08/10/2026
BENGKEL PENGUKUHAN TATACARA PENUGASAN MONSUN TIMUR LAUT (MTL) BAGI MyASPA PENGURUSAN APM NEGERI TERENGGANU TAHUN 2026
Khamis, 8 Oktober 2026 - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Terengganu melalui Bahagian Pengurusan Angkatan (BPA) telah melaksanakan Bengkel Pengukuhan Tatacara Penugasan Monsun Timur Laut (MTL) bagi MyASPA Pengurusan APM Negeri Terengganu Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 6 hingga 8 Oktober 2026, bertempat di Perkarangan Dataran Surau, Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
Penganjuran bengkel ini memberi penekanan kepada pengukuhan tatacara penugasan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), khususnya dalam aspek pengurusan anggota, penyelarasan tugasan serta kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan bencana sepanjang musim monsun.
Sepanjang bengkel, peserta telah mengikuti pelbagai pengisian berkaitan pengurusan dan pengoperasian bencana. Antaranya termasuk Tatacara Pengoperasian Logistik dan Komunikasi dan Latihan Pengurusan Bencana Alam. Selain itu, bengkel ini turut merangkumi simulasi latihan pengurusan bencana alam, yang memberi peluang kepada peserta untuk memahami tatacara dan tindakan yang perlu dilaksanakan ketika berhadapan dengan situasi bencana. Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap anggota memahami peranan masing-masing serta mampu melaksanakan tugasan secara tersusun dan berkesan.
Menurut YS Lt. Kol. (PA) Mohd Zul Khairi bin Shamsuddin, Pengarah APM Negeri Terengganu, "melalui pelaksanaan bengkel ini, APM Negeri Terengganu dapat memperkukuh tahap kesiapsiagaan, kefahaman dan kecekapan anggota dalam melaksanakan penugasan sepanjang Monsun Timur Laut. Penyelarasan yang baik antara pegawai dan anggota daripada setiap daerah juga penting bagi memastikan gerak kerja pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara pantas, teratur dan berkesan" kata beliau sebelum merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Pengukuhan Tatacara Penugasan Monsun Timur Laut (MTL) bagi MyASPA Pengurusan APM Negeri Terengganu Tahun 2026 sebentar tadi.
Diharapkan segala ilmu, panduan dan pengalaman yang diperoleh melalui bengkel ini dapat dimanfaatkan oleh setiap peserta dalam melaksanakan tugasan masing-masing, seterusnya memperkukuh kesiapsiagaan APM Negeri Terengganu dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Terus Bersama APM.