15/05/2026
PEPERANGAN TABUK: TARBIYAH PENGORBANAN BUAT ANGGOTA JABATAN AMAL MALAYSIA
_Ruj: AmalTarbawi/KTD/BKDK/bil005/2026_
Peperangan Tabuk menjadi simbol perjuangan Islam yang penuh kesukaran, pengorbanan dan ketahanan jiwa.
Dalam suasana panas, kekurangan bekalan dan ancaman musuh yang besar, para sahabat tetap menyahut seruan Rasulullah ﷺ tanpa banyak alasan. Inilah ruh perjuangan yang perlu dihayati oleh setiap anggota Jabatan Amal Malaysia.
Kisah tiga sahabat yang tertinggal dalam peperangan Tabuk memberi pengajaran bahawa perjuangan memerlukan tindakan segera, disiplin dan pengorbanan. Kelalaian dan sikap bertangguh boleh menyebabkan seseorang terlepas peluang besar untuk berbakti kepada agama.
Anggota dan Pimpinan JAM perlu sentiasa bersedia menyahut amanah dakwah dan kebajikan walau dalam keadaan penat, sibuk atau serba kekurangan.
Allah SWT berfirman:
وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ
“Maka bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.”
(Surah Ali ‘Imran: 133)
Gerak kerja amal bukan sekadar tugas bantuan dan kawalan keselamatan, tetapi sebahagian daripada perjuangan Islam yang menuntut keikhlasan, kesabaran dan akhlak yang tinggi.
Anggota Amal mesti menjadi contoh dalam disiplin, adab, kesatuan jamaah dan kepatuhan kepada arahan pimpinan.
Firman Allah SWT:
الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
“Iaitu orang-orang yang membelanjakan hartanya pada waktu senang dan susah, menahan kemarahan serta memaafkan manusia; dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat ihsan.”
(Surah Ali ‘Imran: 134)
Peperangan Tabuk juga mengajar bahawa perjuangan memerlukan pengorbanan harta, tenaga dan masa. Ada yang mampu memberi banyak, ada yang sedikit, namun nilai di sisi Allah terletak pada keikhlasan.
Begitu juga anggota JAM yang hadir bertugas di medan kebajikan, bencana dan dakwah walaupun terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga dan keselesaan diri.
Sirah perjuangan telah memperlihatkan bahawa perjuangan perlu didasari dengan kesungguhan dan pengorbanan. Tidak boleh tidak pejuang kerap memberikan alasan.
Benar, Allah akan menguji kita dengan *4K* iaitu *Keluarga, Kewangan, Kenderaan & Kerjaya*. Akan tetapi jangan dilupakan kita mempunyai *1K* yang akan sentiasa membantu kita iaitu *KAWAN (SAHABAT)*.
Jadi, bergeraklah dan berjuanglah. Kerana perjuangan yang sulit dan sukar akan jadi lebih indah bila kita berada dalam jamaah.
Larangan lemah semangat
وَلَا تَهِنُواْ وَلَا تَحۡزَنُواْ وَأَنتُمُ ٱلۡأَعۡلَوۡنَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ
"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman."
(Surah Ali 'Imran : 139)
Akhirnya, kemenangan bukan hanya pada hasil yang segera, tetapi pada kesetiaan untuk terus istiqamah bersama perjuangan ketika susah dan sukar.
Anggota Jabatan Amal Malaysia mesti terus menjadi rijalul amal, mereka ini pejuang yang berkhidmat dengan ikhlas, berdisiplin, berakhlak dan tidak takut kepada celaan manusia demi mencari redha Allah.
04/05/2026
🔥 SELAMAT HARI BOMBA 🔥
WIRA NEGARA💪🏼
Setiap derap langkahmu melawan bahaya,adalah harapan buat yang memerlukan. Terima kasih atas keberanian tanpa batas,pengorbanan tanpa jemu,dan khidmat bakti yang tidak ternilai.
Di saat orang lain menjauh dari bahaya,kalian melangkah ke hadapan tanpa gentar. Di saat genting dan cemas,kalian hadir membawa harapan.
Semoga setiap pengorbanan ini dibalas dengan kebaikan,dilindungi dalam setiap tugasan,dan terus diberi kekuatan untuk berbakti kepada masyarakat.
KETUA PENGARAH
JABATAN AMAL MALAYSIA
20/03/2026
UCAPAN HARI RAYA AIDILFITRI
KETUA PENGARAH
JABATAN AMAL MALAYSIA
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
تَقَبَّلَ اللّٰهُ مِنَّا وَمِنكُمْ صَالِحَ الْأَعْمَال
Segala puji bagi Allah SWT yang telah mengurniakan kita kesempatan untuk menunaikan ibadah di bulan Ramadan yang penuh barakah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Bersempena dengan ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Semoga segala amalan kita sepanjang Ramadan diterima oleh Allah SWT dan dikurniakan keampunan serta rahmat-Nya.
Hari kemenangan ini bukan sekadar meraikan kejayaan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga sebagai medan untuk kita memperkukuh ukhuwah, menyemai kasih sayang serta meneruskan semangat pengorbanan dan kebajikan dalam masyarakat.
Sebagai warga Jabatan Amal Malaysia, marilah kita terus istiqamah dalam berkhidmat, membantu mereka yang memerlukan serta menjadi contoh kepada masyarakat dengan akhlak yang mulia.
