26/05/2026
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita sekali lagi diberi kesempatan menyambut Hari Raya Aidiladha yang penuh keberkatan ini.
Saya serta isteri ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh warga PDRM khususnya warga Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya.
Aidiladha mengajar kita erti pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab. Semangat inilah yang perlu terus diterapkan dalam setiap tugas dan perkhidmatan yang kita galas demi keselamatan, kesejahteraan dan keamanan negara.
Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pegawai serta anggota yang tetap bertugas sepanjang musim perayaan demi memastikan kelancaran lalu lintas, keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Pengorbanan anda semua amat dihargai dan disanjung tinggi.
Saya menyeru kepada seluruh pengguna jalan raya agar sentiasa berhemah, mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan ketika pulang ke kampung halaman bersama keluarga tercinta.
Semoga sambutan Aidiladha kali ini membawa keberkatan, mengeratkan silaturahim serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan kita semua.
Selamat Hari Raya Aidiladha.
Maaf Zahir dan Batin.
10/05/2026
Selamat Hari Ibu 2026 ❤️
Buat seluruh insan bergelar ibu, terima kasih atas segala kasih sayang, pengorbanan dan doa yang tidak pernah putus demi kebahagiaan keluarga.
Ibu adalah sumber kekuatan, insan yang sentiasa ada di saat susah dan senang serta menjadi inspirasi dalam setiap langkah kehidupan.
Semoga semua ibu sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan berpanjangan dan dipermudahkan segala urusan.
“Kasih ibu membawa ke syurga.”
01/05/2026
Selamat Menyambut Hari Pekerja kepada semua.
Semoga semangat kerja berpasukan, integriti serta komitmen dan dedikasi dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.
Bersama-sama kita menyahut semangat “Pekerja MADANI, Kesuma Bangsa.”
12/04/2026
LAWATAN KEBAJIKAN KE ATAS AHLI KELUARGA MANGSA KEMALANGAN JALAN RAYA
Pada 3 April 2026 (Jumaat), jam 3.00 petang, PERKEP JSPT telah mengadakan satu lawatan kebajikan ke kediaman Puan Nor Nadia Abdul Majid di Pangsapuri Rimba, Seksyen 16, Selangor.
Lawatan ini diketuai oleh YBhg. Datin Sri Datuk (Dr.) Hajah Munirah binti Che Rose, Pengerusi PERKEP Malaysia, bersama YBhg. Datin Sri Dr. Rosmariza binti Dato’ Haji Che Umar, Pengerusi PERKEP JSPT (Biro Pendidikan), YBhg. Puan Zurim binti Md Khalid, Naib Pengerusi PERKEP Selangor, DSP Noor Edarismariana binti Che Ideris, Setiausaha Agung PERKEP Malaysia, serta barisan Ahli Jawatankuasa PERKEP JSPT Bukit Aman dan Urus Setia PERKEP IPK Selangor.
Puan Nor Nadia Abdul Majid merupakan balu kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang telah terkorban dalam satu kemalangan jalan raya akibat dirempuh oleh pemandu di bawah pengaruh dadah/alkohol di Klang, Selangor. Insiden ini telah mendapat perhatian umum dan menjadi peringatan kepada semua pihak mengenai bahaya pemanduan tidak bertanggungjawab serta kesan mendalam yang ditanggung oleh keluarga mangsa.
Lawatan ini mencerminkan keprihatinan berterusan warga JSPT dalam menyantuni ahli keluarga mangsa, di samping mengeratkan hubungan silaturahim serta menzahirkan sokongan moral kepada Puan Nor Nadia dan keluarga.
Semoga Puan Nor Nadia Abdul Majid terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini.
25/03/2026
SELAMAT MENYAMBUT HARI ULANG TAHUN JSPT KE-10
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, YDH CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah bin Ali bersama isteri, Datin Sri Dr. Rosmariza binti Dato’ Hj. Che Umar, selaku Pengerusi PERKEP JSPT, menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Ulang tahun Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ke-10 tahun kepada seluruh warga Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta PERKEP JSPT di seluruh negara.
Semoga JSPT terus melakar kecemerlangan sebagai nadi penggerak kelancaran aliran lalu lintas di seluruh negara, terus unggul dalam menyampaikan perkhidmatan yang berwibawa kepada masyarakat. Dengan ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang dan kecekapan dalam mengemudi cabaran lalu lintas yang semakin kompleks dan mencabar.
Kongsi perjalanan, kongsi keselesaan
Keselamatan diutamakan
21/03/2026
Salam Sejahtera dan Salam Aidilfitri
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, YDH CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah bin Ali bersama isteri, Datin Sri Dr. Rosmariza binti Dato’ Hj. Che Umar, selaku Pengerusi PERKEP JSPT, dengan penuh takzim dan keikhlasan menzahirkan setinggi-tinggi ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia, khususnya warga Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta PERKEP JSPT di seluruh negara.
