17/10/2026
KOTA SAMARAHAN, 17 Oktober — Seramai 500 usahawan wanita sekitar daerah ini berhimpun di Dewan Suarah Kota Samarahan bagi menjayakan Program Pemerkasaan Wanita & Komuniti MARA 2026 hari ini.
Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Ahli Majlis MARA, Puan Ajar @ Siti Ajar binti Yasin; Pengarah MARA Negeri Sarawak, Encik Timelow anak Jauk; Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Datuk Ts. Hamdi bin Hj. Ibrahim; serta wakil ADUN N.16 Muara Tuang, Cr Aziz bin Mohammad.
Majlis turut mendapat sokongan kepimpinan tempatan dan agensi Persekutuan dengan kehadiran Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Cawangan Sarawak, Encik Mohamad Faizal bin Lamat, dan wakil Residen Bahagian Samarahan, Puan Jerina binti Gapur.
Antara pengisian utama program termasuklah sesi taklimat khas daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Akademi Kenegaraan Malaysia, Bank Muamalat, dan Pejabat Daerah Kota Samarahan. Sesi berkenaan bertujuan memberi pendedahan menyeluruh berhubung maklumat kewangan, kesedaran kenegaraan, serta peluang pembangunan keusahawanan kepada para peserta.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian Surat Tawaran Program Keusahawanan MARA kepada tiga orang penerima serta penyerahan replika cek Kemudahan Pembiayaan Perniagaan MARA kepada lima usahawan tempatan.
Selain itu, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) turut menyampaikan Bantuan Persekolahan kepada dua buah sekolah, iaitu SMK Kota Samarahan dan SMK Hajah Laila Taib. Secara keseluruhannya, peruntukan yang disalurkan merangkumi nilai pembiayaan dan bantuan berjumlah RM2.022 juta.
Bagi memantapkan penganjuran, GIATMARA Kota Samarahan turut melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) khas demi memberi manfaat secara terus kepada komuniti setempat. Suasana program turut dimeriahkan dengan penyertaan pameran daripada pelbagai agensi kerajaan serta gerai jualan usahawan tempatan.