17/04/2026
PEMBUKAAN KURSUS BAHAGIAN LATIH INSTITUT KOMUNIKASI DAN ELEKTRONIK TENTERA DARAT
SUNGAI BESI, 17 Apr 26: Ketua Jurulatih Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED), Lt Kol Ts. Fandi bin Hamid telah menyempurnakan upacara pembukaan kursus bahagian latih bertempat di Padang Kawad Kem Induk IKED.
Seramai 132 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) yang terdiri daripada empat kursus iaitu Kursus Jurukomunikasi Kombat Semboyan Kelas 1 Siri PJKKS 23/2026 dan Jurukomunikasi Kelas 1 Siri JK K1 38/2026. Kursus ini akan dilaksanakan selama 16 minggu bermula 13 Apr 26 sehingga 31 Jul 26.
Dalam ucapan beliau menekankan supaya dapat memberi komitmen serta menjaga tatatertib, sentiasa positif dan proaktif sepanjang kursus dilaksanakan. Elakkan diri daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah, THTC dan perkara yang boleh menjejaskan nama institut serta Rejimen Semboyan Diraja. Beliau menyatakan, pihak institut tidak akan berkompromi jika berlaku sebarang perlanggaran disiplin semasa kursus berlangsung.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua-ketua Cawangan, pegawai-pegawai, KSMJ dan barisan Jurulatih.
14/04/2026
UPACARA PEMAKAIAN PANGKAT ANGGOTA IKED
SUNGAI BESI, 14 Apr 26: Komandan IKED, Kol Kharul Rijal bin Abd Manap telah menyempurnakan upacara pemakaian pangkat bagi 2 anggota LLP iaitu 1 x LLP daripada SSjn ke P/PW 2 iaitu P/PW 2 Danniel anak Jalal dan 1 x LLP daripada Kpl ke P/Sjn iaitu P/Sjn Muhammad Faiz bin Ramlan. Dalam ucapan komandan mengucapkan tahniah kepada anggota yang dinaikkan pangkat, dan perlu melaksanakan tanggungjawab seiring dengan pangkat yang disandang.
Majlis ini telah dihadiri oleh Ketua Jurulatih, Ketua-ketua Bahagian dan Cawangan dan Jurulatih/Staf IKED.
07/04/2026
LAWATAN PENUNTUT TVETMARA, MARA - JAPAN INDUSTRIAL INSTITUTE KE INSTITUT KOMUNIKASI DAN ELEKTRONIK TENTERA DARAT (IKED)
SUNGAI BESI, 7 Apr 26: Seramai 4 pensyarah dan 33 x pelajar dari TVETMARA, MARA - Japan Industrial Institute, Beranang, Selangor diketuai oleh Puan Azlin binti Ramli daripada Jabatan Transmisi Data dan Rangkaian telah membuat lawatan sambil belajar ke IKED. Lawatan tersebut telah disambut oleh Komandan, Kol Kharul Rijal bin Abd Manap, Ketua Jurulatih Lt Kol Ts. Fandi bin Hamid, Ketua-ketua Cawangan serta pegawai dan Jurulatih IKED.
Lawatan dimulakan dengan taklimat oleh Ketua Cawangan Komunikasi dan disusuli dengan Demonstrasi Morse Code bertempat di Makmal Seksyen Set, Demonstrasi Komunikasi Taktikal, Talian dan X-BAND bertempat di Gazebo. Peserta juga telah membuat lawatan ke Muzium RSD bagi melihat alat-alat komunikasi lagasi yang pernah digunakan pada satu masa dahulu. Demonstrasi terakhir adalah Demonstrasi Detasmen Drill yang berlangsung di Padang Kawad Induk, IKED.
Komandan dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah dan pelajar dari TVETMARA kerana sudi meluangkan masa untuk melawat Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat.
Lawatan diakhiri dengan jamuan makan tengahari dan acara pertukaran cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan.
