06/04/2026
PERBARISAN SEMPENA HARI TENTERA DARAT KE-93
KUALA LUMPUR, 4 April 2026 – 71 Rejimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat (71 RSDPMB) telah terlibat secara langsung dalam Perbarisan Sempena Hari Tentera Darat ke-93 yang berlangsung di Padang Kawad Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi.
Penglibatan ini menyaksikan gabungan pegawai dan anggota daripada 71 RSDPMB bersama Rejimen Askar Jurutera Diraja dengan kekuatan seramai 4 Pegawai dan 60 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), diketuai oleh Mej Zulhilmi bin Muhammad.
Dalam amanatnya, Panglima Tentera Darat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Tentera Darat atas khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan kepada negara. Beliau turut menyeru agar setiap anggota terus mengekalkan komitmen dan kesetiaan, di samping memperkukuh keupayaan pasukan bagi memastikan Tentera Darat kekal cemerlang, berdaya saing serta relevan dalam menghadapi cabaran masa hadapan seiring dengan slogan Kemahuan Untuk Menang, Pemangkin Keperkasaan Tentera Darat.
Perbarisan ini bukan sahaja melambangkan kekuatan dan keutuhan Tentera Darat Malaysia, malah turut menyemarakkan semangat setia kawan, disiplin serta rasa bangga dalam kalangan seluruh warga yang terlibat sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-93.
Sumber : Media 71 RSDPMB
21/03/2026
Pegawai Memerintah dan seluruh warga 71 Rejimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat (71 RSDPMB) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga serta keluarga yang meraikan. Semoga Syawal yang mulia ini membawa keberkatan, kegembiraan dan ketenangan buat semua.
Dikesempatan ini, marilah kita mengeratkan lagi hubungan silaturahim, memupuk semangat kebersamaan serta terus mengekalkan nilai disiplin dan integriti dalam setiap amanah yang dipikul.
13/03/2026
PEMERIKSAAN KENDERAAN SEBELUM DILEPASKAN BERCUTI SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI PASUKAN 71 RSDPMB
KUALA LUMPUR, 13 Mac 2026 – Pasukan 71 Rejimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat (71 RSDPMB) telah membuat pemeriksaan kenderaan di padang kawad pasukan melibatkan sebanyak 40 buah kenderaan sebagai persediaan sebelum dilepaskan bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri
Aktiviti ini merupakan kesinambungan daripada Perbarisan Amanat serta Ucapan Hari Raya Aidilfitri yang telah disampaikan oleh Pegawai Memerintah kepada seluruh warga pasukan. Melalui pemeriksaan yang dilaksanakan, setiap kenderaan telah diperiksa dari aspek keselamatan, dokumentasi, keadaan teknikal serta kelengkapan asas bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan sepanjang tempoh cuti perayaan.
Semakan ini juga bertujuan memastikan anggota yang pulang bercuti dapat melakukan perjalanan dengan lebih selamat, di samping menekankan kepentingan penyelenggaraan kenderaan serta pematuhan terhadap peraturan keselamatan jalan raya.
Secara keseluruhannya, aktiviti ini telah dilaksanakan dengan teratur dan lancar, serta mencerminkan keprihatinan pihak pasukan dalam memastikan kebajikan dan keselamatan anggota sentiasa diutamakan, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sumber: Media 71 RSDPMB
13/03/2026
PERBARISAN AMANAT DAN UCAPAN PEGAWAI MEMERINTAH SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI SERTA IKRAR BEBAS RASUAH PERINGKAT PASUKAN 71 RSDPMB
KUALA LUMPUR, 13 Mac 2026 – Pasukan 71 Rejimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat (71 RSDPMB) telah mengadakan Perbarisan Amanat dan Ucapan Pegawai Memerintah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disertai dengan Majlis Ikrar Bebas Rasuah, melibatkan seluruh warga pasukan di padang kawad 71 RSDPMB.
