19/10/2026
Orang biasa nampak sampah, orang luar biasa nampak duit! Itulah peluang yang boleh dimanfaatkan oleh mereka yang aktif mengitar semula sisa di pusat pengumpulan bahan kitar semula.
Amalan kitar semula bukan sahaja dapat mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah membantu memelihara sumber semula jadi dan membuka peluang ekonomi baharu.
Melalui Blueprint Ekonomi Kitaran Sisa Pepejal 2025–2035, Malaysia berusaha menjadikan sisa sebagai sumber yang bernilai dengan memperluas pendekatan 3R, iaitu mengurangkan (reduce), mengguna semula (reuse) dan mengitar semula (recycle).
Pendekatan ini turut merangkumi strategi ekonomi kitaran yang lebih menyeluruh, antaranya menolak (refuse), memikirkan semula (rethink), membaiki (repair), membaharui (refurbish), mengilang semula (remanufacture), menyesuaikan semula (repurpose) dan memperoleh semula (recover).
Namun, semuanya bermula dengan satu langkah mudah, iaitu mengasingkan sisa di punca (SAS) supaya bahan yang boleh dikitar semula tidak berakhir di tapak pelupusan.
Asingkan sisa, jana nilai! Setiap tindakan kecil di rumah mampu membawa perubahan besar kepada alam sekitar dan menyokong ekonomi kitaran negara.