13/05/2026
Sumber - NIK MUHAMMAD ZAWAWI BIN SALLEH
KENYATAAN MEDIA
YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI BIN SALLEH
13 Mei 2026 | 25 Zulkaedah 1447H
Merujuk kepada kontroversi berkaitan pengucapan saya baru-baru ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tuan guru, asatizah, sahabat-sahabat serta seluruh masyarakat yang telah memberikan teguran, nasihat dan pandangan kepada saya.
Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut. Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut.
Saya sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT.
Tujuan asal kenyataan saya hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.
Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahupun kepimpinannya.
Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan.
YB Dr Nik Muhammad Zawawi Bin Salleh
Ahli Parlimen Pasir Puteh
12/05/2026
Kenyataan Media
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)
Kenyataan Berhubung Ceramah YB Datuk Ustaz Nik Zawawi Salleh
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengambil maklum dan memandang serius polemik yang timbul susulan ceramah YB Datuk Ustaz Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh di Kuala Terengganu.
2. Setelah meneliti sedutan rakaman ceramah tersebut serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan, DUPP mengakui bahawa terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah berkaitan latar kehidupan para Sahabat Rasulullah ﷺ, khususnya Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar RA dan Saidina Uthman RA sebelum Islam.
3. DUPP menegaskan bahawa para Sahabat Rasulullah ﷺ merupakan generasi terbaik umat ini yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka. Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih.
4. DUPP juga telah menyampaikan teguran serta peringatan secara dalaman kepada YB Dato’ Ustaz Nik Zawawi Salleh agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para Sahabat Rasulullah ﷺ.
5. Pada masa yang sama, DUPP menghargai teguran para asatizah dan ilmuwan yang disampaikan secara beradab, ilmiah serta bersandarkan fakta yang sahih. Budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat.
6. DUPP komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar setiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam.
Sekian.
YB Ustaz Dato’ Haji Mohd Nor bin Hamzah
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
12 Mei 2026 Miladi bersamaan 25 Zulkaedah 1447 Hijriah
30/04/2026
KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
BATALKAN 'RAIN RAVE' BUKIT BINTANG: JANGAN UNDANG KEMURKAAN ALLAH DI SAAT NEGARA DIHIMPIT KRISIS
1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) merujuk kepada laporan media mengenai pendirian YB Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato' Seri Tiong King Sing yang mempertahankan penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave di Bukit Bintang. Beliau menyifatkan acara tersebut sebagai strategi merangsang ekonomi pelancongan negara.
2. DUPP menegaskan bahawa alasan "ekonomi" tidak boleh dijadikan lesen untuk menghalalkan program yang jelas berteraskan budaya hedonisme dan pergaulan bebas. Malaysia sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan mestilah membina kemajuan berlandaskan nilai moral dan syariat, bukannya meniru bulat-bulat budaya luar yang mengundang kemungkaran.
3. Kita kini berada di ambang krisis ekonomi dunia yang mencabar di mana rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup. Dalam suasana genting ini, pendekatan kerajaan sepatutnya adalah dengan memohon rahmat Allah SWT melalui ketaatan, bukannya mempromosikan festival "pesta air" yang melalaikan.
4. Dakwaan bahawa acara ini "tersusun" tidak menjamin ketiadaan unsur maksiat. Sejarah membuktikan festival berkonsepkan rave sering menjadi titik tolak keruntuhan moral. Kita tidak mahu mengejar keuntungan duniawi yang tidak berkat, yang akhirnya dibayar dengan bala bencana dan kerosakan sahsiah anak bangsa.
5. DUPP ingin memperingatkan kerajaan bahawa kerosakan yang berlaku di muka bumi adalah akibat tangan-tangan manusia yang membelakangi agama. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum, ayat 41:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (bertaubat kepada Allah).”
6. Ancaman ini diperkukuhkan lagi dengan peringatan Rasulullah SAW berkenaan impak maksiat yang dilakukan secara terbuka (mujaharah) terhadap kestabilan hidup dan kesihatan masyarakat. Sabda Nabi SAW dalam Hadith Riwayat Ibn Majah (No. 4019):
لَمْ تَظْهَرِ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلاَّ فَشَا فِيهِمُ الطَّاعُونُ وَالأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلاَفِهِمُ الَّذِينَ مَضَوْا
Maksudnya: "Tidaklah kekejian (maksiat/zina) tersebar dalam suatu kaum, kemudian mereka melakukannya secara terang-terangan (terbuka), kecuali akan tersebar di kalangan mereka wabak penyakit dan kelaparan (kesempitan hidup) yang belum pernah terjadi kepada nenek moyang mereka yang terdahulu."
7. Di manakah peranan dan tanggungjawab Perdana Menteri, Menteri Agama dan pemimpin beragama Islam dalam membendung program maksiat ini. Tidakkah mereka berasa gerun dan beriman dengan ancaman Allah dan RasulNya?
8. Sehubungan itu, DUPP mendesak supaya kerajaan Malaysia untuk membatalkan penganjuran Rain Rave Bukit Bintang serta-merta bagi menghormati sensitiviti umat Islam dan menjaga moral rakyat.
