19/10/2026
KUALA LUMPUR, 18 OKTOBER 2026 โ Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Planetarium Negara menganjurkan Program Astro Sparkz 2026 yang berkonsepkan kem Astronomi selama 2 hari 1 malam bermula pada 17 hingga 18 Oktober bertempat di Planetarium Negara, Kuala Lumpur.
Program Astro Sparkz 2026 dirancang khusus bagi memberikan pengalaman unik pembelajaran Astronomi di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, di samping meningkatkan kesedaran, pemahaman serta minat berkaitan bidang Sains Angkasa dalam kalangan kanak-kanak berumur 10 sehingga 12 tahun.
Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuk Solar Rover, Space Talent, aktiviti berkumpulan, Space Hunt dan Saya Seorang Angkasawan yang memberi peluang kepada para peserta meneroka ilmu sains dan teknologi angkasa lepas secara interaktif, di samping memupuk kreativiti, kerjasama berpasukan serta minat terhadap bidang STEM.
Penganjuran Program Astro Sparkz 2026 ini membuka peluang kepada 80 orang kanak-kanak untuk merasai pengalaman pembelajaran Sains Angkasa melalui kaedah yang berbeza daripada pembelajaran di sekolah. Usaha ini diharap dapat memupuk pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta melahirkan generasi muda yang berdaya saing dalam bidang penerokaan angkasa lepas.