07/04/2026
SELAMAT MENYAMBUT HARI KESIHATAN SEDUNIA
Kesihatan adalah asas kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara. Sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia, marilah kita bersama-sama memperkukuh komitmen dalam memelihara kesihatan diri, keluarga dan komuniti.
Berlandaskan tema “Bersama Demi Kesihatan, Berdiri Teguh Berteraskan Sains”, kita diseru untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat serta menyokong pendekatan berasaskan bukti dalam setiap aspek penjagaan kesihatan.
📊 Fakta NHMS 2022 - Tahukah Anda??
Prevalens kemurungan dalam kalangan remaja di Malaysia adalah 26.9%, satu angka yang menuntut perhatian serius daripada semua pihak. Untuk maklumat lanjut, layari: iku.gov.my/nhms-ahs-2022-state-report
Sehubungan itu, marilah kita:
✅ Meningkatkan kesedaran kesihatan mental
✅ Mengamalkan gaya hidup sihat secara menyeluruh
✅ Menyokong individu yang memerlukan bantuan
✅ Mengutamakan sains dan data dalam membuat keputusan kesihatan
Kesihatan adalah tanggungjawab bersama. Ayuh kita berganding bahu ke arah Malaysia yang lebih sihat dan sejahtera !!
03/04/2026
Seramai 25 pelajar Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan lawatan akademik ke Institut Kesihatan Umum (IKU) pada jam 9.30 pagi hari ini dengan diketuai oleh penyelia program.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada komponen pembelajaran kursus Dietetik yang menekankan aspek pengurusan organisasi. Melalui lawatan ini, para pelajar didedahkan kepada struktur organisasi serta peranan institusi kesihatan awam dalam menyokong pembangunan bidang dietetik di Malaysia.
Selain itu, pelajar turut diberi pendedahan mengenai fungsi IKU secara keseluruhan, khususnya peranan Pusat Penyelidikan Epidemiologi Pemakanan dalam melaksanakan kajian berkaitan pemakanan dan dietetik yang menyumbang kepada pembangunan dasar serta intervensi kesihatan awam di peringkat nasional.
Sepanjang program, para pelajar turut mengikuti sesi taklimat mengenai aktiviti penyelidikan serta peluang kerjaya dalam bidang berkaitan. Lawatan ini diakhiri dengan sesi soal jawab dan perbincangan interaktif yang memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran pelajar.
03/04/2026
LAWATAN KERJA YB TIMBALAN MENTERI KESIHATAN KE INSTITUT KESIHATAN UMUM (IKU)
Institut Kesihatan Umum (IKU), Setia Alam telah menerima lawatan kerja daripada YB Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Kesihatan pada 31 Mac 2026.
Lawatan ini menjadi wadah penting dalam mengetengahkan peranan IKU sebagai peneraju penyelidikan kesihatan awam negara. Antara penyelidikan utama yang dibentangkan termasuk Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) serta Langkawi Longitudinal Study (LLS), yang menyumbang kepada pemahaman menyeluruh terhadap status kesihatan rakyat Malaysia.
Di samping itu, sesi ini turut membuka ruang perbincangan strategik ke arah memperkukuh penggunaan bukti saintifik dalam perancangan dasar dan penambahbaikan perkhidmatan kesihatan negara.
03/04/2026
AKTIVITI SCOUTING NHMS 2026: KESIHATAN IBU DAN ANAK
Aktiviti scouting sebagai persediaan bagi pelaksanaan Pilot Testing Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi (NHMS) 2026: Kesihatan Ibu dan Anak telah berjaya dilaksanakan di Kampung Sementa, Klang pada 2 April 2026.
Aktiviti ini melibatkan penyelia-penyelia lapangan serta kakitangan Institut Kesihatan Umum (IKU), dengan kerjasama erat daripada ketua kampung dan pimpinan setempat. Usaha ini penting dalam memastikan kelancaran operasi lapangan serta keberkesanan pelaksanaan kajian yang bakal dijalankan.
19/03/2026
SALAM AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN
Institut Kesihatan Umum (IKU) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya.
Semoga perayaan ini membawa keberkatan, kesejahteraan dan kesihatan yang berpanjangan kepada semua.
Bunga melati di tepi taman,
Harum mewangi di pagi hari,
Salah dan silap mohon dimaafkan,
Semoga bahagia Aidilfitri ini.
09/03/2026
🌸 SELAMAT MENYAMBUT HARI WANITA SEDUNIA 2026 🌸
Kita meraikan kekuatan, ketabahan dan sumbangan besar wanita dalam membina keluarga, masyarakat dan negara. Namun di sebalik pelbagai tanggungjawab yang digalas, kesihatan mental wanita juga perlu diberi perhatian serius.
Penemuan daripada National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023 menunjukkan bahawa kira-kira 4.6% rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan (depression) dan angka ini telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2019.
