19/10/2026
PASUKAN TEMBAK PSP (RIOT TEAM) LAYAK KE PERINGKAT SHOOT OFF UKTT JKDNKA 2026
19 OKTOBER 2026 – Pasukan Tembak Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) atau Riot Team berjaya melayakkan diri ke peringkat Shoot Off selepas menduduki tempat ke-11 daripada 27 pasukan yang bertanding dalam Ujian Kemahiran Tembak Tempur (UKTT) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Tahun 2026.
Ujian yang berlangsung di Lapang Sasar Tempur, Kem Sultan Nazrin Shah, 69 Komando pada 19 Oktober 2026 itu dimulakan dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh YDH CP Dato’ Muhammad bin Abdul Halim, Timbalan Pengarah JKDNKA (Gerakan/Operasi).
Pertandingan kali ini melibatkan penyertaan 27 pasukan daripada pelbagai formasi dan elemen JKDNKA, merangkumi 20 pasukan Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) serta tujuh pasukan daripada elemen lain, termasuk VAT 69, Unit Tindakhas (UTK), Pasukan Gerakan Udara (PGU), PSP, Pasukan Polis Marin (PPM), IPPGA dan PLPGA.
Pada peringkat Stage, setiap pasukan perlu menyempurnakan tujuh acara menembak yang terdiri daripada satu Long Course, dua Medium Course dan empat Short Course. Kesemua acara tersebut menguji tahap kemahiran, ketepatan, kepantasan serta kecekapan peserta dalam melaksanakan tembakan tempur mengikut format pertandingan yang ditetapkan.
Alhamdulillah, Pasukan Tembak PSP (Riot Team) berjaya menempatkan diri dalam kelompok 16 pasukan terbaik dan seterusnya mengesahkan tiket ke peringkat Shoot Off yang dijadualkan berlangsung pada 20 Oktober 2026.
Pencapaian ini merupakan satu perkembangan positif buat PSP dalam membuktikan keupayaan, kompetensi dan daya saing anggota, khususnya dalam aspek kemahiran menembak tempur. Kejayaan mara ke peringkat seterusnya turut mencerminkan komitmen, disiplin serta semangat berpasukan yang tinggi dalam menghadapi persaingan bersama pasukan-pasukan lain di bawah JKDNKA.
Semoga Pasukan Tembak PSP (Riot Team) terus memberikan persembahan terbaik, mengekalkan fokus dan semangat juang yang tinggi dalam menghadapi peringkat Shoot Off esok.
PSP MAMPU BERSAING, PSP TERUS MELANGKAH!
Sekalung tahniah dan selamat maju jaya diucapkan kepada Pasukan Tembak PSP (Riot Team).