14/09/2026
๐๐ฅ๐ฆ๐ฎ ๐๐ฎ๐ฌ๐ญ๐๐ฅ๐๐ก ๐๐๐๐ข๐ฌ: ๐๐๐๐ฎ๐๐ก ๐๐๐ง๐ ๐ค๐ก๐ฎ๐ฌ๐ฎ๐ฌ๐๐ง ๐๐๐ง ๐๐๐ข๐ฌ๐ญ๐ข๐ฆ๐๐ฐ๐๐๐ง ๐๐ฎ๐๐ญ ๐๐ฆ๐๐ญ ๐๐ฌ๐ฅ๐๐ฆ
Tahukah anda, ilmu yang berkaitan dengan pemeriksaan dan penelitian bagi memastikan sesebuah pengkhabaran itu sahih dan benar merupakan antara salah satu ilmu yang diasaskan oleh umat Islam sendiri. Hal ini kerana, umat-umat terdahulu (sebelum kedatangan Islam) tidak memberikan perhatian terhadap penukilan dan periwayatan berita melalui sanad, serta mereka tidak meneliti dan mengkaji orang-orang yang menyampaikan pengkhabaran tersebut dari sudut tahap keadilan dan ketepatan atau ketelitian mereka. Oleh sebab itu, peristiwa-peristiwa sejarah diriwayatkan begitu sahaja tanpa penelitian yang sewajarnya. Bahkan, dalam penerimaan agama dan mazhab juga, mereka menerimanya dengan bergantung kepada lisan para perawi dan penulisan-penulisan mereka sahaja tanpa mempersoalkan sanad, apatah lagi untuk mengkaji dan berbahas tentangnya.
Namun, apabila Allah Swt menjadikan agama ini sebagai penutup seluruh risalah dan agama, ditambah lagi dengan jaminan pemeliharaan dan penjagaannya, Allah Swt mengkhususkan umat ini dengan memberikan taufik kepada mereka untuk memelihara Kitab-Nya dan menjaga hadis Nabi-Nya Saw. Atas kurniaan dan kekuatan yang diberikan oleh Allah Swt, umat ini dapat menghasilkan kaedah-kaedah ilmu mustalah hadis dengan pendekatan ilmiah yang sangat teliti, sehingga boleh dikatakan antara kaedah ilmiah yang paling tepat dalam memastikan kesahihan teks-teks yang diriwayatkan. Hal ini terbukti semenjak kewujudan ilmu ini dalam menghadapi pelbagai permasalahan yang dihadapinya.
Imam Abu Muhammad Ibn Hazm berkata:
โPenukilan riwayat oleh seorang yang thiqah (perawi yang terbukti kepercayaannya) daripada seorang yang thiqah dengan sanad yang bersambung sehingga sampai kepada Nabi Saw merupakan sesuatu yang Allah Swt khususkan kepada kaum Muslimin yang tidak diberikan kepada penganut agama-agama lain seluruhnya. Dan Allah Swt mengekalkan (kaedah periwayatan) ini pada mereka dalam keadaan segar dan baharu, walaupun telah berlalu zaman yang lama.โ
Al-Hafiz Abu Ali al-Jiyani p**a berkata:
โAllah Swt mengkhususkan umat ini dengan tiga perkara yang tidak diberikan kepada umat-umat terdahulu: sanad, ilmu nasab dan ilmu Iโrab.โ
Pengakuan ini bukan terbatas daripada tokoh-tokoh ilmuwan Muslim sahaja, bahkan mendapat pengiktirafan daripada para pengkaji Barat. Mereka juga mengakui ketelitian kerja para ulama hadis dan menghargai kaedah-kaedah yang telah mereka bina. Bahkan, sebahagian ahli sejarah mengambil manfaat daripada kaedah-kaedah tersebut dalam usaha mereka meneliti dan menilai kesahihan sesuatu peristiwa sejarah. Hal ini kerana, mereka menganggap bahawa kaedah-kaedah tersebut merupakan antara neraca terbaik untuk menilai dan mengkaji dokumen-dokumen sejarah.
Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh, ilmu hadis merupakan antara keistimewaan terbesar umat Islam dalam tradisi keilmuan, khususnya dari aspek pemeliharaan riwayat, penelitian sanad, penilaian para perawi dan pengkajian terhadap konteks hadis.
Wallahu Aโlam.
Rujukan: Manhajun Naqd Fi Ulumil Hadis karya Dr Nuruddin Itr
๐๐ข๐ฌ๐ฎ๐ฌ๐ฎ๐ง ๐๐ฅ๐๐ก:
Ad Dhoiful Faqir Akmal Hakimi bin Rahman At Tohawy.
Graduan Syariah Islamiyyah dan Dauratul Hadis Pondok DUAI, Melaka, Malaysia.