20/10/2026
DATUK DR. MOHD ANWAR RIDHWAN SASTERAWAN NEGARA KE-10
Pada hari ini dalam tahun 2009, YBhg. Datuk Dr. Mohd Anwar Ridhwan, penulis novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan pemenang S.E.A. Write Awards 2002 telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-10 pada Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara 2009 yang berlangsung di Seri Kembangan, Selangor. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkenan mencemar duli untuk menyempurnakan pengurniaan tersebut.
Datuk Dr. Mohd Anwar menerima warkah penghormatan negara, wang sebanyak RM60,000.00, kemudahan mencipta dan menerbitkan karya, penerbitan sebanyak 50,000 naskhah untuk sebaran luas, penterjemahan karya di samping perubatan percuma di hospital kerajaan. Bahasanya yang bersih dan puitis, inovasi dalam pengisahan serta usahanya yang tidak kenal lelah mencari lambang dan citra yang tepat, melayakkan beliau menerima anugerah yang berprestij ini. Pemilihan beliau sebagai Sasterawan Negara memartabatkan lagi persada kesusasteraan tanah air.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, layari Portal HIDS menerusi https://hids.arkib.gov.my atau muat turun aplikasi HIDS di Apple App Store. HIDS juga bersiaran di:
1) RTM TV pada pukul 6.59 pagi, 12.59 tengah hari, 4.59 petang dan 7.59 malam.
2) 31 stesen radio milik RTM.