07/10/2026
KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2026 - Bulan Literasi Kewangan 2026 dilancarkan secara rasmi di Sasana Kijang dengan tema “Bijak Wang Dulu, Tenang Bila Perlu”, bagi menggalakkan rakyat membuat pilihan kewangan yang bijak untuk menghadapi keperluan masa depan.
Inisiatif tahunan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) ini memberi tumpuan kepada pengurusan wang, perlindungan daripada penipuan kewangan dan pembinaan kesejahteraan kewangan jangka panjang.
FEN yang mencapai 10 tahun penubuhan menghimpunkan lapan institusi dan agensi, dengan sokongan lebih 50 ahli bersekutu serta ahli usaha sama lain bagi memperkukuh pendidikan kewangan rakyat Malaysia.
Ahli pengasas FEN ialah Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Pemodalan Nasional Berhad serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Sepanjang Bulan Literasi Kewangan, pelbagai aktiviti dan inisiatif dijalankan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengurus kewangan dengan lebih bijak.
Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, PIDM bersama AKPK sedang menjalankan “PIDM FinFit Challenge 2026 - Edisi Institusi Pengajian Tinggi” di Wilayah Utara, melibatkan lebih 10 institusi pengajian tinggi di Malaysia.
📌 Sumber: PIDM