08/10/2026
LAPORAN LAWATAN PENGARAH SKM NEGERI SABAH KE KOPERASI SELIAAN WILAYAH PANTAI BARAT SELATAN
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah, Tuan Haji Awg Ruslli bin Mohammad, telah mengadakan lawatan kerja ke tiga buah koperasi seliaan di bawah SKM Wilayah Pantai Barat Selatan, iaitu Koperasi Tolungan Babagon Penampang Berhad, Koperasi Tampasak Penampang Berhad dan Koperasi Terus Kaya Sabah Berhad.
Turut hadir ialah Encik Jamson Daongis, Penyelia Koperasi. Lawatan ini bertujuan meninjau perkembangan aktiviti, prestasi operasi dan kemajuan projek koperasi serta mengenal pasti potensi dan ruang penambahbaikan.
1. Koperasi Tolungan Babagon Penampang Berhad
Koperasi menjalankan aktiviti kedai runcit, sewaan rumah dan bilik serta projek penanaman sayur-sayuran secara hidroponik di Timpangoh, Babagon.
Aktiviti sewaan rumah dan bilik berjalan dengan baik serta menjadi antara sumber pendapatan koperasi. Projek hidroponik p**a dilaksanakan secara kecil-kecilan dan telah menjana pendapatan kepada koperasi.
Koperasi bercadang memohon bantuan Sejati MADANI melalui SKM bagi menaik taraf projek hidroponik, termasuk penyediaan rumah hijau, sistem perpaipan dan pam air, rak tanaman, media tanaman, baja AB serta meter pH dan EC bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pendapatan.
2. Koperasi Tampasak Penampang Berhad
Koperasi menjalankan aktiviti pelancongan berasaskan rekreasi sungai melalui Pelancongan Sopuk dan Pelancongan Sarayo. Pengarah SKM Negeri Sabah turut meninjau kemudahan yang disediakan di Taman Rekreasi Sopuk.
Koperasi telah menerima dana Sejati MADANI berjumlah RM100,000.00 bagi pembangunan dan penambahbaikan kemudahan di Pelancongan Sarayo, antaranya sistem perpaipan, tenaga solar, bot, jaket keselamatan dan kemah.
Selain itu, koperasi turut menerima bantuan Jejak berjumlah RM7,000.00 bagi tujuan promosi sebanyak 30% untuk pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan.
Aktiviti pelancongan koperasi mempunyai potensi untuk terus dikembangkan melalui penambahbaikan kemudahan, aspek keselamatan, promosi serta pembangunan pakej pelancongan yang lebih menarik dan berdaya saing.
3. Koperasi Terus Kaya Sabah Berhad
Koperasi mengusahakan projek penanaman jagung bijian secara komersial di Kampung Penapah Kondis dan Kampung Sugud, Penampang, melibatkan kawasan seluas kira-kira 25 hektar.
Projek ini dilaksanakan secara pertanian hibrid dengan penggunaan teknologi seperti sistem pengairan, pengurusan racun dan pembajaan, penyimpanan data serta Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan hasil tanaman.
Koperasi turut menerima geran daripada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) bagi menyokong pembangunan projek berkenaan.
Projek penanaman jagung bijian ini berpotensi dikembangkan sebagai projek pertanian komersial berskala besar dan menjadi salah satu sumber pendapatan koperasi, di samping menyokong pembangunan sektor agromakanan serta pengeluaran jagung bijian di Sabah.
RUMUSAN
Secara keseluruhannya, lawatan kerja ini memberi peluang kepada pihak SKM untuk meninjau perkembangan, prestasi dan kemajuan projek tiga buah koperasi seliaan di Wilayah Pantai Barat Selatan.
Ketiga-tiga koperasi menunjukkan potensi dalam bidang perniagaan, pelancongan dan pertanian serta memanfaatkan bantuan dan sokongan daripada SKM, MAFFI dan agensi kerajaan berkaitan. Lawatan ini turut membuka ruang untuk mengenal pasti keperluan penambahbaikan dan sokongan lanjut bagi memperkukuhkan operasi, meningkatkan produktiviti serta menjana pendapatan koperasi secara berterusan.