Keadaan ini mengingatkan kita bahawa kesejahteraan mental adalah sama penting dengan kesihatan fizikal, terutama bagi wanita yang sering memikul pelbagai peranan dalam kehidupan seharian.
Sempena Hari Wanita ini, marilah bersama-sama menjaga kesihatan mental dengan:
• Mengimbangi tanggungjawab kerja, keluarga dan masa untuk diri sendiri
• Berkongsi perasaan serta mendapatkan sokongan daripada orang terdekat
• Mengamalkan gaya hidup sihat seperti aktiviti fizikal dan tidur mencukupi
• Mendapatkan bantuan profesional sekiranya memerlukan
Untuk maklumat lanjut mengenai dapatan NHMS, layari:
iku.gov.my/nhms
04/03/2026
SELAMAT MENYAMBUT HARI OBESITI SEDUNIA 🌍
"World Obesity Day 2026 is a call to action for all 8 billion of us. Together, we can change the story of obesity", merupakan satu seruan global agar kita bersama-sama memainkan peranan dalam menangani isu obesiti secara menyeluruh dan bersepadu.
Berdasarkan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 21.8% rakyat Malaysia adalah obes manakala 32.6% lagi berlebihan berat badan. Statistik ini menunjukkan bahawa lebih separuh rakyat Malaysia kini berdepan isu berat badan berlebihan, yang meningkatkan risiko pelbagai penyakit tidak berjangkit.
Obesiti bukan sekadar cabaran kesihatan individu, tetapi isu kesihatan awam yang memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak. Marilah kita memperkukuh kesedaran, mengamalkan gaya hidup sihat serta menyokong persekitaran yang kondusif ke arah pencegahan dan pengawalan obesiti demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
Info lanjut berkaitan dapatan NHMS 2023, layari iku.gov.my/nhms-2023
04/03/2026
MESYUARAT JAWATANKUASA PEMANDU BAGI TINJAUAN KEBANGSAAN KESIHATAN & MORBIDITI (NHMS) BIL 1/2026
Pada 4 Mac 2026 telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu NHMS Bil. 1/2026 bagi pembentangan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Kesihatan Warga Emas. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Dr. Mahathar bin Abd Wahab, Ketua Pengarah Kesihatan.
Dapatan NHMS 2025 ini amat signifikan sebagai sumber rujukan berasaskan bukti dalam memperkukuh serta menambah baik dasar dan program kesihatan, khususnya yang memberi penekanan kepada kesejahteraan, penjagaan komprehensif dan peningkatan kualiti hidup warga emas di Malaysia.
26/02/2026
LAWATAN SAMBIL BELAJAR PELAJAR DARI MSU EDU-TOURISM PROGRAM: NURSING AND HEALTH SCIENCE STUDY TOUR INTERNATIONAL UNIVERSITY OF HEALTH AND WELFARE (IUHW), JEPUN
Institut Kesihatan Negara (NIH) telah menerima kunjungan akademik pelajar antarabangsa melalui MSU Edu-Tourism Program: Nursing and Health Science Study Tour daripada International University of Health and Welfare (IUHW), Jepun, melibatkan seramai 28 orang pelajar daripada pelbagai bidang kesihatan.
Lawatan ini turut diisi dengan sesi taklimat dan penerangan oleh Institut Kesihatan Umum (IKU) mengenai peranan, fungsi serta perkembangan terkini penyelidikan kesihatan awam yang dilaksanakan di Malaysia.
Butiran lawatan adalah seperti berikut:
• Tarikh: 26 Februari 2026 (Selasa)
• Masa: 10.00 pagi – 11.00 pagi
• Lokasi: Bilik Mesyuarat Dahlia, Blok B5, Aras 9, IKU
Secara keseluruhannya, lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai ekosistem penyelidikan kesihatan di Malaysia, peranan institut-institut di bawah Institut Kesihatan Negara (NIH) serta perkembangan penyelidikan kesihatan awam dan klinikal di peringkat nasional.
Selain IKU, institut lain yang terlibat adalah Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Pusat Penyelidikan Klinikal (ICR).
19/02/2026
SALAM RAMADHAN 1447H
Seluruh warga Institut Kesihatan Umum mengucapkan Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak. Semoga Ramadan kali ini membawa ketenangan, keberkatan dan kesihatan yang berpanjangan buat kita semua.
Amalkan pemakanan seimbang, kekal hidrasi dan utamakan kesejahteraan diri sepanjang berpuasa.
Ramadan Mubarak
16/02/2026
SELAMAT TAHUN BARU CINA 2026 !!
Institut Kesihatan Umum (IKU) mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya.
Semoga tahun baharu ini membawa kebahagiaan, kesejahteraan, kemakmuran dan kesihatan yang berpanjangan buat anda dan keluarga.
Marilah kita bersama-sama terus mengamalkan gaya hidup sihat demi kesejahteraan diri, keluarga dan negara.
Gong Xi Fa Cai! Xin Nian Kuai Le!