03/04/2026
MAJLIS PENUTUP KURSUS PEMBINAAN JURULATIH LLP (DEC) SIRI 5 TAHUN 2026
SUNGAI BESI, 3 Apr 26: Majlis Penutup Kursus Pembinaan Jurulatih LLP (Dec) Siri 5/26 telah diadakan di Bilik Malaysia, Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED), Kem Perdana Sg Besi, Kuala Lumpur.
Upacara penutup telah disempurnakan oleh Ketua Jurulatih IKED dan dihadiri oleh Ketua Bahagian Peperiksaan dan Kurikulum, Lt Kol Ong Phik Fen, Ketua-Ketua Cawangan dan Bahagian, Jurulatih serta Staf IKED. Dalam upacara tersebut Ketua Jurulatih mengingatkan semua penuntut agar sentiasa menjaga kredibiliti sebagai Jurulatih IKED dengan menjaga disiplin dan keterampilan serta sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan sekembali ke Cawangan masing-masing selepas ini. Selain itu, beliau juga mengingkatkan supaya menggunakan kelebihan yang dipelajari sepanjang kursus ini bagi menambah baik sistem pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas seiring dengan era pemodenan yang lebih ke arah Digitalised dan mudah diakses.
Kursus ini telah dilaksanakan bermula 26 Feb 26 hingga 3 Apr 26 selama 5 minggu. Kursus ini adalah kursus sampingan bagi Jurulatih IKED meningkatkan kemahiran mengajar dan mengendalikan kelas serta melaksanakan pengukuran ujian bagi kursus yang dilaksanakan di dalam IKED.
Penuntut Akademik Terbaik bagi Pembinaan Jurulatih LLP (Dec) Siri 5/26 disandang oleh 1194637 Sjn Muhamad Norhasnizal bin Norman manakala Penuntut Keseluruhan Terbaik bagi Pembinaan Jurulatih LLP (Dec) Siri 5/25 disandang oleh 1176854 Kpl Muhammad Faiz bin Ramlan.
31/03/2026
SERAH TERIMA TUGAS KETUA CAWANGAN LATIHAN PEGAWAI DAN PTTK DAN PEMAKAIAN PANGKAT PEGAWAI IKED
SUNGAI BESI, 31 Mac 26: Komandan IKED, Kol Kharul Rijal bin Abd Manap telah menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Latihan Pegawai dan PTTK (CLPP) IKED antara Mej Lee Mun Kit dengan Mej Norbaizura binti Abu Bakar. Upacara diteruskan lagi dengan upacara pemakaian pangkat bagi 2 pegawai daripada Kapt ke Mej iaitu Mej Nurul Syafiqah Amira binti Ahmad Mokhtar dan Mej (PTS) Zulkifli bin Ghani.
Majlis ini telah dihadiri oleh Ketua Jurulatih, Ketua-ketua Bahagian dan Cawangan, Pegawai Staf 2 Latih, SMR dan Jurulatih/Staf IKED.
16/03/2026
PERBARISAN KOMANDAN DAN SERAH TERIMA TUGAS KETUA JURULATIH INSTITUT KOMUNIKASI DAN ELEKTRONIK TENTERA DARAT
SUNGAI BESI, 16 Mac 26: Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED) telah melaksanakan Perbarisan Komandan dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jurulatih yang berlangsung di Padang Kawad Induk, IKED. Perbarisan tersebut melibatkan 20 Pegawai dan 384 LLP, diketuai oleh Ketua Bahagian Peperiksaan dan Kurikulum, Lt Kol Ong Phik Fen selaku Ketua Perbarisan.
Majlis dimulakan dengan acara menandatangani Nota Serah Terima Tugas Ketua Jurulatih antara Lt Kol Samsudin bin Ahmad dengan Lt Kol Ts. Fandi bin Hamid, yang secara rasmi mengambil alih jawatan sebagai Ketua Jurulatih IKED yang baharu.
Perbarisan diteruskan dengan ucapan Komandan IKED yang turut merakamkan penghargaan dan ucapan selamat maju jaya kepada mantan Ketua Jurulatih yang akan bertukar keluar ke Jabatan Arah Semboyan sebagai Pegawai Staf 1 Komunikasi Data, Cwg Peperangan Informasi. Segala jasa bakti serta pengorbanan beliau sepanjang berkhidmat di IKED akan sentiasa dikenang oleh seluruh warga institut.