Akhir kata, saya mendoakan agar kita semua sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
Sekian, terima kasih
KETUA PENGARAH
JABATAN AMAL MALAYSIA
06/03/2026
Moga dipermudah urusan sahabat Amal kita🤲🏼
06/03/2026
Tahniah atas penganjuran program yang hebat💪🏼
06/03/2026
SALAM NUZUL QURAN - 17 RAMADAN 1447H
Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis lain Baginda SAW bersabda:
“Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada para pembacanya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Semoga malam Nuzul Quran ini menjadi peringatan buat kita semua untuk lebih mendekatkan diri dengan Al-Quran, membaca, memahami dan mengamalkannya dalam setiap aspek kehidupan.
Selamat memperingati Nuzul Quran.
Semoga kita semua tergolong dalam kalangan pencinta Al-Quran. 🤲📖✨
KETUA PENGARAH
JABATAN AMAL MALAYSIA
18/02/2026
RAMADAN BULAN MENDIDIK JIWA
Marhaban Ya Ramadan.
Bulan yang mendidik jiwa, menyucikan hati, memperkuat amalan, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tapi mendidik hati supaya lebih sabar, dan menggerakkan tangan untuk lebih banyak beramal.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
(Surah Al-Baqarah: 183)
Semoga ramadan kali ini menjadi medan tarbiah untuk kita mempertingkatkan amalan, memperbanyak kebajikan serta mendekatkan diri kepada Allah swt.
KETUA PENGARAH
JABATAN AMAL MALAYSIA
09/02/2026
35 TAHUN JABATAN AMAL MALAYSIA:
Semangat Semut Merah, Khidmat Berterusan
Ruj: AmalTarbawi/KTD/BKDK/bil004/2026
Sepanjang 35 tahun penubuhannya, Jabatan Amal Malaysia telah berdiri sebagai sebuah institusi kebajikan dan kemanusiaan yang konsisten berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang, masa dan keadaan.
Dalam tempoh ini, Jabatan Amal Malaysia bukan sekadar membina sebuah organisasi, tetapi membentuk satu budaya khidmat berteraskan disiplin, keikhlasan dan ukhuwah.
Dalam landskap khidmat ini, istilah “Semut Merah” muncul sebagai gelaran simbolik kepada anggota Jabatan Amal Malaysia. Ia bukan sebuah badan yang berasingan, sebaliknya melambangkan identiti anggota di lapangan, mungkin kecil pada zahirnya, namun besar sumbangannya apabila digerakkan secara tersusun dan kolektif.
Seperti semut, kekuatan anggota Jabatan Amal Malaysia terletak pada kerja berpasukan, ketekunan dan kesediaan berkhidmat tanpa menuntut balasan.
Khidmat yang Teruji Masa
Sejak penubuhannya, Jabatan Amal Malaysia telah memainkan peranan penting dalam:
- Bantuan dan pengurusan bencana
- Kerja-kerja kebajikan masyarakat dan asnaf
- Kawalan keselamatan program dan himpunan
- Khidmat kesukarelawanan di peringkat komuniti
Anggota yang digelar “Semut Merah” menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan misi ini, bergerak di peringkat akar umbi dengan semangat sukarela dan komitmen yang tinggi.
Tiga dekad setengah perjalanan ini menjadi bukti bahawa Jabatan Amal Malaysia sentiasa relevan dan responsif terhadap keperluan masyarakat.
Berteraskan Nilai Islam Sejak 35 Tahun
Sejak awal penubuhannya, Jabatan Amal Malaysia menjadikan nilai Islam sebagai asas gerak kerja. Firman Allah SWT:
{ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰنِۚ }
[سورة المائدة: ٢]
“Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.”
Ayat ini menjadi prinsip yang membentuk arah dan etika khidmat Jabatan Amal Malaysia selama 35 tahun mendahulukan kebajikan, memelihara amanah dan menolak sebarang bentuk kepentingan peribadi.
Keikhlasan: Nadi Perjuangan Jabatan Amal
Dalam menelusuri 35 tahun khidmat, Jabatan Amal Malaysia sentiasa menekankan bahawa nilai sebenar amal terletak pada niat. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menjadi teras pembinaan jati diri anggota bahawa setiap tugas kebajikan, sekecil mana sekalipun, adalah ibadah apabila dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT.
Disiplin dan Ukhuwah: Kekuatan 35 Tahun
Salah satu kekuatan utama Jabatan Amal Malaysia sepanjang 35 tahun ialah disiplin organisasi dan ukhuwah yang kukuh dalam kalangan anggotanya.
Gerak kerja yang tersusun, patuh kepada arahan dan saling menyokong menjadi ciri utama yang membezakan Jabatan Amal Malaysia sebagai sebuah pasukan kebajikan beruniform.
Firman Allah SWT:
{ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلَّذِینَ یُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِهِۦ صَفࣰّا كَأَنَّهُم بُنۡیَـٰنࣱ مَّرۡصُوصࣱ } سورة الصف: ٤
Prinsip kesatuan dan kekuatan barisan inilah yang menjadi rahsia kelangsungan Jabatan Amal Malaysia selama lebih tiga dekad.
Penutup: 35 Tahun Melangkah ke Hadapan
Sambutan 35 Tahun Jabatan Amal Malaysia bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi meneguhkan azam untuk meneruskan khidmat dengan lebih berkesan dan berintegriti.
“Semut Merah” akan terus kekal sebagai gelaran yang mencerminkan roh dan semangat anggota Jabatan Amal Malaysia berkhidmat secara senyap, berdisiplin dan penuh keikhlasan.
Dengan berpaksikan al-Quran dan sunnah, serta diperkukuh oleh pengalaman 35 tahun di lapangan, Jabatan Amal Malaysia diyakini akan terus menjadi wadah kebajikan yang memberi manfaat besar kepada masyarakat dan ummah, hari ini dan pada masa hadapan.