05/10/2026
JAMBATAN SEJINGKAT: MEMUDAHKAN PERJALANAN, MENDEKATKAN KOMUNITI
KUCHING, 5 OKTOBER 2026 ISNIN: Alhamdulillah,
pembukaan Jambatan Sejingkat kepada pengguna jalan raya mulai hari ini, 5 Oktober 2026 merupakan satu pencapaian yang membanggakan dalam usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh jaringan perhubungan serta memudahkan perjalanan masyarakat sekali gus menyaksikan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur negeri Sarawak.
Setiap jaringan perhubungan yang dibangunkan
membawa harapan baharu untuk memudahkan perjalanan rakyat, merapatkan hubungan antara komuniti serta membuka lebih banyak peluang demi kesejahteraan bersama.
Dengan penuh rasa syukur dan bangga, satu lagi jambatan mega Sarawak kini bersedia untuk memberi manfaat kepada rakyat, iaitu Jambatan Sejingkat.
Jambatan ini menjadi lambang komitmen
berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan perhubungan dan memastikan kemajuan negeri dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.
Saya selaku Datuk Bandar Kuching Utara ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak,Jabatan Kerja Raya Sarawak serta semua pihak yang telah menyumbangkan kepakaran, tenaga dan komitmen dalam menjayakan pembinaan jambatan ini.
Jambatan Sejingkat yang merentasi Sungai Sarawak menghubungkan kawasan Sejingkat di Kuching dengan Tanjung Bako di Samarahan, sekali gus menyediakan satu lagi laluan alternatif penting antara kedua-dua kawasan.
Pembukaan jambatan ini dijangka memudahkan perjalanan pengguna dari Kota Samarahan menuju ke Demak Laut, Petra Jaya serta kawasan perindustrian sekitarnya. Dengan adanya pilihan
laluan tambahan ini, pergerakan trafik dapat diagihkan dengan lebih baik, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di laluan sedia ada, khususnya pada waktu puncak.
Bagi masyarakat yang berulang-alik setiap hari antara Kuching dan Samarahan, kemudahan ini membawa makna yang besar. Perjalanan yang lebih lancar ke tempat kerja, sekolah dan destinasi urusan harian diharapkan dapat menjimatkan masa serta memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya. Masa yang sebelum ini banyak dihabiskan dalam kesesakan dapat dimanfaatkan untuk keluarga dan urusan lain
Dengan siapnya Jambatan Sejingkat ia merupakan satu langkah penting dalam menyokong pertumbuhan Kuching, Samarahan dan kawasan sekitarnya. Jaringan perhubungan yang semakin kukuh mempererat hubungan antara komuniti serta membolehkan manfaat pembangunan dinikmati oleh lebih ramai rakyat.
Setiap jambatan yang dibina menghubungkan lebih daripada dua tebing. Ia mendekatkan keluarga, mempertemukan masyarakat dan membuka jalan kepada harapan baharu.
Semoga Jambatan Sejingkat menjadi satu lagi mercu tanda kemajuan Sarawak yang membawa manfaat berpanjangan kepada generasi hari ini dan akan datang.
Marilah kita bersama-sama menggunakan kemudahan ini dengan berhemah, mematuhi papan tanda dan had laju yang ditetapkan serta mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.
Yang Berbahagia Dato Haji Hilmy bin Haji Othman
Datuk Bandar Kuching Utara.
📸: Jabatan Kerja Raya