16/03/2026
𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐁𝐄𝐑𝐁𝐔𝐊𝐀 𝐏𝐔𝐀𝐒𝐀 𝐒𝐄𝐌𝐏𝐄𝐍𝐀 𝐇𝐀𝐑𝐈 𝐔𝐋𝐀𝐍𝐆 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝐁𝐀𝐓𝐀𝐋𝐈𝐎𝐍 𝐊𝐄-𝟖 𝐑𝐄𝐉𝐈𝐌𝐄𝐍 𝐑𝐄𝐍𝐉𝐄𝐑 𝐃𝐈𝐑𝐀𝐉𝐀 (𝐏𝐀𝐑𝐀) 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐊𝐄-𝟓𝟑
MELAKA, 16 Mac 2026 - Batalion Ke-8 Rejimen Renjer Diraja (Para) telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa sempena Hari Ulang Tahun (HUT) pasukan yang ke-53 bertempat di Dewan Siti Hajar. Penganjuran majlis ini merupakan salah satu pengisian aktiviti tahunan pasukan dalam usaha memupuk semangat kebersamaan, memperkukuhkan hubungan silaturahim serta menghargai sumbangan seluruh warga pasukan.
Majlis dimulakan dengan acara simbolik pemotongan pulut kuning sebagai tanda kesyukuran di atas pencapaian serta perjalanan pasukan sepanjang 53 tahun penubuhannya. Acara tersebut turut menjadi lambang kebanggaan warga batalion terhadap sejarah, tradisi serta warisan kecemerlangan pasukan.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati kepada para pekerja awam sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan dedikasi mereka dalam membantu kelancaran pentadbiran serta pengurusan pasukan.
Majlis ini telah dihadiri oleh Pegawai Memerintah, Lt Kol Yusrin Azuan bin Abdul Aziz, bersama para pegawai, anggota lain-lain pangkat serta warga awam pasukan. Kehadiran seluruh warga pasukan mencerminkan semangat 𝘈𝘪𝘳𝘣𝘰𝘳𝘯𝘦 𝘉𝘳𝘰𝘵𝘩𝘦𝘳𝘩𝘰𝘰𝘥, disiplin serta kesepaduan yang menjadi tunjang kekuatan organisasi.
Majlis diteruskan dengan acara berbuka puasa secara berjemaah dalam suasana harmoni dan penuh ukhuwah. Program seumpama ini dilihat mampu memperkukuhkan nilai kebersamaan serta memantapkan semangat kekitaan dalam kalangan warga pasukan selaras dengan aspirasi Tentera Darat Malaysia yang menekankan profesionalisme, kesiapsiagaan serta kesejahteraan warga tentera.
Secara keseluruhannya, penganjuran majlis ini telah berjaya mencapai objektif dalam memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan warga Batalion Ke-8 Rejimen Renjer Diraja (Para), seterusnya menyokong usaha berterusan dalam mengekalkan kecemerlangan dan kesiapsiagaan pasukan.