13/10/2026
🧠SAMBUTAN HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA (WMHD) 2026🧠
Hospital Sentosa Kuching (HSK) telah mengadakan Program Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia (WMHD) 2026 pada 10 Oktober 2026 (Sabtu), dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di AEON Mall Kuching Central, bertemakan “Lived Experiences Heard: Real Voices, Real Change”. 💚
Program ini menampilkan lima zon interaktif, iaitu See, Hear, Care, Recovery dan Mental Health Checkout, yang memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami pengalaman individu yang berhadapan dengan isu kesihatan mental, memupuk empati serta menggalakkan sokongan terhadap proses pemulihan. Pertandingan mewarna kanak-kanak turut diadakan bagi menggalakkan kreativiti dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental sejak usia muda.
Majlis ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Rosliwati binti Md Yusoff, Pengarah Hospital Sentosa Kuching, turut hadir Dr Razjeh Robert bin Drahman, Pakar Perunding Psikiatri dan Ketua Jabatan Hospital, Dr Nur Azimah Binti Azman, Pakar Perubatan Kesihatan Awam UD14 - wakil Dr Marilyn, Dr Khairul Rizzuan bin Roslan, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perubatan (wakil Dr Azlee), turut dihadiri juga oleh wakil-wakil agensi serta pihak berkepentingan yang sentiasa menyokong usaha hospital dalam memperkukuh kesedaran dan perkhidmatan kesihatan mental.
Selain itu, Anugerah Sahabat Sentosa telah disampaikan kepada rakan strategik sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan kerjasama berterusan mereka kepada hospital dalam memperkukuh perkhidmatan serta meningkatkan kesedaran kesihatan mental dalam komuniti.
💚 Bersama-sama kita mendengar, memahami dan menyokong. Kesihatan mental ialah tanggungjawab bersama. Setiap suara bermakna, setiap pengalaman wajar didengari.
Gambar disediakan oleh: Sn Tonia Wong