Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam INTAN
Share
Program DPA INTAN telah dilaksanakan sejak tahun 1977 bagi melahirkan PTD yang unggul dan seimbang.
Diploma Pengurusan Awam (DPA) INTAN merupakan satu kursus mandatori yang dilaksanakan semenjak tahun 1977 lagi khusus bagi melahirkan para Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang memiliki komitmen, pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang tinggi dalam bidang pengurusan awam. Pelaksanaan kursus ini telah mengalami evolusi serta perubahan dari segi tempoh pelaksanaan dan pengendalian (iaitu 12 bu
lan, 9 bulan dan 6 bulan) bermula dari tahun 1977 sehingga kini selaras dengan kehendak stakeholders dan transformasi perkhidmatan awam. Sejajar dengan transformasi perkhidmatan awam negara dan pengukuhan INTAN sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Latihan Kerajaan dan Kepimpinan Sektor Awam yang berperanan dalam membangun dan membentuk modal insan yang kompeten, dinamik serta progresif, pelaksanaan serta kurikulum program DPA INTAN telah disemak semula dan ditambahbaik untuk membangunkan sebuah program latihan disiplin bagi bakal pegawai PTD yang mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Justeru, mulai tahun 2015, Program Diploma Pascasiswah Pengurusan Awam (DPA) INTAN telah dibangunkan dan dilaksanakan oleh INTAN kepada peserta Kadet PTD. Modul-modul yang ditawarkan dalam Program DPA telah dirangka dengan teliti serta terperinci kerana ianya merupakan sebuah program khas yang dibangunkan secara komprehensif khusus untuk melahirkan bakal-bakal pemimpin masa hadapan yang kompeten, mempunyai personaliti unggul dan mampu memacu perkhidmatan awam negara ke puncak kecemerlangan. Program ini berkonsepkan latihan menyeluruh yang berteraskan peningkatan profesionalisme peserta dengan memberi penekanan kepada lima (5) elemen utama dalam pembentukan peribadi serta jati diri iaitu Sahsiah (Attitude), Kemahiran (Skills), Pengetahuan (Knowledge), Kebolehsesuaian (Adaptability) dan Daya Tahan (Resilience) yang diterjemahkan melalui dua (2) bidang pembelajaran iaitu Kurikulum dan Ko-Kurikulum. Kurikulum Program DPA INTAN merangkumi tiga (3) komponen utama iaitu Komponen Akademik (Teori dan Praktikal), Komponen Integrasi Nasional dan Pengukuhan Diri serta Komponen Kepimpinan dan Kemahiran Interpersonal. Manakala bidang Ko-Kurikulum pula didukung oleh lapan (8) biro pembangunan profesional yang melaksanakan program/aktiviti yang dirancang serta dikelolakan oleh peserta sepenuhnya merangkumi Biro Profesional, Biro Penerbitan, Biro Kebudayaan, Biro Sukan, Biro Hal Ehwal Wanita (HELWA), Biro Kebajikan, Biro Kerohanian dan Biro Perpaduan. Program DPA dilaksanakan selama 10 bulan secara sepenuh masa di INTAN dan dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Subkluster Pembangunan Modal Insan di bawah Kluster Kepimpinan dan Pembangunan Eksekutif, INTAN.