23/10/2026
RESTU JIWA PAHLAWAN: 70 TAHUN DBP MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU
MELAKA, 21 Oktober 2026 β Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus memperkukuh peranannya dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan wahana perpaduan negara menerusi penganjuran Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-70 Peringkat Zon Selatan dan Penutupan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan (KDBK) 2026 di Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka.
Majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), JKKN Melaka, Institut Tun Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka itu menjadi wadah untuk mengenang perjalanan tujuh dekad perjuangan DBP dalam mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu, di samping menyemarakkan komitmen bersama untuk meneruskan agenda pemartabatan bahasa kebangsaan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh YBhg. Datuk Maslina binti Baki, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Melaka, wakil rasmi YB Datuk Wira Salhah binti Salleh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa sambutan ulang tahun ke-70 DBP bukan sekadar memperingati perjalanan sebuah institusi, malah menjadi kesempatan untuk menghargai jasa, menelusuri perjuangan dan memperkukuh iltizam dalam meneruskan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa penyatuan rakyat Malaysia. Beliau turut menekankan bahawa penguasaan pelbagai bahasa merupakan kelebihan dalam dunia tanpa sempadan. Walau bagaimanapun, penguasaan bahasa asing tidak seharusnya menyebabkan masyarakat mengabaikan bahasa kebangsaan yang menjadi asas identiti dan kehidupan bernegara.
Sementara itu, YBhg. Datuk Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah DBP, dalam ucapan sambutannya p**a mengingatkan bahawa tujuh dekad perjalanan DBP bukanlah noktah perjuangan, sebaliknya menjadi titik tolak untuk melangkah lebih jauh, khususnya dalam mendepani perkembangan teknologi kecerdasan buatan, teknologi digital, ekonomi digital dan kemunculan bidang ilmu baharu bagi memastikan bahasa Melayu terus relevan dan berdaya saing dalam menghadapi keperluan masa hadapan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Dalam majlis tersebut, YBhg. Datuk Maslina binti Baki turut berbesar hati menyampaikan Anugerah Citra Bahasa dan Anugerah Citra Sastera sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan pelbagai pihak dalam memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.
Majlis Bandaraya Johor Bahru menerima Anugerah Citra Bahasa Institusi Negeri Johor, manakala Melaka Hari Ini Sdn. Bhd. menerima Anugerah Citra Bahasa Institusi Negeri Melaka. Anugerah Citra Sastera Institusi Negeri Johor dianugerahkan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, sementara Anugerah Citra Sastera Institusi Negeri Melaka diberikan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka.
Selain itu, Anugerah Karyawan Wadah DBP Zon Selatan dianugerahkan kepada Encik Mokhtar bin Omar, penulis mapan dari negeri Johor, sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam dunia penulisan.
Hadir sama dalam majlis ini ialah YBrs. Ts. Dr. Ruziah binti Ali, Pengarah Penerbit UTeM; YBrs. Puan Fauzilahyatun binti Mustafa, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP; serta YBrs. Encik Johan Wahyuddin bin Taib, Penolong Pengarah Kanan JKKN Melaka, pengarah-pengarah jabatan dan agensi, ketua-ketua bahagian dan unit, para pensyarah institusi pengajian tinggi, para pegawai, sidang-sidang negeri Melaka, warga pendidik, penggiat bahasa, penggiat sastera, penulis, pengamal media, mahasiswa dan pelajar.
Sambutan ulang tahun ke-70 DBP yang berlangsung seiring dengan penutupan KDBK 2026 ini menjadi manifestasi kesinambungan perjuangan bahasa Melayu yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Semangat βRestu Jiwa Pahlawanβ diharapkan terus menyemarakkan iltizam seluruh masyarakat untuk memelihara, memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai lambang kedaulatan negara, wahana ilmu dan warisan peradaban bangsa.
Tujuh dekad perjuangan, satu tekad berterusan: memartabatkan bahasa Melayu demi masa depan negara.