Perbarisan ini telah disertai oleh seramai 9 orang pegawai dan 119 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP). Perbarisan dimulakan dengan tabik hormat kepada Pegawai Memerintah 71 RSDPMB, Kol Jaafar bin Hj Ibrahim diikuti dengan amanat dan ucapan yang disampaikan oleh Pegawai Memerintah kepada seluruh anggota pasukan. Dalam amanat tersebut, beliau menekankan kepentingan mengekalkan disiplin, integriti serta semangat kebersamaan. Di samping itu, beliau turut mengambil kesempatan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk menasihatkan seluruh warga pasukan agar mengutamakan kesederhanaan dalam menyambut perayaan, di samping merancang perjalanan pulang ke kampung halaman dengan sebaik mungkin serta memastikan kembali ke pasukan mengikut tarikh yang telah ditetapkan demi mengekalkan kelancaran pentadbiran dan kesiapsiagaan pasukan.
Seterusnya, perbarisan diteruskan dengan bacaan Ikrar Bebas Rasuah yang dipimpin oleh Mej Othman bin Nawi, Pegawai Logistik pasukan sebagai tanda komitmen seluruh warga 71 RSDPMB dalam mengekalkan tahap integriti yang tinggi serta menolak sebarang bentuk perlakuan rasuah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Secara keseluruhannya, perbarisan ini berlangsung dengan lancar serta berjaya memupuk nilai integriti, disiplin dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga 71 RSDPMB.
Sumber : Media 71 RSDPMB
13/03/2026
MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAN BERBUKA PUASA PERINGKAT PASUKAN 71 RSDPMB TAHUN 1447H
KUALA LUMPUR, 12 Mac 2026 – Pasukan 71 Rejimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat (71 RSDPMB) telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran dan Majlis Berbuka Puasa peringkat pasukan yang berlangsung di surau pasukan. Program ini diadakan bersempena bulan Ramadan bagi mengimarahkan suasana ibadah di samping menggalakkan pembacaan Al-Quran secara berjemaah dalam kalangan warga 71 RSDPMB.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Pegawai Memerintah 71 RSDPMB, Kol Jaafar bin Hj Ibrahim, bersama Pengerusi BAKAT 71 RSDPMB, Lt Kol Sharifah Mona Lisa binti Syed Mohd Hazam, para pegawai, ahli BAKAT serta seramai 111 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP). Sepanjang program berlangsung, para peserta bersama-sama menjayakan sesi tadarus dan khatam Al-Quran sehingga selesai yang dipimpin oleh Mej Mohd Firdaus bin Mohamad Yusof, Pegawai Agama pasukan sebelum diteruskan dengan penyampaian cenderahati, majlis berbuka puasa serta solat berjemaah.
Secara keseluruhannya, program ini telah berlangsung dengan lancar dan berjaya mencapai objektif penganjurannya, di samping mengeratkan hubungan silaturrahim serta menyemarakkan lagi penghayatan bulan Ramadan dalam kalangan seluruh warga 71 RSDPMB.
Sumber: Media 71 RSDPMB
18/02/2026
SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK 1477H/2026
Pegawai Memerintah serta seluruh warga 71 Rejimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat merakamkan setinggi-tinggi ucapan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam.
Semoga kehadiran bulan yang penuh keberkatan ini membawa sinar keinsafan, memperkukuh keimanan serta menyemarakkan semangat ukhuwah dan kesyukuran dalam setiap langkah kehidupan.
12/02/2026
PERBARISAN PEGAWAI MEMERINTAH 71 RSDPMB DAN MESYUARAT KEBAJIKAN PASUKAN
KUALA LUMPUR, 11 Februari 2026 - Seramai 8 Pegawai dan 142 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah terlibat dengan Perbarisan Pegawai Memerintah yang diadakan pada 11 Februari 2026 bertempat di Padang Kawad Pasukan. Dalam perbarisan tersebut diadakan sekali acara pemakaian pangkat anggota LLP yang disempurnakan oleh Pegawai Memerintah 71 RSDPMB, Kol Jaafar bin Hj Ibrahim.