Semoga Syawal yang mulia ini disambut dengan penuh keinsafan, keharmonian dan rasa kesyukuran setelah melalui bulan Ramadan yang sarat dengan keberkatan. Diharapkan agar nilai-nilai murni yang telah disemai dengan kesabaran, keikhlasan, toleransi dan semangat kebersamaan, akan terus subur dalam sanubari dan menjadi pedoman dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab sebagai warga PDRM.
Dalam kesempatan ini juga, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada seluruh warga JSPT dan PERKEP JSPT atas komitmen, dedikasi serta pengorbanan yang tidak berbelah bahagi, khususnya dalam memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sepanjang musim perayaan. Jasa dan pengorbanan ini amatlah dihargai serta disanjung tinggi.
Semoga Aidilfitri ini menjadi medan terbaik untuk mengeratkan lagi ukhuwah, memperkukuhkan silaturahim sesama rakan setugas, keluarga dan masyarakat, seterusnya menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan warga PDRM.
Akhir kata, semoga Syawal ini membawa sinar kebahagiaan, keberkatan dan kesejahteraan kepada kita semua.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Kongsi perjalanan, kongsi keselesaan
Keselamatan Diutamakan
20/03/2026
MAJLIS PERASMIAN DAN MESYUARAT AGUNG PERKEP JABATAN SIASATAN DAN PENGUATKUASAAN TRAFIK BIL. 10 TAHUN 2026
Kuala Lumpur, 11 Mac 2026 – Majlis Perasmian dan Mesyuarat Agung PERKEP Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bil. 10 tahun 2026 di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman. Majlis telah dirasmikan oleh Penaung PERKEP JSPT iaitu YDH CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah Ali, Pengarah JSPT dengan kehadiran Pengerusi PERKEP iaitu Y.Bhg Datin Sri Dr. Rosmariza Dato' Hj Che Umar.
Majlis bermula dengan nyanyian lagu Negaraku, Sang Saka Biru dan PERKEP Malaysia. Seterusnya, bacaan doa yang dipimpin oleh Sub Insp. Ameer Azhan dari Cawangan Kesejahteraan JSPT Bukit Aman. Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi PERKEP JSPT, Y.Bhg Datin Sri Dr. Rosmariza Dato' Hj Che Umar. Dalam ucapannya, beliau berharap semua ahli PERKEP JSPT terus memberikan sepenuh komitmen dan kerjasama yang tinggi dalam menjayakan program-program yang dirancang.
Ucaptama perasmian telah disampaikan oleh YDH Dato’ Sri Muhammed Hasbullah Ali, Pengarah JSPT. Antara intipati ucapan beliau berkehendakkan agar ahli PERKEP mengekalkan prestasi di dalam melaksanakan aktiviti dan program yang dirancang. Ahli PERKEP merupakan tulang belakang kepada warga PDRM tidak kira pada yang bekerja ataupun suri rumah, kerana isteri dan wanita memainkan peranan yang penting di dalam keluarga bahagia.
Selain itu, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh PERKEP mampu memberikan imej yang positif kepada PDRM. Beliau juga berharap semua ahli komited dalam merancakkan aktiviti PERKEP selari dengan jawatan yang dipikul.
Turut ditayangkan klip video AJK PERKEP sesi 2024/2025 dan aktiviti-aktiviti yang telah diadakan sepanjang tahun 2025 serta penyampaian sijil penghargaan dan penyampaian cenderahati kepada semua AJK PERKEP JSPT bagi sesi 2024/2025.
Selesai sesi perasmian, majlis diteruskan dengan mesyuarat bagi melantik AJK PERKEP JSPT yang baharu dalam menerajui perjalanan dan aktiviti PERKEP bagi sesi tahun 2026/2027 yang dipengerusikan oleh Pengerusi PERKEP JSPT. Seperti tahun sebelumnya, mesyuarat telah membentangkan minit mesyuarat lepas, penyata kewangan dan seterusnya laporan aktiviti sepanjang tahun 2025. AJK bagi tahun 2026/2027 juga telah dilantik dan mesyuarat diteruskan dengan perbincangan isu-isu berbangkit dan diakhiri dengan cabutan bertuah kepada ahli PERKEP yang hadir.
Syabas dan tahniah kepada AJK-AJK baharu yang telah dilantik bagi sesi 2026/2027 dan semoga dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan cemerlang.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah (I) JSPT, YDH DCP Mohd Rozi Jidin dan isteri, selaku Naib Pengerusi PERKEP JSPT, Y.Bhg Puan Dr. Uzaimah Ahmad Nizam, Timb Pengarah (II) JSPT, YDH ACP Fauzi Osman dan isteri, Puan Noor Salasiyah Abu Bakar, Ketua Urusetia, YDH ACP Rahmat Ariffin dan isteri, Puan Zuina Mat Ali , Pegawai-Pegawai Kanan Polis, Pegawai-Pegawai Rendah Polis, Ahli Jawatankuasa PERKEP dan ahli-ahli PERKEP JSPT Bukit Aman.