9. Kementerian Pelancongan perlu lebih kreatif beralih kepada promosi pelancongan yang beretika, sopan, dan patuh syariah yang lebih menjamin keberkatan ekonomi jangka panjang.
10. Janganlah kita mencabar kekuasaan Allah SWT di saat kita amat memerlukan pertolongan-Nya. Di saat ekonomi rapuh, kita perlukan "pintu langit" dibuka melalui ketaatan, bukan ditutup melalui kemungkaran yang dipromosikan secara rasmi.
"Kembali Kepada Penyelesaian Islam"
YB DATO' USTAZ MOHD NOR BIN HAMZAH
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
30 April 2026 Miladi bersamaan 12 Zulkaedah 1447 Hijri
26/04/2026
🎙️ PODCAST FIKRAH
Dari Minda Ke Massa
“Perpaduan Melayu Islam Dalam Konteks Politik Di Malaysia”
Perpaduan Melayu Islam dalam politik Malaysia bukan sekadar slogan malah ia adalah identiti, kuasa dan masa depan negara. Berakar daripada Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Melayu dan Islam saling terkait dalam struktur politik.
Namun realitinya, perpaduan ini sering diuji, politik Melayu sering terkait dengan pertembungan, perebutan, malah pengkhianatan. Ini mendedahkan bahawa politik kepentingan puak dan kumpulan tertentu sering mengatasi idealisme perpaduan di peringkat nasional.
Dalam negara majmuk, naratif Melayu Islam perlu seimbang. Terlalu eksklusif boleh meretakkan keharmonian nasional. Terlalu inklusif berisiko memakan diri..
Jadi persoalannya; adakah perpaduan Melayu-Islam benar-benar menyatukan atau sekadar alat politik?
🎙️ Dengarkan perbincangan penuh. Podcast FIKRAH membawakan kepada anda perbincangan inklusif dan berani.
🗣 Hos: Suffi Kamari
🎤 Panel: Ustaz Azhar Yahya
(Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan)
🗓 Ahad | 26 April 2026
⏰ 9:30 malam
📍 Live di Facebook Dewan Ulamak PAS Pusat
FIKRAH Dari Minda Ke Massa
22/04/2026
🔥[[ MISI BANTUAN KEBAKARAN SANDAKAN]]
Tragedi kebakaran besar di Kg Bahagia Sakan telah mengakibatkan ratusan keluarga kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
Mengikut laporan terkini:
▪️ 8 PPS telah dibuka
▪️244 ketua isi rumah (KIR) telah berdaftar (dan dijangka terus meningkat)
▪️Masih ramai mangsa berlindung di kawasan kebakaran dengan khemah sementara
Kami menyeru Tuan/Puan untuk bersama dalam misi kemanusiaan ini, bagi membantu mangsa kebakaran:
▪️Keperluan bayi & kanak-kanak
▪️Keperluan wanita (termasuk set ibadah)
▪️Keperluan persekolahan anak-anak
📍MISI BANTUAN DIJADUALKAN PADA 25-28 APRIL 2026
Sumbangan akan disalurkan bagi:
▪️ Keperluan makanan & Dapur Rakyat
▪️ Bantuan bayi, wanita & keluarga
▪️ Keperluan asas & pakaian
▪️ Sokongan pelajar sekolah
📌 Sumbangan boleh disalurkan ke:
▪️ Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana (Khidmat Malaysia)
▫️ 12225010037517 (Bank Islam)
▪️ Link:
https://infaqpay.my/plus/khidmatmalaysia-sumbangan
☎️ Hotline: 013-9117064
BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BERAMAL KERANA ALLA.
SUMBANGAN UMUM
PERTUBUHAN PENGURUSAN KECEMASAN BENCANA MALAYSIA
22/04/2026
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak RTM yang telah memberikan maklum balas untuk menghentikan sepenuhnya siaran siri animasi yang dikaitkan dengan unsur LGBT.
Kebelakangan ini ideologi LGBT menggunakan pendekatan "grooming" yang cukup halus sehinggakan rancangan kanak-kanak menjadi medan serangan halus tersebut.
Namun, ia tidaklah sesuatu yang mengejutkan kerana perkara tersebut telah dihebohkan lebih awal sebelum ini mengenai pendekatan baharu yang akan dibawa oleh kelompok songsang berkenaan khususnya di peringkat global.
Semua pihak harus mengambil tanggungjawab yang serius untuk membendung gejala ini daripada berterusan. Kita semua perlu bersama membentengi generasi akan datang daripada ideologi pemikiran yang merosakkan.
Semoga segala yang direncanakan mendapat petunjuk dan bimbingan dari-Nya, insya-Allah.
YB USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena
22 April 2026
21/04/2026
Kenyataan Media
Dewan Ulamak PAS Pusat
TAYANGAN KARTUN BERUNSUR LGBT DI TV2, KESAL KEJADIAN BERULANG LAGI
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menzahirkan rasa kesal di atas tayangan sebuah rancangan kartun berunsur LGBT di salah sebuah saluran televisyen. Malah, lebih malang lagi tayangan kartun berunsur LGBT ini berulang kali berlaku selepas bantahan yang dibuat tahun lalu melibatkan rancangan yang berlainan.
