11/09/2026
(Unedited)Jangan Buat Secara Melulu!
Sebagai seorang yang pernah berkhidmat di dalam industri penerbangan awam, ternyata kemalangan yang terjadi kepada 9M-LLF amat dirasai. Lagi-Lagi apabila Layang Layang Aerospace adalah jiran tempat aku bekerja ketika berkhidmat di Miri 16 tahun yang lalu.
Malah, aku pernah membantu mereka menyediakan ruang untuk stretcher ketika melakukan penerbangan kecemasan membawa pesakit dari pedalaman Miri ke Hospital Miri kerana kesuntukan masa suatu ketika dahulu.
Kenyataan pihak Polis hari ini membuatkan aku menggelengkan kepala. Memang benar helikopter ini tidak mempunyai blackbox kerana mengikut undang-undang penerbangan antarabangsa (ICAO) dan tempatan (CAAM), pesawat ringan sebegini tidak diwajibkan blackbox.
Malah, sekiranya KKM mewajibkannya, mungkin syarikat ini tidak akan memenangi kontrak yang mereka tawarkan.
Ada juga yang mempertikaikan jumlah kontrak yang mereka menangi iaitu lebih kurang RM15-17 juta setahun. Malah ada yang menuduh berlakunya korupsi di dalam pemberian kontrak tersebut. Sekiranya mempunyai bukti, sila kemukakan bukti tersebut.
Mungkin ramai yang tidak tahu, kontrak itu bukanlah untuk sebuah helikopter sahaja. Ketika berkhidmat di Miri, aku pernah melihat mereka menggunakan 2 jenis helikopter (rotary-wing) dan sebuah kapal terbang ‘fixed-wing’.
Nilai kontrak RM15 juta untuk 3 aset ini sebenarnya adalah yang termurah.
Aku tahu helikopter paling power untuk FDS pada hari ini adalah Airbus H145, tapi, kos penyelenggaraan helikopter ini sahaja mampu mencecah RM8.4 juta setahun untuk sebuah helikopter. Ini tidak termasuk harga minyak, kos sewaan pesawat, gaji petugas dan kos lain yang berbangkit.
Sekiranya pesawat sebegini digunakan, nilai kontrak setahun untuk 3 buah pesawat mungkin 3-4 kali ganda daripada nilai kontrak semasa.
Dengan berlakunya kejadian semalam, mungkin sudah tibanya masa untuk Kerajaan memandang serius perkhidmatan ‘Flying Doctor’ ini.
Mungkin aset yang ada pada MINDEF boleh diberikan untuk kegunaan FDS dan hanya menggunakan perkhidmatan kontraktor untuk penyelenggaraan dan terbangkan pesawat. Itu pun sekiranya pesawat tersebut boleh diberikan insuran.
Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Amin.
Sekian.
Felix Agustus
Bekas Perintis Jurutera Pesawat Terbang