30/09/2026
30 Sept 2026 | Rabu | Kolej Kediaman Numbak, UMS
𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐁𝐀𝐂𝐀𝐀𝐍 𝐘𝐀𝐒𝐈𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐃𝐎𝐀 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐌𝐀𝐓 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐖𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐊𝐎𝐋𝐄𝐉 𝐊𝐄𝐃𝐈𝐀𝐌𝐀𝐍 𝐍𝐔𝐌𝐁𝐀𝐊
Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan bersama-sama warga Kolej Kediaman Numbak (KKN) dalam Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat, satu pengisian yang bukan sahaja mendekatkan kita kepada Allah SWT, malah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga Universiti Malaysia Sabah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin bersama para pelajar Muslim di Blok B1, Aras 11, disusuli doa memohon agar seluruh warga UMS sentiasa diberikan perlindungan, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan kesejahteraan dan kejayaan.
Saya turut mengambil kesempatan melawat beberapa rumah pelajar di Blok B1 bagi melihat sendiri suasana dan kemudahan kediaman mereka. Bagi saya, kebajikan dan keselesaan mahasiswa perlu sentiasa diberikan perhatian kerana kolej kediaman bukan sekadar tempat untuk mereka bermalam, tetapi merupakan rumah kedua sepanjang menuntut ilmu di UMS.
Saya juga sempat beramah mesra dan mendengar sendiri pandangan para pelajar serta warga kolej. Interaksi sebegini amat penting supaya pengurusan universiti sentiasa dekat dengan mahasiswa dan memahami keperluan mereka dari semasa ke semasa.
Dalam amanat ringkas, saya mengingatkan para pelajar supaya memanfaatkan peluang menuntut ilmu di universiti dengan sebaik-baiknya, menjaga disiplin, menghormati antara satu sama lain serta membina sahsiah dan jati diri yang kukuh. Kecemerlangan seorang mahasiswa bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi turut tercermin melalui akhlak, integriti dan keupayaan hidup dalam sebuah komuniti.
Terima kasih kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), pengurusan Kolej Kediaman Numbak, Pusat Non-Residen dan Perumahan Pelajar (PNRF), para pegawai serta semua pihak yang menjayakan majlis pada hari ini. Turut hadir bersama dalam majlis ini Pegawai-Pegawai Utama Universiti dan warga UMS.
Semoga bacaan Yasin dan doa yang dipanjatkan menjadi asbab keberkatan kepada seluruh warga UMS, khususnya anak-anak mahasiswa kita, agar terus diberikan ketenangan, keselamatan dan kekuatan dalam mengejar cita-cita.
Insya-Allah, kita akan terus memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa menjadi antara keutamaan UMS.
Ilmuan Siswa, Komuniti Sejahtera, Masa Depan Lebih Cemerlang.
Drk Mansor