22/10/2026
MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS JAWATAN KETUA BAHAGIAN KESELAMATAN DALAM NEGERI DAN KETENTERAMAN AWAM IBU PEJABAT POLIS DAERAH BRICKFIELDS, KUALA LUMPUR
Pada 22 Oktober 2026, telah berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, IPD Brickfields, Kuala Lumpur.
Majlis tersebut telah disaksikan oleh YDH ACP Hoo Chang Hook, Ketua Polis Daerah Brickfields dan turut dihadiri oleh Supt. Ahmad Firdaus bin Mustaffa Kamal, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua polis balai, pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam IPD Brickfields.
Majlis ini menyaksikan penyerahan tugas daripada DSP Mohd Zulkarnain bin Illyas kepada ASP Khairon Zainee bin Basiron sebagai Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPD Brickfields yang baharu, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta kelancaran pentadbiran dan pelaksanaan tugas di bahagian berkenaan.
Dalam amanatnya, YDH ACP Hoo Chang Hook merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada DSP Mohd Zulkarnain bin Illyas atas segala jasa, komitmen, dedikasi dan sumbangan sepanjang beliau menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ASP Khairon Zainee bin Basiron atas pelantikan tersebut serta berharap agar amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan komitmen yang tinggi.
YDH Ketua Polis Daerah Brickfields turut menegaskan kepentingan kepimpinan yang berkesan, kerjasama berpasukan serta tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam kalangan warga kerja bagi memastikan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Setiap tanggungjawab hendaklah dilaksanakan dengan penuh disiplin, kecekapan dan mematuhi segala prosedur serta arahan yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Penganjuran majlis ini mencerminkan kesinambungan kepimpinan dalam organisasi PDRM, di samping memperkukuh semangat berpasukan dan komitmen warga IPD Brickfields dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepolisan yang cekap, profesional dan berintegriti demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.