, perpecahan dan akhirnya budaya yang toksik.
Sebab itu saya percaya, pemilihan sebaiknya dibuat secara terbuka, telus dan demokratik. Biar ahli menentukan. Menang kita raikan, kalah kita terima. Selepas itu, kembali duduk dalam satu rumah dan teruskan perjuangan bersama.
Baru-baru ini PGRS sendiri melalui proses penstrukturan, daripada DUN kepada Bahagian. Daripada 74 Ketua Bahagian sebelum ini, hanya 26 meneruskan kepimpinan di peringkat Bahagian. Sudah tentu ada bunyi dan tidak puas hati — adatlah apabila berlaku perubahan sebesar ini.
Namun Alhamdulillah, ia berjaya ditangani dengan baik. Tahniah kepada kepimpinan PGRS dan semua yang memilih untuk menerima, bertolak ansur dan terus menguatkan parti.
Bagi saya, di situlah nilai sebuah keluarga politik diuji — bukan ketika semuanya berjalan seperti yang kita mahu, tetapi ketika keputusan tidak memihak kepada kita dan kita masih memilih untuk kekal bersama.
Syukur berada dalam sebuah rumah yang walaupun ada perbezaan pandangan dan pilihan, akhirnya memilih untuk saling menguatkan, bukan menjatuhkan.
Apa yang berlaku di mana-mana parti biarlah menjadi pengajaran untuk kita semua — termasuk parti yang saya perjuangkan sekarang, PGRS.
Menang diraikan, kalah diterima. Berbeza pilihan, jangan sampai hilang semangat juang.