19/10/2026
AADK PAHANG PERKUKUH SOKONGAN KELUARGA DALAM PROSES KEPULIHAN MELALUI KSKK 2026
KUANTAN, 19 Oktober 2026 – Seramai 42 peserta terdiri daripada 21 orang klien serta pasangan dan ahli keluarga dari seluruh negeri Pahang menyertai Program Kelompok Sokongan Kepulihan Keluarga (KSKK) dan Majlis Apresiasi Klien Tamat Program AADK Negeri Pahang Tahun 2026 yang berlangsung pada 16 hingga 18 Oktober 2026 bertempat di Hotel Shahzan Inn, Kuantan.
Program bertemakan “Keluarga Sejahtera Kepulihan Terpelihara” ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman ahli keluarga mengenai proses pemulihan serta cabaran psikososial yang dihadapi oleh klien. Program ini turut memberi penekanan terhadap peranan pasangan dan ahli keluarga sebagai sistem sokongan emosi dan moral yang penting dalam membantu klien meneruskan kehidupan bebas dadah.
Pelaksanaan KSKK menjadi platform perkongsian pengalaman serta pengukuhan jaringan sokongan antara keluarga klien dengan pihak AADK. Melalui pendekatan komunikasi positif, pengurusan emosi dan pembinaan daya tahan mental, hubungan kekeluargaan dapat diperkasakan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif sepanjang proses pemulihan.
Program ini juga merupakan tanda pengiktirafan terhadap usaha, pencapaian dan komitmen klien yang telah berjaya menamatkan program pemulihan. Penghargaan ini diharap dapat menyuntik motivasi kepada klien untuk terus mengekalkan kepulihan, menjauhi dadah serta membina kehidupan yang lebih positif bersama keluarga dan masyarakat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah AADK Negeri Pahang, Tuan Aman bin Mustapha. Sokongan berterusan daripada keluarga dan komuniti diharap dapat membantu klien mengekalkan kehidupan bebas dadah serta kembali berperanan secara positif dalam masyarakat.