12/10/2026
PERHIMPUNAN SAMBUTAN HARI GURU SEDUNIA TAHUN 2026 PERINGKAT NUTP MALAYSIA
Tarikh : 10 Oktober 2026 (Sabtu)
Tempat :Cyber Event Hall, Cyberjaya
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) telah menganjurkan Perhimpunan Sambutan Hari Guru Sedunia Tahun 2026 Peringkat NUTP Malaysia pada 10 Oktober 2026 bertempat di Cyber Event Hall, Cyberjaya. Perhimpunan ini telah menghimpunkan lebih 900 orang guru dari seluruh Malaysia bagi meraikan warga pendidik serta memperkukuh solidariti dalam memperjuangkan kebajikan, perlindungan dan pengiktirafan profesion keguruan.
Perhimpunan ini telah dirasmikan oleh Dr. Rusmini binti Ku Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum). Turut hadir memeriahkan sambutan ini ialah wakil-wakil Jabatan Pendidikan Negeri dari seluruh Malaysia serta rakan-rakan kerjasama strategik NUTP yang sentiasa menyokong perjuangan kesatuan dalam membela hak dan kepentingan warga pendidik.
Sempena sambutan ini, NUTP turut meraikan 52 orang guru bertuah sebagai tanda penghargaan bersempena dengan ulang tahun ke-52 penubuhan NUTP. Selain itu, lima (5) individu telah menerima anugerah khas sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan, jasa dan kecemerlangan mereka dalam bidang pendidikan serta perjuangan kesatuan guru. Penerima anugerah tersebut ialah:
🏆 Penerima Anugerah Khas
1. Sdri. Wak Jemah @ Mimah a/p Kampok – Mantan Naib Presiden (Bahasa Inggeris) NUTP.
2. Sdr. Mohd Ramli bin Yaacob – Mantan Ahli Majlis Eksekutif.
🏆 Penerima Anugerah Guru Inspirasi Sekolah Pendalaman
3. Dr. Zul Faizuddin bin Osman.
🏆 Penerima Anugerah Guru Inovasi NUTP
4. Sdri. Hamisah binti Ismail.
🏆 Penerima Anugerah Tokoh Pejuang Guru Sepanjang Zaman
5. YBhg. Datuk Lok Yim Pheng – Mantan Setiausaha Agung NUTP.
NUTP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada **Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh Malaysia** atas kesudian meluangkan masa dan menghadiri perhimpunan ini. Kehadiran serta sokongan yang diberikan mencerminkan semangat kerjasama dan komitmen bersama dalam memartabatkan profesion keguruan di Malaysia.
Dalam usaha memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan guru, NUTP turut mengambil kesempatan melalui perhimpunan ini untuk mengemukakan 13 cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kesejahteraan guru serta mengembalikan penghormatan masyarakat terhadap profesion keguruan. Cadangan-cadangan ini mencerminkan komitmen berterusan NUTP untuk memastikan suara guru didengari dan isu-isu berkaitan profesion keguruan diberikan perhatian sewajarnya.
Selaras dengan tema Hari Guru Sedunia 2026, “Standing with Teachers: Protecting the Profession, Advancing Its Status, and Shaping Our Futures”, NUTP akan terus komited dalam memperjuangkan hak, kebajikan dan perlindungan guru demi memastikan profesion keguruan terus dihormati dan diiktiraf sebagai tunjang pembangunan negara.
Akhir kata, pihak NUTP ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua guru yang hadir. Kesudian para guru meluangkan masa cuti, menempuh perjalanan yang jauh dan hadir dengan semangat perjuangan yang utuh membuktikan bahawa kita semua berkongsi satu matlamat yang sama, iaitu mengangkat martabat dan mempertahankan kemuliaan profesion keguruan.
TERIMA KASIH, CIKGU!