Dalam kesempatan yang sama, Komandan turut menyampaikan Perutusan Hari Raya Aidilfitri, dengan mengingatkan seluruh warga IKED agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga sepanjang perjalanan pulang bagi menyambut perayaan. Bagi anggota yang bertugas sepanjang tempoh perayaan, mereka diingatkan supaya melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi.
Majlis diakhiri dengan sesi bersalam-salaman antara pegawai, staf, jurulatih, penuntut serta warga IKED yang akan bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri, diikuti dengan pemeriksaan kenderaan bagi memastikan keselamatan semua warga IKED dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.
15/03/2026
MAJLIS BERBUKA PUASA WISMA BINTARA KOR RSD BERSAMA PEGAWAI MEMERINTAH WISMA
SUNGAI BESI, 13 Mac 26: Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat telah telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bertempat di Wisma Bintara Kor Rejimen Semboyan Diraja, Kem Perdana Sungai Besi.
Majlis dimulakan dengan solat maghrib yang didahului dengan ceramah ringkas pimpinan Pegawai Agama Pasukan, Mej Amirrul Haffis bin Mohamad bertempat di Surau Al-Hidayah, Cwg Rejimental IKED.
Selesai solat maghrib, majlis diteruskan dengan jamuan berbuka puasa bersama Peg Memerintah Wisma, Kol Kharul Rijal bin Abd Manap. Dalam majlis tersebut, Pegawai Memerintah Wisma telah berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada semua kakitangan Staf Awam sebagai tanda menghargai pengorbanan mereka dalam membantu hal ehwal pentadbiran di IKED.
Majlis diakhiri dengan acara bergambar antara Pegawai Memerintah Wisma bersama Ahli-ahli Wisma yang turut hadir dalam memeriahkan majlis tersebut.
13/03/2026
MAJLIS BERBUKA PUASA INSTITUT KOMUNIKASI DAN ELEKTRONIK TENTERA DARAT
SUNGAI BESI, 13 Mac 26: Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED) telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bertempat di Dewan Desatera Cawangan Rejimental, IKED.
Majlis dimulakan dengan solat maghrib dengan didahului dengan ceramah ringkas yang dipimpin oleh Pegawai Agama Pasukan, Mej Amirrul Haffis bin Mohamad bertempat di Surau Al-Hidayah, Cwg Rejimental IKED.
Selesai solat maghrib, majlis diteruskan dengan jamuan berbuka puasa bersama Komandan, Kol Kharul Rijal bin Abd Manap di Dewan Desatera Cwg Rejimental IKED. Dalam majlis tersebut, Komandan IKED telah berbesar hati bagi menyampaikan sumbangan Majlis Berbuka Puasa dan Ihya Ramadhan kepada 1 x pegawai dan 12 x anggota LLP. Majlis diakhiri dengan solat sunat tarawih dan jamuan moreh di Surau Al-Hidayah.
13/03/2026
MAJLIS PENUTUP KURSUS JURUKRIPTO TENTERA DARAT SIRI JKTD 14/2026
SUNGAI BESI, 12 Mac 26: Ketua Bahagian Tadbir dan Material Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat, Lt Kol Hjh Fazliezawati binti Abdullah telah menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Jurukripto Tentera Darat Siri JKTD 14/2026 yang melibatkan seramai 24 penuntut. Majlis penutup telah dilaksanakan di Bilik Malaysia, IKED.
Kursus ini dilaksanakan selama tujuh minggu bermula pada 26 Jan 26 sehingga 13 Mac 26. Atur cara majlis dimulakan dengan penyampaian sijil kepada penuntut dan seterusnya penyampaian Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik dan Akademik Terbaik. Bagi Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik dan Akademik Terbaik disandang oleh 1172949 Kpl Muhamad Faizal bin Rohimin dari Pasukan 10 RAMD.
