03/09/2026
GENERASI MUDA MENYOKONG PENUH KENYATAAN HASRAT YB MENTERI MINDET
Menyokong Agenda “Sabah First” Demi Memperkasa Syarikat Tempatan dan Ekosistem Logistik Sabah
GEM UPKO Nasional (Pusat) menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap hasrat serta cadangan YB Presiden UPKO menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) dalam memperkukuhkan pelaksanaan agenda Sabah First.
Bagi kami, Sabah First bukan sekadar slogan, tetapi mesti diterjemahkan melalui dasar dan keputusan yang memberikan ruang lebih besar kepada syarikat tempatan Sabah untuk berkembang, bersaing dan menjadi pemain utama dalam ekonomi negeri.
Antara langkah yang amat wajar diberikan perhatian ialah cadangan pakej khas pajakan tanah kepada syarikat-syarikat tempatan Sabah di taman perindustrian, yang akan dimulakan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Selama ini, syarikat tempatan turut tertakluk kepada keperluan pembayaran pajakan tanah dalam tempoh tertentu. Keadaan ini boleh memberi tekanan kepada aliran tunai, modal operasi serta kemampuan mendapatkan pembiayaan, khususnya kepada perusahaan tempatan yang sedang berada pada fasa mengembangkan operasi.
Justeru, cadangan agar syarikat tempatan Sabah diberikan kemudahan untuk membayar pajakan secara tahunan, di samping usaha MINDET bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) bagi memudahcara akses pembiayaan, merupakan satu langkah yang lebih inklusif dan berpaksikan realiti dunia perniagaan.
Lebih penting, keputusan Kabinet Sabah untuk bersetuju dengan cadangan tersebut menunjukkan bahawa suara dan keperluan pemain industri tempatan sedang diberikan perhatian yang sewajarnya.
Kos logistik juga perlu kompetitif
GEM UPKO Nasional turut menyokong langkah mengkaji semula dan mengurangkan Container Storage Charge di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.
Persetujuan untuk memberikan tempoh percuma selama 4 hari, berbanding 3 hari sebelum ini, serta pengenalan kadar baharu bagi hari ke-5 hingga ke-7 adalah satu langkah yang boleh membantu mengurangkan tekanan kos kepada pemain industri logistik dan perdagangan.
Pada masa yang sama, langkah ini perlu dilihat bersama usaha meningkatkan kecekapan pengurusan kontena dan mengurangkan kesesakan di pelabuhan.
Pembangunan industri tidak boleh dipisahkan daripada kecekapan logistik. Jika kos pengangkutan dan pengendalian terlalu tinggi, akhirnya kos tersebut akan memberi kesan kepada keseluruhan rantaian bekalan dan pengguna.
Anak muda menyokong dasar yang memberi ruang kepada pemain tempatan
Sebagai sayap generasi muda UPKO, kami melihat kedua-dua inisiatif ini bukan sahaja sebagai dasar ekonomi, tetapi sebagai peluang untuk membina masa depan anak muda Sabah.
Apabila syarikat tempatan diberi ruang untuk berkembang, lebih banyak peluang boleh diwujudkan dalam bentuk pekerjaan, latihan kemahiran, keusahawanan, teknologi, rantaian pembekalan dan peluang kepimpinan kepada generasi muda Sabah.
Kami percaya Sabah memerlukan sebuah ekosistem ekonomi yang membolehkan syarikat Sabah membesar di Sabah, mencipta pekerjaan untuk anak Sabah dan seterusnya mampu menembusi pasaran di luar Sabah.
GEM UPKO Nasional percaya pendekatan sebegini adalah selari dengan semangat Sabah First dan aspirasi Sabah Maju Jaya.
Kami menghargai komitmen YB Presiden serta MINDET dalam membawa perkara-perkara yang dekat dengan realiti pemain industri dan masyarakat Sabah ke peringkat dasar dan Kabinet.
Kami akan terus menyokong usaha yang membawa manfaat nyata kepada rakyat, memperkukuh ekonomi negeri dan membuka lebih banyak ruang kepada anak-anak muda Sabah untuk membina masa depan mereka sendiri di tanah air kita.
Sabah First bukan hanya tentang siapa yang didahulukan. Sabah First adalah tentang bagaimana Sabah dibangunkan dengan kekuatan anak Sabah sendiri.
GEM UPKO NASIONAL (PUSAT)
Salam Progresif. Salam Sabah First.
INISIATIF SABAH FIRST OLEH MINDET
(I) Pakej Pajakan Tanah Untuk Syarikat-Syarikat Tempatan Sabah Di Taman-Taman Perindustrian, dan
(II) Pengurangan Kadar ‘Container Storage Charge’ di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar
1. Taman-taman perindustrian di Sabah seperti KKIP, POIC dan SOGIP mempunyai polisi yang berkuatkuasa iaitu memajakkan atau menyewakan kawasan tanah perindustrian kepada mana-mana pelabur yang berminat samada pelabur dari dalam negara atau luar negara.
