19/10/2026
PROF. EMERITUS DR. ZAINAL ABIDIN AHMAD TERIMA ANUGERAH TOKOH MAULIDUR RASUL UTHM 1448H
Sambutan Maulidur Rasul peringkat UTHM bagi tahun 1446 Hijriah yang disambut pada 15 Oktober 2026 yang lalu telah diserikan dengan penzahiran buat julung kalinya Anugerah Tokoh Maulidur Rasul UTHM. Anugerah yang diwujudkan bertujuan menyampaikan sanjungan dan penghormatan yang tinggi kepada individu yang banyak berjasa kepada pembangunan ummah khususnya untuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Penerima sulung bagi anugerah ini telah dinobatkan kepada Mantan Penolong Naib Canselor (Pembangunan) UTHM iaitu Prof. Emeritus Ir. Dr Zainal Abidin Ahmad. Beliau yang kini berusia 81 tahun merupakan individu yang dianggap pengasas kepada penubuhan UTHM.
Dilahirkan pada 7 Disember 1945 di Segamat, Johor, beliau merupakan anak keenam daripada 12 orang adik-beradik. beliau memulakan kerjaya sebagai seorang kerani di Pejabat RISDA Daerah Segamat. Namun, kecintaan terhadap ilmu mendorong beliau untuk terus melanjutkan pendidikan.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana di Institut Teknologi Bandung, Indonesia dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah daripada University of Wales, United Kingdom pada tahun 1983
Memulakan kerjaya akademik sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1974 memperlihatkan satu perjalanan kepimpinan yang panjang dan cemerlang.
Di UTM Beliau pernah memegang pelbagai jawatan dalam bidang akademik dan pengurusan, termasuk sebagai Ketua Jabatan, Timbalan Dekan dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, sebelum memikul tanggungjawab yang lebih besar sebagai Pengarah Kampus UTM Jalan Semarak Kuala Lumpur.
Pada tahun 1993, ketika menjawat posisi Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof Zainal telah diberikan tanggungjawab untuk mengetuai Pusat Latihan Staf Politeknik, PLSP Batu Pahat. Pusat latihan yang baru diwujudkan ini berperanan melatih para pengajar yang akan ditempatkan di Politeknik di seluruh negara pada waktu itu. .
Di sinilah sumbangan paling besar beliau yang terpahat dalam sejarah UTHM iaitu menerajui penubuhan dan perkembangan awal institusi ini.
Beliau memimpin beberapa warga UTM untuk berpindah dan bersama-sama membangunkan kampus baharu PLSP di Parit Raja, Batu Pahat.
Apabila PLSP berkembang menjadi Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada tahun 1996, beliau terus diberi kepercayaan sebagai Pengarah yang pertama. Peranan inilah yang menjadikan nama beliau begitu sinonim dengan sejarah awal penubuhan UTHM.
Di KUiTTHO yang kemudiannya menjadi UTHM, beliau pernah memegang beberapa amanah kepimpinan akademik, termasuk Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE).
Pada tahun 2010, beliau memegang portfolio Penolong Naib Canselor (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan). Manakala Jawatan pentadbiran terakhir beliau di UTHM adalah sebagai Penolong Naib Canselor (Pembangunan) di saat universiti begitu pesat dibangunkan dari sudut infrastuktur dan prasarana
Sumbangan Profesor Zainal tidak terhenti di universiti. Di peringkat nasional, beliau turut memainkan pelbagai peranan penting dalam pembangunan profesion kejuruteraan. Antaranya sebagai Pengerusi Lembaga Akreditasi Institusi Jurutera Malaysia, Pengerusi Panel Akreditasi Lembaga Jurutera Malaysia, Pengerusi Panel Penilai Lembaga Akreditasi Negara, Penemuduga Ahli Profesional IEM serta Fellow Kehormat IEM.
Beliau juga pernah mempengerusikan Jawatankuasa Kerja Teknikal SIRIM dan Jawatankuasa D-SETARA bidang kejuruteraan Agensi Kelayakan Malaysia. Malah, beliau juga diberi amanah untuk mempengerusikan Jawatankuasa Penarafan Bidang Kejuruteraan.
Atas jasa dan sumbangan besar dalam bidang pendidikan tinggi serta pembangunan profesion kejuruteraan elektrik di Malaysia, beliau dianugerahkan Profesor Emeritus Kejuruteraan Elektrik oleh UTHM pada 29 Oktober 2011, sempena Majlis Konvokesyen UTHM ke-11.
Hasil perkongsian hidup bersama suri hatinya Puan Raden Indrawati binti Raden Mansoer Wiratmadja, Profesor Zainal dikurniakan dua putera dan seorang puteri serta empat orang cucu yang menghiasi perjalanan keluarga bahagia ini
Sesungguhnya, perjalanan Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad bukan sekadar kisah seorang jurutera atau seorang ahli akademik. Ia adalah kisah tentang ilmu, kepimpinan, amanah dan khidmat.
Daripada seorang anak Segamat yang memulakan kerjaya sebagai kerani RISDA, beliau menempuh perjalanan panjang sehingga menjadi profesor, mempelopori penubuhan universiti. Memimpin organisasi, menjadi tokoh nasional dalam bidang kejuruteraan dan yang pastinya bagi warga UTHM, beliau lah Bapa Penubuhan universiti ini.
Legasinya bukan hanya pada bangunan yang terbina, fakulti yang berkembang atau sistem yang diwujudkan.Legasi sebenar beliau ialah insan-insan yang pernah dibimbingnya, ilmu yang diwariskan dan nilai kepimpinan yang terus hidup dalam generasi selepasnya.
Atas segala jasa, bakti serta keteladanan yang dicurahkan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dengan penuh hormat takzimnya menobatkan Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad sebagai Tokoh Maulidurrasul UTHM 1448 H /2026.