14/10/2026
SIMULASI PENGENDALIAN BOT DAN MISI MENYELAMAT MANGSA BENCANA MONSUN TIMUR LAUT (MTL) 2026/2027 PERINGKAT JAJAHAN KOTA BHARU
KOTA BHARU, 14 OKTOBER 2026 – Simulasi Pengendalian Bot dan Misi Menyelamat Mangsa Bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 Peringkat Jajahan Kota Bharu telah dilaksanakan di Jeti Warisan Pengkalan Datu sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan pelbagai agensi dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir.
Majlis tersebut dihadiri Ketua Polis Daerah Kota Bharu, YDH ACP Mohd Azmir bin Damiri, Ketua Jajahan Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, YBhg. Dato’ Haji Rusydee bin Abdullah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, YB Dr. Hafidzah binti Mustakim, bersama ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua polis balai IPD Kota Bharu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh ketiga-tiga tetamu kehormat menerusi acara lintas hormat bot daripada agensi keselamatan dan jabatan yang terlibat. Simulasi diteruskan dengan taklimat operasi, pemeriksaan aset serta persiapan anggota bagi memastikan pengendalian bot dan pelaksanaan misi menyelamat dapat dijalankan dengan teratur, cekap dan selamat.
Pelaksanaan simulasi ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi, antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu.
Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen bersepadu semua agensi dalam meningkatkan kesiapsiagaan, memperkukuh koordinasi operasi serta memastikan tindakan menyelamat dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan apabila berhadapan dengan bencana sebenar.
BERSIAP SIAGA, BERTINDAK PANTAS, MENYELAMAT NYAWA.