15/05/2026
PROGRAM UJIAN KEMAHIRAN MENEMBAK PELESEN A SENJATA API TAHUN 2026 IBU PEJABAT POLIS DAERAH BRICKFIELDS
Pada 14 Mei 2026, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields telah menganjurkan Program Ujian Kemahiran Menembak Pelesen A Senjata Api Tahun 2026 bertempat di Lapang Sasar Unggul Shooting Academy Sdn. Bhd., Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Semenyih, Selangor. Program tersebut telah dihadiri oleh YDH ACP Hoo Chang Hook, Ketua Polis Daerah Brickfields bersama YDH Supt Ahmad Firdaus bin Mustaffa Kamal, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua polis balai, pegawai kanan polis, pegawai rendah polis, pegawai awam serta 66 pemegang lesen senjata api Pelesen A IPD Brickfields.
Program ini merupakan inisiatif tahunan yang bertujuan menilai tahap kecekapan dan kemahiran pemegang lesen senjata api kategori A di samping memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, disiplin dan tanggungjawab dalam pengendalian senjata api selaras dengan peraturan serta garis panduan yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia. Sepanjang program berlangsung, para peserta telah diberikan taklimat keselamatan dan bimbingan teknikal sebelum menjalani sesi ujian menembak dalam suasana yang terkawal, teratur dan selamat di bawah pemantauan pegawai serta anggota bertugas.
Keseluruhan program berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan dalam usaha memperkukuhkan tahap kompetensi serta pematuhan keselamatan dalam kalangan pemegang lesen senjata api.
06/05/2026
INISIATIF BIAR JASA JADI KENANGAN PDRM BERSAMA MASYARAKAT IPD BRICKFIELDS
Pada 5 Mei 2026 sekitar jam 2.30 pagi, semasa menjalankan rondaan di Jalan Tuanku Abdul Halim menghala ke susur Jalan Bangsar, anggota dari callsign KL 212 KPL Wady dan KPL Hafiz telah memberi bantuan awal kepada sebuah kenderaan yang kehabisan petrol.
Anggota bertindak membantu dengan mendapatkan bekalan minyak dari stesen minyak berhampiran sebelum mengisi ke dalam tangki kenderaan tersebut. Pemandu, seorang lelaki warganegara Indonesia, telah mengucapkan terima kasih dan menyatakan penghargaan atas bantuan yang diberikan sebelum meneruskan perjalanan.
Selepas itu, anggota KL 212 telah menyambung semula rondaan seperti biasa. Keadaan keseluruhan adalah baik dan terkawal.
02/05/2026
π JOM RAMAI-RAMAI MERIAHKAN! π
KARNIVAL JUALAN PERKEP IPD BRICKFIELDS 2026 kembali dengan pelbagai jualan menarik! π
β¨ Masuk PERCUMA
β¨ Jualan Rahmah
β¨ Makanan viral & minuman sedap
β¨ Pakaian & buah-buahan segar
β¨ 50 cermin mata PERCUMA untuk pengunjung terawal!
π
21 Mei 2026 (Khamis)
β° 8.00 pagi β 3.00 petang
π Perkarangan IPD Brickfields
π Jangan lepaskan peluang! Bawa family & kawan-kawan, kita jumpa di sana!
01/05/2026
ACP Hoo Chang Hook, Ketua Polis Daerah Brickfields dan Supt. Ahmad Firdaus bin Mustaffa Kamal, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields serta seluruh warga Polis Daerah Brickfields mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja di seluruh negara.
Terima kasih atas segala usaha, dedikasi dan pengorbanan dalam memacu pembangunan serta memastikan kesejahteraan masyarakat dan negara terus terpelihara. Semoga setiap keringat yang dicurahkan mendapat penghargaan dan keberkatan.
29/04/2026
LAWATAN KERJA RASMI PENGARAH JABATAN SIASATAN JENAYAH KOMERSIL BUKIT AMAN KE BAHAGIAN SIASATAN JENAYAH KOMERSIL IBU PEJABAT POLIS DAERAH BRICKFIELDS
Pada 29 April 2026 (Rabu) jam 2.30 petang telah berlangsung Lawatan Kerja Rasmi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur.
Lawatan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan serta memberi ruang kepada pihak pengurusan tertinggi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil untuk bertemu secara lebih dekat dengan pegawai dan anggota BSJKD IPD Brickfields, di samping mengenalpasti isu serta cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan tugas harian. Dalam sesi tersebut, Pengarah JSJK turut menyampaikan amanat serta panduan berkaitan tindakan siasatan dan pemantapan keberkesanan operasi.
Selesai sesi taklimat, lawatan diteruskan dengan tinjauan ke ruang pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Brickfields. Pemerhatian mendapati keadaan persekitaran pejabat berada dalam keadaan kemas, tersusun dan teratur, sekali gus mencerminkan tahap komitmen serta profesionalisme warga kerja.
Secara keseluruhannya, lawatan kerja rasmi ini telah berlangsung dengan lancar, teratur dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.
28/04/2026
AL-FATIHAH: SALAM TAKZIAH BUAT KELUARGA ALLAHYARHAM LANS KOPERAL MOHD FAHRUL IZWAN BIN AZIZ
YDH ACP Hoo Chang Hook, Ketua Polis Daerah Brickfields dan Ybhg. Puan Han Yei Lieng, Pengerusi Perkep Daerah Brickfields serta seluruh warga Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohd Fahrul Izwan bin Aziz yang meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras, Kuala Lumpur petang tadi.
Allahyarham merupakan anggota yang bertugas di Cawangan Khas IPD Brickfields, Kuala Lumpur.
