28/08/2026
𝖯𝖱𝖮𝖦𝖱𝖠𝖬 𝖯𝖤𝖱𝖠𝖱𝖠𝖪𝖠𝖭 𝖣𝖠𝖭 𝖢𝖤𝖱𝖠𝖬𝖠𝖧 𝖲𝖤𝖬𝖯𝖤𝖭𝖠 𝖲𝖠𝖬𝖡𝖴𝖳𝖠𝖭 𝖬𝖠𝖴𝖫𝖨𝖣𝖴𝖱 𝖱𝖠𝖲𝖴𝖫 𝖯𝖤𝖱𝖨𝖭𝖦𝖪𝖠𝖳 𝖨𝖯𝖣 𝖪𝖴𝖠𝖫𝖠 𝖯𝖨𝖫𝖠𝖧
27 Ogos 2026 (Khamis) | 8.00 pagi - PERKEP Kuala Pilah telah menyertai Program Perarakan dan Ceramah sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di perkarangan IPD Kuala Pilah dan Surau Al-Wahdah IPD Kuala Pilah.
Program telah dihadiri oleh YDH Supt Muhamad Mustafah bin Hussin, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, YDH DSP Shamrol Shah bin Ramli, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, YBhg Puan Faridah binti Taharim, Pemangku Pengerusi PERKEP IPD Kuala Pilah, Ustaz Tengku Iftah bin Tengku Jamil, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, JHEAINS selaku penceramah, Ketua-Ketua Bahagian, Pegawai Kanan Polis, Ketua-Ketua Polis Balai serta warga IPD Kuala Pilah dan ahli PERKEP.
Program dimulakan dengan pertandingan perarakan Maulidur Rasul yang melibatkan sebanyak 9 kumpulan terdiri daripada gabungan bahagian, balai dan PERKEP IPD Kuala Pilah. Setiap kumpulan turut mengalunkan bacaan selawat secara beramai-ramai sepanjang perarakan dan dinilai berdasarkan kategori yang telah ditetapkan oleh pihak juri.
Dalam pertandingan tersebut, Kumpulan Srikandi Ukhwah yang mewakili PERKEP telah berjaya muncul sebagai Johan setelah memperoleh markah tertinggi. Tempat kedua dimenangi oleh gabungan Bahagian Pengurusan, BIPS, BSPT dan Balai Polis Johol, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Bahagian Logistik.
Program kemudiannya diteruskan dengan ceramah sempena Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Tengku Iftah bin Tengku Jamil dengan tajuk “Bila Nak Laksana Sunnah”.
Penganjuran program ini bertujuan memupuk semangat kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, di samping membentuk semangat kerjasama, ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan warga IPD Kuala Pilah serta ahli PERKEP. Program turut memberi penghayatan kepada warga PERKEP agar mencontohi akhlak dan sahsiah Rasulullah SAW sebagai model kehidupan.
Secara keseluruhannya, program telah berlangsung dengan lancar dan meriah serta mendapat penyertaan dan kerjasama yang baik daripada warga IPD Kuala Pilah dan ahli PERKEP.