2. Di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) misalnya, polisi sedia ada ialah memajakkan kawasan perindustrian untuk tempoh 30 tahun kepada pelabur/pengilang dan jumlah kadar pajakan/sewaan harus dibayar dalam tempoh 2 tahun.
3. Selama ini, polisi tersebut terpakai untuk semua syarikat, termasuk syarikat tempatan Sabah.
4. Polisi tersebut memberi cabaran besar kepada syarikat tempatan Sabah terutama aliran modal serta cabaran mendapatkan pembiayaan bank yang memerlukan cagaran.
5. Ini antara isu yang berkaitan dengan agenda “Sabah First” yang saya mahu tambahbaik selepas diberi mandat oleh Ketua Menteri memimpin Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) sekaligus dilantik Pengerusi KKIP atas kapasiti sebagai Menteri MINDET.
6. Pada mesyuarat Kabinet Sabah hari Rabu minggu lepas, saya telah membentangkan kertas cadangan MINDET supaya pakej khas pajakan kepada syarikat-syarikat tempatan Sabah di taman-taman perindustrian diperkenalkan dan dimudahcara bermula di KKIP.
7. Saya telah mencadangkan supaya syarikat-syarikat tempatan Sabah yang mahu mengembangkan operasi perusahaan di KKIP tidak perlu membayar jumlah sewaan 30 tahun dalam tempoh 2 tahun, sebaliknya boleh membayar setiap tahun.
8. Seterusnya MINDET akan memeterai kerjasama dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) bagi membantu memudahcara keperluan syarikat-syarikat tempatan Sabah ini yang memerlukan modal untuk membina kilang atau membeli mesin-mesin kilang.
9. Kabinet Sabah bersetuju dengan cadangan ini sesuai dengan agenda Sabah First.
10. Saya mengalu-alukan syarikat-syarikat tempatan Sabah yang mahu mengembangkan operasi perusahaan mereka di KKIP untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada KKIP susulan keputusan Kabinet ini.
11. Polisi yang sedia ada masih terpakai untuk syarikat-syarikat multinational, syarikat tersenarai dan syarikat luar negara.
12. Seterusnya pada Jumaat minggu lepas, juga telah mempengerusikan mesyuarat Task Force Memantau Pelaksanaan 10 Pelan Tindakan Menangani Kesesakan Pelabuhan Kontena Sepanggar sementara menunggu projek pembesaran pelabuhan siap sepenuhnya yang pada ketika ini sudah mencapai 65% tahap kemajuan pelaksanaan.
13. Susulan libat urus awal dengan Sabah Freight Forwarders and Logistics Association (SAFFLA), Sabah Shipping Agents Association (SSAA) dan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), saya bersetuju supaya ‘Container Storage Rate’ dikaji semula dengan maksud dikurangkan daripada kadar yang sedang berkuatkuasa.
14. Cadangan kadar baharu telah dibentang dan dibincangkan dalam mesyuarat Task Force tersebut.
15. Saya telah bersetuju dengan kadar percuma bagi tempoh 4 hari pertama, berbanding tempoh 3 hari yang sedang berkuatkuasa.
16. Bagi tempoh hari ke-5 hingga hari ke-7, kadar bagi kontena 20 kaki panjang ialah RM8 (kontena kosong) RM16 (kontena berisi) dan bagi kontena 40 kaki panjang ialah RM15 (kontena kosong) dan RM30 (kontena berisi).
17. Kadar ini akan berkuatkuasa pada 7 September 2026 dan lebih rendah daripada kadar yang sedang berkuatkuasa.
18. Kadar ini bagi membantu pemain-pemain logistik di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar selain menjadi deterrent charge mengelakkan kontena lebih masa di pelabuhan seperti yang pernah berlaku sebelum ini sehingga ada yang mencecah 407 hari.
19. Saya juga meminta LPPS untuk melupuskan kontena yang melebihi 21 hari sesuai dengan punca kuasa dalam Enakmen LPPS.
20. KKIP turut menyediakan kawasan parkir bagi treler kontena yang mahu menunggu giliran mengambil kontena dalam pelabuhan atau yang mengeluarkan kontena pada waktu malam tetapi destinasi penghantaran telahpun ditutup.
21. Saya hargai sokongan padu Ketua Menteri dan rakan-rakan Kabinet Sabah dalam melaksanakan kedua-dua inisiatif.
22. Saya akan terus berkepimpinan melalui MINDET untuk memastikan Wawasan dan Agenda Sabah First sepertimana dalam Halatuju Sabah Maju Jaya dapat dijayakan.
23. Sabah First!