15/10/2026
16.10.2026(Jumaat)
9 GEJALA OCD YANG RAMAI TAK SANGKA SEBENARNYA BOLEH BERLAKU
Bila sebut OCD (Obsessive-Compulsive Disorder), ramai bayangkan seseorang yang terlalu pembersih, s**a menyusun barang atau tak boleh tengok benda bersepah.
Tetapi ada satu sisi OCD yang orang jarang nampak. Seseorang mungkin kelihatan normal, tenang dan menjalani kehidupan seperti biasa, sedangkan dalam kepalanya berlaku pertarungan yang sangat memenatkan.
Ini antara gejala OCD yang mungkin tidak pernah anda sangka.
1. Membaca semula mesej berkali-kali selepas menghantarnya
Bukan sebab nak pastikan ejaan betul. Tetapi kerana takut ada ayat yang mungkin menyinggung perasaan orang lain.
Mesej WhatsApp yang ringkas pun boleh diperiksa berulang kali. Walaupun penerima sudah membalas dengan baik, fikiran masih tertanya-tanya, βBetul ke dia tak terasa?β
2. Sentiasa memerlukan reassurance daripada orang lain
βBetul ke aku tak buat salah?β
βKau marah aku ke?β
βAre you sure everything is okay?β
Selepas mendapat jawapan yang meyakinkan, rasa lega datang sekejap. Kemudian keraguan muncul semula dan soalan sama diulang.
3. Terlintas fikiran yang sangat menakutkan, walaupun langsung tidak mahu melakukannya
Contohnya, seorang ibu tiba-tiba terbayang sesuatu yang buruk berlaku kepada bayinya. Atau seseorang terlintas gambaran mencederakan orang yang sangat disayanginya.
Fikiran ini datang tanpa diundang dan menyebabkan ketakutan yang luar biasa.
Inilah yang dikenali sebagai intrusive thoughts. Dalam OCD, fikiran tersebut boleh menjadi obsesi yang berulang.
Penting untuk difahami, mempunyai fikiran yang tidak diingini tidak bermaksud seseorang mahu melakukannya.
4. Mengulang ibadah kerana terlalu takut melakukan kesilapan
Sudah mengambil wuduk, tetapi terasa mungkin ada bahagian yang tidak sempurna. Sudah berniat solat, tetapi berulang kali mengulang niat kerana takut tidak sah.
Ada yang terlalu takut melakukan dosa sehingga berulang kali memeriksa setiap perbuatan dan lintasan fikiran sendiri.
Bentuk OCD yang melibatkan keraguan agama dan moral dikenali sebagai scrupulosity. Ia berbeza daripada amalan agama yang biasa.
5. Mengulang perbualan lama dalam fikiran
Perbualan sudah berakhir beberapa jam lalu, tetapi otak masih replay setiap perkataan.
βKenapa aku cakap macam tu?β
βAdakah aku dah menghina dia?β
βApa sebenarnya maksud reaksi muka dia?β
Bukan sekadar overthinking. Dalam OCD, seseorang mungkin mengulang analisis yang sama secara kompulsif untuk mendapatkan kepastian yang tidak pernah terasa cukup.
6. Takut telah menyebabkan kemalangan walaupun tiada bukti
Sedang memandu, tiba-tiba terfikir mungkin telah melanggar seseorang tanpa menyedarinya.
Ada yang berpatah balik untuk memeriksa jalan berkali-kali, walaupun tiada sebarang petunjuk kemalangan berlaku.
7. Perlu melakukan sesuatu sehingga terasa βjust rightβ
Bukan semestinya kerana mahu semuanya cantik atau kemas.
Ada yang perlu menyentuh sesuatu beberapa kali, membaca semula ayat, mengulang pergerakan atau menyusun objek sehingga mendapat rasa βbetulβ yang s**ar dijelaskan.
Jika tidak melakukannya, muncul perasaan tidak selesa yang kuat.
8. Mengelakkan perkara biasa kerana takut terhadap fikiran sendiri
Ada yang mengelakkan pisau, enggan mendukung bayi atau tidak mahu berada dalam situasi tertentu kerana takut sesuatu yang buruk akan berlaku.
Bukan kerana mempunyai niat jahat, tetapi kerana terlalu takut dengan fikiran yang muncul tanpa diundang.
9. Melakukan ritual yang langsung tidak kelihatan
Inilah antara perkara yang paling mudah terlepas pandang.
Ada individu yang tidak membasuh tangan berulang kali, tidak menyusun barang dan tidak memeriksa pintu.
Sebaliknya, mereka mengira nombor dalam fikiran, mengulang perkataan tertentu, berdoa secara kompulsif atau cuba meneutralkan fikiran buruk dengan fikiran lain.
Semua ini berlaku secara senyap.
Jadi, adakah semua orang yang mengalami perkara di atas mempunyai OCD?
Tidak.
Kita semua pernah ragu-ragu, overthinking atau mendapat fikiran yang tidak diingini.
Perbezaannya ialah apabila obsesi dan ritual tersebut s**ar dikawal, mengambil masa yang banyak, menyebabkan tekanan emosi yang ketara atau mula mengganggu pekerjaan, hubungan, ibadah dan kehidupan harian.
OCD bukan sekadar tabiat pelik. Ia merupakan keadaan kesihatan mental yang boleh dirawat, antaranya melalui Cognitive Behavioural Therapy (CBT), khususnya Exposure and Response Prevention (ERP), serta ubat apabila diperlukan.
Kadangkala individu dengan OCD sendiri sedar ketakutannya tidak munasabah. Tetapi mengetahui sesuatu itu tidak logik tidak semestinya menjadikan kegelisahan tersebut hilang.
Sebab itu, jangan terlalu cepat melabel seseorang sebagai cerewet, lemah iman, paranoid atau sengaja mencari masalah.
Ada orang yang kelihatan baik-baik sahaja, tetapi menghabiskan berjam-jam setiap hari cuba mendapatkan kepastian daripada fikirannya sendiri.
Dan keletihan itu sangat nyata.
:Public Health Malaysia