16/10/2026
MURID SK SANTUBONG DIDEDAHKAN KEPENTINGAN MELINDUNGI HIDUPAN LIAR, KHUSUSNYA BURUNG KENYALANG DI SEKITAR TAMAN NEGARA SANTUBONG
KUCHING, 15 Oktober โ Seramai 110 peserta yang terdiri daripada murid dan guru telah menyertai Program Kesedaran Hidupan Liar di SK Santubong. Program ini dianjurkan oleh Pejabat Wilayah Kuching bagi memupuk kesedaran mengenai pemuliharaan spesies burung terancam di Sarawak, seperti Burung Kenyalang.
Program yang berlangsung pada Khamis itu bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh tentang kepentingan menjaga hidupan liar, di samping memperkenalkan ciri-ciri menarik tentang Burung Kenyalang. Selain memfokuskan kepada burung ikonik tersebut, program ini turut memuatkan slot tinjauan burung.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Guru Besar SK Santubong, Encik Mahadi Bin Ibrahim. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan murid-murid tentang tanggungjawab bersama dalam menjaga hidupan liar yang berada di kawasan kampung mereka serta menjadi duta kecil dalam usaha melindungi habitat burung terancam di kalangan komuniti setempat.
Agenda program diteruskan dengan ceramah oleh Pegawai Perhubungan Komuniti dan Pendidikan, Puan Sophia S*k Sze Yong. Menerusi sesi tersebut, beliau bukan sahaja membentangkan fakta menarik mengenai Burung Kenyalang, malah turut berkongsi fungsi taman negara serta peranan SFC dalam melindungi hidupan liar di Sarawak.
Bagi menilai pemahaman para murid, pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan bagi mengukuhkan objektif program, antaranya termasuklah sesi soal jawab, kuiz, dan cara asas menjalankan tinjauan burung di kawasan sekolah menggunakan teropong mini. Buku panduan pengecaman burung turut diperkenalkan supaya murid-murid tahu serba sedikit tentang aktiviti yang dijalankan oleh para penyelidik kita.
Sesi penyampaian cenderamata dan poster hidupan liar daripada pihak SFC kepada pihak sekolah SK Santubong telah disempurnakan oleh Park Warden Taman Negara Santubong, Encik Awang Sjahrir Bin Awang Ghazali. Majlis kemudiannya diakhiri dengan penyerahan sijil penyertaan kepada ketua kelas Tahun 4, 5 dan 6.
Turut hadir memberikan sokongan padu sepanjang program berlangsung ialah barisan guru-guru kanan, guru-guru, Cikgu Syafiqah Binti Yusri selaku pengacara majlis, Encik Mohd Sulhidar Bin Sudini, Mohammad Fadzly Bin Mohammad Azhar dan Mohad Hasrullah Bin Karim.