Tahun lalu, tayangan cerita "Santiago of the Seas" ditayangkan di saluran televisyen yang sama dan kali ini cerita "Cleopatra in the Space" juga menerima bantahan melibatkan unsur LGBT. Mengapa pisang boleh berbuah dua kali dalam isu ini serta melibatkan saluran televisyen Kerajaan yang sama?
Apakah Menteri Komunikasi mahupun penerbit rancangan tidak membuat tapisan yang ketat lagi terperinci dalam isu ini? Sedangkan kita harus sedar bahawa strategi baharu penyebaran ideologi LGBT secara besar-besaran digerakkan melalui rancangan kartun kanak-kanak.
Pelbagai kajian yang telah dilakukan menggambarkan gelombang serangan LGBT di peringkat antarabangsa menggunakan cerita kartun kanak-kanak. Dua karakter LGBT yang mendominasi cerita-cerita kartun yang berunsur LGBT ini adalah watak "gay" dan "le***an".
Malah, kajian juga menunjukkan bahawa watak-watak LGBT dalam rancangan kartun kanak-kanak juga melibatkan "recurring character" iaitu watak sokongan yang seringkali muncul dalam episod tertentu, bukan daripada watak utama dalam kartun tersebut.
Ini adalah jarum halus yang tersembunyi untuk menyelit karakter-karakter LGBT. Kita tidak boleh bersikap sambil lewa dan menganggap ia suatu perkara yang remeh. Seharusnya kajian dan penelitian berterusan dilakukan bagi memastikan tapisan yang lebih teliti dibuat dalam rancangan kartun khususnya yang "diimport" dari luar.
Sekian.
YB USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena
21 April 2026 Miladi bersamaan 3 Zulkaedah 1447 Hijri
09/04/2026
Kenyataan Media
Dewan Ulamak PAS Pusat
SOKONG DEKLARASI HIMPUNAN ALAM MELAYU, GAGASAN PENYATUAN UMMAH TERUS DIPERKUKUH
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyatakan sokongan penuh terhadap Deklarasi Himpunan Alam Melayu 2026 di Terengganu yang disertai barisan ilmuwan dan tokoh masyarakat dari negara-negara sekitar termasuklah Brunei, Singapura, Thailand dan sebagainya.
Deklarasi tersebut selaras dengan usaha konsisten yang ditunjukkan PAS untuk terus mempersada perjuangan serta mempertahankan gagasan penyatuan ummah. Malah, deklarasi tersebut juga membuktikan usaha jitu daripada PAS untuk memperluas gagasan tersebut ke peringkat yang lebih tinggi.
Teras yang menjadi keutamaan di sini adalah menjadikan Islam sebagai tunjang perpaduan di samping memperkukuhkan kerangka politik, ekonomi dan sosial umat Melayu di Malaysia khususnya dan antarabangsa amnya.
DUPP mengharapkan agar Deklarasi Himpunan Alam Melayu menjadi pemangkin yang berterusan dalam menyatukan ummah ini untuk berada dalam satu barisan yang sama. Jalan penyatuan perlu terus dirintis dan diperkukuh bagi mengembalikan kekuatan kepada umat Melayu.
DUPP turut menyeru seluruh umat Islam supaya kembali bersatu pada asas yang satu. Perpecahan hanya menjarak dan melemahkan bangsa, bahkan menjadi punca mengapa umat ini tertindas. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
YB USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Senan
9 April 2026 Miladi bersamaan 20 Shawwal 1447 Hijri
05/04/2026
🎙️ PODCAST FIKRAH
Dari Minda Ke Massa
“NYAWA DIBALAS DENGAN NYAWA”
“Dia keluar mencari rezeki… tapi pulang sebagai jenazah.”
Isu pemandu mabuk bukan sekadar statistik ia adalah nyawa yang diragut tanpa amaran. Mangsa tidak bersalah, keluarga hancur, dan masyarakat terus bertanya; sampai bila situasi ini akan berlaku?
Adakah hukuman sedia ada cukup memberi pengajaran? Atau kita masih terlalu lunak terhadap kecuaian yang membawa maut?
Apakah perspektif syariah Islam dalam kesalahan memandu dalam keadaan mabuk? Adakah ia satu kesalahan jenayah membunuh dengan sengaja atau sebaliknya?
🎙️ Dengarkan perbincangan penuh. Podcast FIKRAH membawakan kepada anda perbincangan inklusif dan berani.
🗣 Moderator: Iqman Iberahim
🎤 Panelis: Ustaz Imran bin Selamat
(Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor)
🗓 Ahad | 5 April 2026
⏰ 9:30 malam
📍 Live di Facebook Dewan Ulamak PAS Pusat
https://www.facebook.com/dewanulamakpas
FIKRAH Dari Minda Ke Massa