14/09/2026
KENYATAAN MEDIA
PEMUDA AMANAH PERAK
JANGAN JADIKAN AGAMA BAHAN JENAKA, HORMATI KESUCIAN SEMUA KEPERCAYAAN
Pemuda AMANAH Perak memandang serius kenyataan Ketua UMNO Sepang, Noorazli Said yang menggunakan kisah melibatkan Bible, paderi dan biarawati sebagai bahan jenaka ketika berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Walaupun ia mungkin dimaksudkan sebagai jenaka untuk menyampaikan mesej politik, agama tidak sepatutnya dijadikan bahan lawak, lebih-lebih lagi apabila diselitkan dengan unsur seksual dan disampaikan di pentas rasmi sebuah parti politik.
Prinsip kita mudah.
Kalau kita mahu orang lain menghormati Islam, kita juga mesti menunjukkan contoh dengan menghormati agama orang lain.
Kita tentunya akan tersinggung jika al-Quran, imam, ustaz atau simbol Islam digunakan dalam jenaka berunsur seksual oleh pemimpin politik bukan Islam.
Maka kita juga perlu memahami perasaan yang sama apabila perkara tersebut melibatkan kitab suci dan pemimpin agama masyarakat Kristian.
Lebih mengecewakan apabila rujukan kepada Mazmur 129 yang digunakan dalam jenaka tersebut dilaporkan sebenarnya tidak terdapat dalam kitab berkenaan.
Pemimpin politik perlu lebih berhati-hati.
Malaysia dibina oleh masyarakat yang berbeza agama, kaum dan budaya. Keharmonian yang kita nikmati selama ini bukan datang dengan sendiri, tetapi dibina melalui sikap saling menghormati antara satu sama lain.
Jangan kerana mahu mendapatkan gelak ketawa beberapa minit, sensitiviti dan kesucian agama orang lain p**a menjadi bayarannya.
Pemuda AMANAH Perak berpandangan Noorazli sewajarnya menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Kristian.
Permohonan maaf tidak menjadikan seseorang pemimpin lemah. Sebaliknya, keberanian mengakui kesilapan menunjukkan kematangan dan tanggungjawab seorang pemimpin.
Dalam masa yang sama, kami menyeru semua pemimpin politik tanpa mengira parti supaya menjadikan perkara ini sebagai pengajaran.
Jangan gunakan Islam untuk menghina orang lain.
Jangan gunakan Kristian untuk mencipta jenaka.
Jangan gunakan Hindu, Buddha atau mana-mana kepercayaan sebagai bahan sindiran dan hiburan politik.
Agama bukan bahan jenaka.
Kita boleh berbeza politik, kita boleh berdebat dan kita boleh bersindir sesama ahli politik. Tetapi apabila sampai kepada agama dan kepercayaan rakyat, mesti ada garis yang tidak kita langgar.
Kalau kita menuntut penghormatan terhadap agama sendiri, kita mesti terlebih dahulu menunjukkan bahawa kita mampu menghormati agama orang lain.
Itulah asas sebenar hidup bersama dalam sebuah Malaysia yang majmuk.
KHAIROL NAJIB
Ketua Pemuda
AMANAH Perak