01/11/2026
Kerajaan Kelantan telah membelanjakan sebanyak RM76.99 juta bagi pelaksanaan Skim Al-It’am sejak diperkenalkan pada 2011 hingga Jun 2026, dengan seramai 179,720 orang menerima manfaat daripada skim bantuan berkenaan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, YB Dato’ Haji Tuan Mohd Saripudin bin Tuan Ismail berkata, skim tersebut menyasarkan golongan miskin dan keluarga kurang berkemampuan yang berdepan kesukaran memenuhi keperluan asas.
Menjawab soalan YB Tuan Haji Zameri bin Mat Nawang (Jelawat) dalam persidangan Dewan Negeri, beliau menjelaskan bahawa pemohon mestilah warganegara Malaysia dan bermastautin di Kelantan.
Antara syarat lain ialah tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan rendah, tidak mempunyai pendapatan mencukupi untuk menampung keperluan asas serta terdiri daripada golongan yang memerlukan.
Kumpulan tersebut termasuk warga emas, ibu atau bapa tunggal, orang kurang upaya (OKU), individu yang tidak berkeupayaan bekerja serta keluarga yang mempunyai ramai tanggungan.
Setiap permohonan juga perlu melalui pengesahan pihak berkuasa berkaitan di peringkat jajahan atau komoditi sebelum tertakluk kepada proses tapisan dan ketetapan semasa kerajaan negeri.
Bagi tahun 2026, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM7.7 juta untuk skim berkenaan, yang setakat rekod dinyatakan telah memberi manfaat kepada 13,620 penerima.
Skim Al-It’am merupakan antara bentuk bantuan kebajikan kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban perbelanjaan golongan berpendapatan rendah, khususnya dalam memenuhi keperluan makanan dan kehidupan harian.