17/10/2026
pahang #179
PENGURUSAN RASUAH JADI FOKUS CERAMAH SPRM PAHANG
BESERAH, 14 Oktober 2026 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang terus melaksanakan usaha pendidikan dan pencegahan rasuah melalui penyertaan dalam program pembangunan kompetensi penjawat awam menerusi ceramah bertajuk Pengurusan Rasuah sempena Program Transformasi Minda (PTM) bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) serta Pelaksana Zon Timur Tahun 2026, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).Ceramah tersebut telah disampaikan oleh PKPs Norhidayah binti Md. Nor dari Cawangan Penyiasatan Tatakelola, SPRM Pahang, bertempat di Dewan Bunga Raya, De Rhu Beach Resort, Kuantan, Pahang.
Program anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu itu melibatkan seramai 123 peserta yang terdiri daripada penjawat awam dari negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Penganjuran program ini merupakan antara usaha meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kesedaran penjawat awam terhadap aspek integriti serta tanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Selain itu, ceramah tersebut turut memberi penekanan terhadap kepentingan memelihara integriti dalam setiap urusan kerja, khususnya ketika membuat keputusan, mengurus tanggungjawab rasmi dan berurusan dengan pihak berkepentingan. Penjawat awam perlu sentiasa mengutamakan kepentingan perkhidmatan serta memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara telus, adil dan bertanggungjawab tanpa dipengaruhi kepentingan peribadi.
Pendedahan seumpama ini juga diharapkan dapat menyemai kesedaran bahawa usaha membanteras rasuah bukan hanya terletak pada tanggungjawab agensi penguatkuasaan, sebaliknya memerlukan komitmen bersama daripada setiap lapisan masyarakat, termasuk penjawat awam. Sikap berani menolak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa serta tidak berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan merupakan elemen penting dalam memastikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi awam terus terpelihara.
Penyertaan SPRM Pahang dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan untuk bekerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan dalam memperluas pendidikan antirasuah. Pendekatan melalui ceramah dan perkongsian ilmu diharap dapat membantu membina kefahaman yang lebih menyeluruh tentang kepentingan integriti, sekali gus menyokong usaha mewujudkan perkhidmatan awam yang bersih, cekap dan beramanah.
Disediakan oleh:
Cawangan Pendidikan Masyarakat
SPRM Pahang
"Berani Dan Radikal Perangi Rasuah"
”Bold And Radical In Fighting Corruption"
"pahang 1st"