25/09/2026
Hari ini, Saudara Gobind Singh Deo selaku Pengerusi DAP Malaysia, diiringi oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa DAP Selangor (Saudari Tiew Way Keng 张菲倩, Saudari Wong Siew Ki 王詩棋, Saudara Rajiv Rishyakaran, Saudara YB Tuan Leong Tuck Chee, Saudari Michelle Ng Mei Sze 黄美诗, dan Saudari Lim Yi Wei 林怡威) serta ahli-ahli majlis, hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Saudara Terence Tan Teck Seng. Sebagai simbolik penghargaan tertinggi daripada pihak parti atas segala jasa dan pengorbanan mendiang kepada parti, komuniti, dan negara, Saudara Gobind telah meletakkan bendera DAP di atas keranda mendiang.
Saudara Terence Tan Teck Seng yang dikenali semua, adalah seorang yang ceria dan sentiasa menceriakan semua di sekeliling. Kadang-kala dengan lawak jenaka dan ada kala walau hanya dengan sapaan bertanya khabar dan senyuman ceria. Setiap yang hadir hari ini, tentu ada lawak jenaka peribadi bersama beliau, yang hanya anda dan beliau sahaja faham. Tentu ada perbualan peribadi yang anda hanya kongsikan kepada beliau. Sama ada sebagai ahli keluarga, komrad parti dan sahabat, beliau adalah seorang pendengar yang baik.
Sebagai seorang yang berpengalaman berkhidmat untuk komuniti, Saudara Terence Tan Teck Seng memimpin melalui contoh dan teladan. Dalam menghadapi cabaran menjalankan tugasan, beliau akan cuba fahamkan setiap pandangan sebelum memberi pandangan. Setiap perselisihan pendapat akan tetap mencapai kata sepakat, kerana keupayaan beliau mencari titik persefahaman dalam perbincangan. Bagi beliau, semua masalah ada penyelesaian, dan mungkin kerana itu, beliau sering menjadi tempat rujukan rakan-rakan yang lain.
Beliau mendedikasikan sebahagian besar masa muda untuk setia berkhidmat dan berbakti kepada komuniti dan masyarakat. Bermula sebagai Ahli Majlis sejak tahun 2009, beliau telah setia berkhidmat demi rakyat dan negara selama hampir 20 tahun—atau 17 tahun secara tepatnya. Banyak usaha dan perubahan yang telah beliau sumbangkan untuk penduduk Petaling Jaya, dari segenap sudut. Daripada keselamatan anak-anak yang dihantar ke pusat jagaan hingga kepada kepentingan pembelajaran dan kebajikan sepanjang hayat. Dari kebajikan penduduk Petaling Jaya hingga kepada kebajikan warga dan kakitangan MBPJ. Setiap yang datang untuk meminta pertolongan, beliau akan cuba bantu sebaiknya. Hingga ke saat-saat akhir, beliau tetap setia menyantuni setiap aduan dan isu yang perlu diselesaikan. Dan inilah yang membuatkan kehilangan beliau amat dirasai.
Saudara Terence Tan Teck Seng, tiada siapa dapat gambarkan keperitan perjuangan melawan rasa sakit dan tidak selesa selama ini. Dan sekarang, telah sampai masanya untuk saudara berehat. Segala urusan dan tanggungjawab Saudara kepada DAP, komrad, komuniti Petaling Jaya dan Malaysia telah saudara laksanakan dengan baik dan penuh dedikasi. Saudara telah jalani hidup yang baik, dikelilingi keluarga dan sahabat yang amat menyayangi Saudara. Setiap momen dan memori bersama Saudara akan sentiasa segar dalam ingatan kita semua.
Berehatlah dengan tenang, biar kami di sini meneruskan perjalanan dan perjuangan kita bersama. Terima kasih untuk segalanya, Saudara adalah satu-satunya Terence Tan Teck Seng kami.