Didoakan agar roh Allahyarham Lans Koperal Mohd Fahrul Izwan bin Aziz dicucuri rahmatNya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.
Al-Fatihah.
27/04/2026
INISIATIF BIAR JASA JADI KENANGAN PDRM BERSAMA MASYARAKAT IPD BRICKFIELDS
Pada 27 April 2026 (Isnin) sekitar jam 5.30 petang, anggota Unit MPV dari IPD Brickfields (KL 220) yang sedang menjalankan rondaan di Jalan Johar, Kuala Lumpur telah membantu seorang lelaki berbangsa Cina yang mengalami kerosakan kenderaan di tengah kesesakan waktu puncak.
Anggota bertugas, KPL Akram dan KPL Nuri, telah mengambil inisiatif membantu menolak kenderaan tersebut ke lokasi yang lebih selamat sementara menunggu bantuan towing daripada pihak insurans. Tindakan pantas ini bukan sahaja membantu pengadu, malah turut mengelakkan kesesakan lalu lintas daripada menjadi lebih teruk.
Pengadu telah mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas bantuan yang diberikan. Rondaan kemudian diteruskan seperti biasa.
Inisiatif sebegini mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam mendekati masyarakat serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam sentiasa terpelihara.
23/04/2026
BIAR JASA JADI KENANGAN PDRM BERSAMA MASYARAKAT, IPD BRICKFIELDS
Pada 22 April 2026 sekitar jam 1215 tengah hari, Unit Polis Pelancong (UPP) IPD Brickfields telah melaksanakan rondaan rutin di sekitar Lebuhraya Kerinchi Link menghala ke Mont Kiara yang melibatkan Kpl Farini, Kpl Hariz dan Kpl Hafiz.
Semasa rondaan, anggota telah mengesan satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS150 yang ditunggang oleh seorang lelaki tempatan berbangsa Cina dan sebuah kereta Perodua Bezza yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berbangsa Cina.
Anggota bertugas telah bertindak pantas dengan menjalankan kawalan keselamatan di lokasi kejadian bagi memastikan keadaan lalu lintas terkawal serta mengelakkan sebarang risiko kepada pengguna jalan raya lain. Hasil pemantauan mendapati situasi berada dalam keadaan selamat dan terkawal.
Setelah memastikan keadaan benar-benar terkawal, anggota Unit Polis Pelancong telah meneruskan rondaan seperti biasa. Komitmen ini mencerminkan keprihatinan berterusan PDRM dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
21/04/2026
INISIATIF BIAR JASA JADI KENANGAN PDRM BERSAMA MASYARAKAT, IPD BRICKFIELDS
Pada 21 April 2026 (Selasa), sekitar jam 0850, anggota MPV Khas (Bravo) KL 268 iaitu KPL Syazwan dan KPL Sufian sedang menjalankan rondaan rutin di Lebuhraya KESAS sebelum dihampiri oleh seorang lelaki tempatan yang memohon bantuan kecemasan.
Pengadu memaklumkan bahawa isterinya sedang sarat mengandung dan dipercayai akan melahirkan anak dalam masa terdekat. Mengambil kira situasi genting tersebut serta keadaan lalu lintas yang sesak pada waktu berkenaan, anggota KL 268 dengan pantas telah mengambil tindakan mengiringi (eskot) kenderaan pengadu ke Medical Centre Shah Alam.
Dengan kecekapan dan keprihatinan anggota bertugas, kenderaan pengadu berjaya tiba dengan selamat di pusat perubatan tersebut pada jam 0905 pagi bagi mendapatkan rawatan segera.
Tindakan ini mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia dalam memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan, selaras dengan semangat βPolis dan Masyarakat Berpisah Tiada.β
21/04/2026
INISIATIF BIAR JASA JADI KENANGAN PDRM BERSAMA MASYARAKAT IPD BRICKFIELDS
inisiatif Biar Jasa Jadi Kenangan terus dizahirkan oleh warga PDRM IPD Brickfields dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat. Pada awal pagi hari ini, sekitar jam 5.41 pagi di Jalan Istana Lama, anggota rondaan KL 275 yang terdiri daripada KPL Khair dan LKPL Aikal telah menjalankan tugas rondaan di Zon Brickfields.
Ketika rondaan, anggota telah menemui sebuah kenderaan yang mengalami tayar pancit melibatkan seorang lelaki tempatan. Tanpa berlengah, bantuan awal telah diberikan dengan membantu menukar tayar ganti bagi memastikan pengguna jalan raya tersebut dapat meneruskan perjalanan dengan selamat.
Usaha kecil ini mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam membantu masyarakat tanpa mengira masa dan keadaan. Selesai memberikan bantuan, anggota KL 275 telah meneruskan rondaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa.
Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan masyarakat kepada PDRM.
20/04/2026
BIAR JASA JADI KENANGAN PDRM BERSAMA MASYARAKAT
Pada 19 April 2026 (Ahad) sekitar jam 2130 HRS, semasa menjalankan tugas rondaan di sektor Petaling, anggota dari KL 278 telah mengesan sebuah kenderaan jenis Nissan Almera yang berhenti di bahu Jalan Puchong akibat tayar pancit.
Anggota bertugas, KPL Adzimi dan KONST Hafizi, telah membantu menukar tayar kenderaan tersebut serta mengawal aliran trafik bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang proses bantuan dijalankan.
Setelah selesai, anggota meneruskan tugas rondaan seperti biasa. Pemandu kenderaan berkenaan telah mengucapkan terima kasih atas bantuan dan keprihatinan yang diberikan oleh pihak Polis Diraja Malaysia.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara. Semoga usaha kecil ini menjadi kenangan manis dalam memperkukuhkan hubungan antara polis dan komuniti.