Pegawai Memerintah 71 RSDPMB dalam ucapannya menyeru supaya mengekalkan integriti dan disiplin tertinggi dengan menolak rasuah, salah guna kuasa serta penglibatan dadah dalam apa jua bentuk kerana perbuatan tersebut mengkhianati sumpah setia dan menjejaskan keselamatan serta keberkesanan pasukan, di samping pihak atasan tidak akan berkompromi tanpa mengira pangkat. Semua anggota juga hendaklah menjaga BMI dan tahap kecergasan fizikal bagi memastikan kesiapsiagaan, kelayakan menghadiri kursus dan prestasi operasi, serta menjadikan bulan Ramadan sebagai medan untuk memperkukuh kawalan diri, keimanan dan profesionalisme demi melaksanakan setiap amanah dan penugasan dengan berkesan.
Selepas perbarisan, diteruskan dengan lawatan ke penginapan bilik bujang bagi menziarahi anggota yang sedang menerima rawatan, diikuti dengan Mesyuarat Kebajikan Pasukan yang dipengerusikan oleh Pegawai Memerintah 71 RSDPMB.
Mesyuarat ini dilaksanakan bagi membincangkan hal ehwal pentadbiran serta kebajikan anggota pasukan, di samping meneliti status tindakan terhadap semua cadangan dan usul yang telah dibangkitkan dalam mesyuarat terdahulu. Selain itu, pembentangan penyata akaun Tabung Kebajikan Rejimen (TKR) turut diadakan bagi memaklumkan kedudukan semasa kewangan tabung tersebut.
Sumber: 71 RSDPMB
10/02/2026
MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS PEGAWAI GERAKAN PEPERANGAN INFORMASI 71 REJIMEN SEMBOYAN DIRAJA PEMERINTAHAN MEDAN BARAT
KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026: Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Gerakan Peperangan Informasi (PGPI) 71 Rejimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat (71 RSDPMB) telah dilaksanakan di Bilik Seri Menanti. Majlis serah terima tugas diantara Mej Abdul Hanan bin Selamat dengan P/Lt Kol Mohamad Fauzan bin Safiee sebagai PGPI.
Majlis dimulakan dengan menandatangani Nota Serah Terima Tugas yang disaksikan oleh Kol Jaafar bin Hj Ibrahim, Pegawai Memerintah 71 RSDPMB dan diakhiri dengan acara bergambar.
Seluruh warga 71 RSDPMB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah atas kenaikan pangkat kepada P/Lt Kol Mohamad Fauzan bin Safiee serta mengalu-alukan kehadiran beliau ke pasukan ini dengan penuh hormat dan keyakinan, sambil mendoakan agar kepimpinan, pengalaman dan kewibawaan beliau terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pasukan, pengukuhan disiplin serta peningkatan tahap profesionalisme dan kesiagaan operasi.
Sumber: Media 71 RSDPMB
09/02/2026
CERAMAH ISRAK MIKRAJ & AMBANG RAMADHAN “KEBERKATAN REJAB, SYAABAN & RAMADHAN”
KUALA LUMPUR, 6 Februari 2026 - 71 Rejimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat telah menganjurkan Ceramah Israk Mikraj & Ambang Ramadhan bertempat di Surau At-Taqwa, 71 RSDPMB. Ceramah ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Dr. Muhammad Ashraf bin Sharulail.
Program Ceramah Israk Mikraj dan Ambang Ramadhan bertemakan “Keberkatan Rejab, Syaaban dan Ramadhan” telah dimulakan dengan Solat Sunat Dhuha serta bacaan Doa Selamat sebelum diteruskan dengan ceramah yang menekankan penghayatan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai asas pengukuhan iman melalui kewajipan solat, di samping mengingatkan kelebihan bulan Rejab dan Syaaban sebagai medan persediaan rohani serta Ramadhan sebagai bulan kemuncak keberkatan, keampunan dan peningkatan amal, yang secara tidak langsung memberi kesedaran dan penghayatan kepada anggota untuk memperkukuhkan disiplin diri, meningkatkan keutuhan sahsiah serta melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berintegriti dan beramanah.
Program diakhiri dengan jamuan makan dan penyampaian cenderahati oleh YBhg Kol Jaafar Bin Hj Ibrahim, Pegawai Memerintah 71 RSDPMB
Sumber : Media 71 RSDPMB