08/11/2025
Maktabah Tafsir Al Buwaiti
Alhamdulilah, segala puji bagi Allah Swt yang telah menurunkan Al Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia, serta cahaya yang membimbing akal dan hati menuju kebenaran.
Dengan penuh kesyukuran kepada Allah Swt, saya Ad Dhoif Al Faqir Akmal Hakimi bin Rahman, Graduan Syariah Islamiyyah dan Dauratul Hadis Pondok DUAI, mempersembahkan sebuah projek ilmiah baharu yang dinamakan dengan: Maktabah Tafsir Al Buwaiti.
Asal tercetusnya Projek Ilmiah ini lahir daripada satu hasrat peribadi, iaitu untuk mengkhatamkan pembacaan tafsir 30 juzuk yang menjadi satu kewajipan untuk disempurnakan oleh setiap penuntut ilmu.
Namun, ketika menelusuri lembaran demi lembaran tafsir dan berpindah dari satu kitab ke kitab tafsir yang lain, timbul satu kerisauan iaitu hilangnya mutiara-mutiara tafsir yang berharga itu akibat lupa dan kelemahan diri.
Ketika kerisauan dan kebimbangan ini terus menerus menghantui diri, teringat Ad Dhoif pesanan Imam Syafie di dalam Diwannya:
العلم صيد والكتابة قيده, قيد صيودك بالحبال الواثقة
فمن الحماقة أن تصيد غزالة, وتتركها بين الخلائق طالقة
Ilmu adalah buruan dan penulisan ialah ikatannya. Ikatlah buruanmu dengan tali yang kuat.
Sungguh bodoh jika engkau memburu kijang, lalu membiarkannya terlepas begitu sahaja.
Maka, lahirlah Projek Ilmiyyah: Maktabah Tafsir Al Buwaiti , sebuah ruang kecil dan usaha untuk mengikat buruan ilmu daripada lautan tafsir yang luas agar tidak hilang daripada ingatan.
Insya-Allah, melalui projek ini, Ad-Dhoif akan berusaha menghadirkan penulisan tafsir yang bersumber daripada wadah-wadah yang sahih, bernuansa ilmiah, serta berpaksikan gaya penyampaian yang mudah difahami dan ringkas.
Sebagai tambahan, pendekatan pentafsiran yang diketengahkan ialah tafsir bertemakan topik, dengan memberi fokus kepada isu-isu yang relevan dan menarik dalam konteks kehidupan masa kini. Melalui gaya ini, diharapkan al-Quran dapat dihayati bukan sahaja sebagai teks yang dibaca, tetapi sebagai petunjuk yang hidup dan terus berbicara dan dapat diaplikasikan dengan realiti umat.
Akhir kalam, dengan penuh rendah hati, Ad-Dhoif memohon doa dan restu daripada para asatizah serta sahabat-sahabat,
Moga Allah memberkati setiap ilmu yang telah diajarkan, menjadikannya cahaya yang terus membimbing langkah ini serta menganggap usaha kecil ini sebagai sambungan kepada rantaian ilmu para guru (Hafizahumullah Ta'ala).
Semoga doa kalian menjadi sebab terlimpahnya taufiq dan istiqamah daripada Allah Swt dalam meneruskan Projek Ilmiah: Maktabah Tafsir Al Buwaiti, agar ia tumbuh sebagai amal yang bermanfaat dan membawa kebaikan kepada ummah.
والله المستعان، وعليه التكلان
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.