08/10/2026
DATO’ ZAMRI KETENGAHKAN CABARAN PENGESANAN RASUAH DAN PENYELEWENGAN KUASA
Kuala Lumpur, 8 Oktober – Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin, tampil sebagai salah seorang ahli panel dalam Forum “Detecting Corruption and Abuse: Emerging Typologies and Institutional Vulnerabilities” sempena Persidangan ke-16 International Conference on Financial Crime & Counter Terrorism Financing (IFCTF) 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), semalam.
Forum yang dikendalikan oleh Michael Sprake, Risk Consulting dari PwC Malaysia turut menampilkan Clif Lim, Director of Risk and Compliance, Dow Jones, Singapore dan Dr. Raymond Ram, President, Transparency International Malaysia (TI-M) sebagai ahli panel.
Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti bahagian, proses dan kelemahan institusi yang terdedah kepada risiko rasuah, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa, khususnya dalam organisasi dan institusi kewangan.
Turut dibincangkan ialah kemunculan kaedah dan modus operandi baharu yang semakin kompleks dalam menyembunyikan kegiatan rasuah, termasuk penyalahgunaan akses dalaman (insider access) serta eksploitasi kelemahan kawalan dalaman.
Forum turut menekankan kepentingan perkongsian maklumat dan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta bagi memperkukuh keupayaan mencegah, mengesan dan menyiasat jenayah kewangan secara lebih berkesan.
Penglibatan MACA dalam forum ini memperlihatkan peranan akademi bukan sekadar sebagai pusat latihan, malah sebagai platform perkongsian kepakaran dan pengetahuan strategik dalam memperkukuh kapasiti antirasuah dan memerangi jenayah kewangan.
Perkongsian serta input yang diperoleh melalui IFCTF 2026 juga akan dimanfaatkan dalam usaha memperkasa kandungan latihan dan modul lanjutan MACA, selaras dengan keperluan memastikan kompetensi pegawai serta sistem penyampaian latihan antirasuah dan pencegahan penipuan sentiasa responsif terhadap perkembangan serta ancaman jenayah kewangan semasa.