Dalam ucapan penutup, Ketua Bahagian Tadbir dan Material mengucapkan tahniah kepada semua penuntut atas kejayaan menamatkan kursus ini yang mana tujuan utamanya adalah untuk menjaga Keselamatan Komunikasi (Keskom) di dalam aspek komunikasi yang digunakan di dalam Tentera Darat Amnya dan ATM Khasnya berada dalam keadaan selamat dan terjamin demi memastikan penyampaian maklumat tidak terlepas ke pihak yang tidak bertanggungjawab.
Turut hadir, Ketua-ketua Bahagian dan Cawangan, para Pegawai, KSMJ serta barisan Staf dan Jurulatih.
12/03/2026
MAJLIS KHATAM AL-QURAN PERINGKAT INSTITUT KOMUNIKASI DAN ELEKTRONIK TENTERA DARAT
SUNGAI BESI, 12 Mac 26: Majlis Khatam Al-Quran Peringkat IKED telah dilaksanakan bertempat di Surau Al- Hidayah, Cawangan Rejimental IKED.
Majlis Khatam Al-Quran ini telah dipimpin oleh Pegawai Agama Pasukan, Mej Amirrul Haffis bin Mohamad. Seramai 55 anggota terdiri daripada Pegawai, Jurulatih dan Staf, Penuntut Kursus, Staf Awam serta Ahli BAKAT terlibat dalam menjayakan majlis ini. Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderahati oleh Kol Kharul Rijal bin Abd Manap, Komandan IKED dan Puan Marina binti Abdul Rahman, Pengerusi BAKAT IKED kepada kesemua peserta.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama Komandan serta semua peserta yang terlibat.
11/03/2026
MESYUARAT KEBAJIKAN SIRI 1/2026 INSTITUT KOMUNIKASI DAN ELEKTRONIK TENTERA DARAT (IKED)
SUNGAI BESI, 11 Mac 26: Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED) telah melaksanakan Mesyuarat Kebajikan Siri 1/2026 bertempat di Dewan Dato’ Ahmad Ibrahim IKED Kem Perdana Sungai Besi.
Mesyuarat kebajikan ini dipengerusikan oleh Kol Kharul Rijal bin Abd Manap, Komandan IKED.
Beberapa cadangan dan usul baru telah dikemukakan oleh anggota dan semua usul-usul tersebut mendapat perhatian Komandan demi kebaikan dan kepentingan warga institut ini.
Pegawai Tabung Kebajikan Rejimen (TKR), Kapt Mohd Afham Aizat bin Mohd Zamani turut membentangkan kedudukan kewangan TKR bagi pemakluman kepada semua peringkat pegawai dan anggota.
Dalam ucapan penutup, Komandan berharap agar semua permasalahan dan usul yang dicadangkan dalam mesyuarat ini diambil tindakan supaya tiada perkara berbangkit pada mesyuarat kebajikan yang akan datang.
10/03/2026
PERBARISAN AJUTAN INSTITUT KOMUNIKASI DAN ELEKTRONIK TENTERA DARAT
KUALA LUMPUR, 10 Mac 26: Perbarisan Ajutan Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED) telah dilaksanakan bertempat di Padang Kawad Kem Induk. Perbarisan ini merupakan salah satu usaha dalam mengekalkan Sistem Pemerintahan Rejimental (SPR) Tentera Darat.
Perbarisan dimulai dengan Tabik Hormat kepada Ajutan IKED, Kapt Nazihah binti Mohamed Zaini seterusnya disusuli dengan pemeriksaan perbarisan oleh Ajutan.
Acara diteruskan lagi dengan ucapan, beliau menyampaikan peringatan kepada semua peringkat pegawai dan anggota serta penuntut untuk sentiasa mempraktikkan budaya hormat menghormati antara satu sama lain. Seterusnya, beliau juga mengingatkan seluruh Jurulatih, Pegawai dan Penuntut IKED untuk menghindari diri daripada melakukan pencemaran disiplin seperti Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC) dan penglibatan penyalahgunaan dadah dan air ketum. Di akhir ucapan, beliau mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya serta mengingatkan agar seluruh Jurulatih, Staf dan Penuntut IKED untuk menjaga keselamatan diri di sepanjang musim perayaan ini.