10/10/2026
KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) NEGERI MELAKA
10 OKTOBER 2026
DESAKAN PERMOHONAN MAAF TERBUKA DARIPADA PEMILIK AKAUN FACEBOOK "ERIC SEE-TO / LIM SIAN SEE" KERANA MEMPERSENDAKAN AYAT AL-QURAN
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Melaka memandang amat serius dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadap serta tidak bertanggungjawab pemilik akaun Facebook "Eric See-To - Lim Sian See" yang memperlekehkan ayat suci Al-Quran melalui satu hantaran berniat jahat.
Berdasarkan tangkapan layar yang tular, pemilik akaun tersebut telah mengulas potongan ayat daripada Surah Al-Hashr, Ayat 18. Walaupun penjelasannya telah terang dan nyata bahawa perkataan "Lighad" (لِغَدٍ) bermaksud "hari esok" atau "masa hadapan", beliau dengan sengaja menulis komen provokatif:
"Yang saya tengok ialah ada 'Lighad' yang saya langsung tak tahu apa itu. Tapi tak ada 'Liwat' p**a."
AMK Melaka menegaskan bahawa perbuatan mengaitkan potongan ayat Al-Quran dengan istilah "liwat" bukan sahaja satu bentuk penghinaan terhadap kesucian firman Allah SWT, malah merupakan cubaan politik kotor yang amat mementingkan diri sendiri.
Menggunakan kalam Allah sebagai bahan perlekehan dan jenaka seksis/sindiran politik adalah tindakan yang sangat melampau, biadap, serta mengguris sensitiviti umat Islam di negara ini.
Sehubungan dengan itu, AMK Melaka mendesak:
Permohonan Maaf Terbuka Tanpa Syarat: Pemilik akaun Facebook tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam atas tindakan menghina kalam suci Al-Quran dan memainkan konotasi biadap tersebut.
Siasatan Bersepadu PDRM & SKMM: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas di bawah undang-undang berkaitan isu 3R agar sikap biadap seperti ini tidak berulang.
Tindakan melampaui batas ini mesti dihentikan dan ditindak secara tegas demi menjaga keharmonian serta rasa hormat antara agama di Malaysia.
AMK MELAKA