08/10/2026
Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Sabah Maju Jaya.
📍Kota Kinabalu, 8 Oktober 2026 – Delegasi Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) yang diketuai oleh YBhg. Datuk Norlijah binti Haji Danin, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah pada hari ini.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk memberikan taklimat mengenai objektif penganjuran Minggu Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri (MSPA) 2026, khususnya Majlis Malam Anugerah MSPA 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 23 Oktober 2026 bertempat di Grand Ballroom, The Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu.
Penganjuran MSPA 2026 bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama profesional, meningkatkan kompetensi serta memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada para Setiausaha Pejabat atas sumbangan, komitmen dan dedikasi dalam perkhidmatan awam negeri.
Turut menyertai delegasi ialah YBrs. Dr. Tetty Ruziyati binti Abdul Hamid, Pengarah Institut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN); Puan Zarina binti Mustafa, Ketua Penolong Pengarah Kanan INSAN; dan Encik Adeymend Reny bin Japil, Penolong Pengarah INSAN.
Kunjungan ini diharap dapat memperkukuh sokongan dan kerjasama dalam menjayakan penganjuran MSPA 2026, sekali gus memartabatkan peranan Setiausaha Pejabat dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam Negeri Sabah.
Sekian, terima kasih