17/10/2026
100 PELAJAR SPM SERTAI BENGKEL SKOR A SEJARAH DAN MATEMATIK, ENDOWMEN MPPD PACU KECEMERLANGAN AKADEMIK
PORT DICKSON, 17 Oktober 2026 – Seramai 100 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sekolah-sekolah di seluruh daerah Port Dickson menyertai Bengkel Skor A SPM bagi mata pelajaran Sejarah dan Matematik di bawah Inisiatif Endowmen Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang berlangsung pagi tadi.
Program ini turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Hasnor bin Abd Hamid, Yang Dipertua MPPD. Turut hadir ialah Dr. Ida Salwani binti Ameer Hamzah, SISC+ Sains dan Matematik, yang mewakili Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson.
Berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, bengkel ini memberi tumpuan kepada penguasaan teknik menjawab soalan, strategi memaksimumkan markah dan pengurusan masa yang sistematik bagi membantu calon membuat persediaan lebih mantap serta menghadapi peperiksaan SPM dengan lebih yakin.
Bagi mata pelajaran Sejarah, sesi dikendalikan oleh Encik Mohamad Taib bin Abdullah, yang pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang. Beliau berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam membimbing calon memahami kehendak soalan serta mengaplikasikan teknik menjawab soalan berstruktur dan esei secara tepat, terancang dan berkesan.
Sementara itu, sesi Matematik dikendalikan oleh Puan Umi Baizura binti Zulkafli, seorang pendidik berpengalaman luas dengan kepakaran dalam penilaian dan pentaksiran mata pelajaran Matematik. Perkongsian beliau memberi penekanan kepada pendekatan penyelesaian masalah, strategi menjawab soalan secara sistematik serta pengurusan masa yang berkesan bagi membantu calon meningkatkan ketepatan jawapan dan memaksimumkan pencapaian dalam peperiksaan SPM.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen Endowmen MPPD untuk memperluas peluang pendidikan kepada pelajar yang berpotensi, khususnya mereka daripada keluarga kurang berkemampuan. Inisiatif ini bertujuan memastikan latar belakang sosioekonomi tidak menjadi penghalang kepada usaha pelajar untuk meningkatkan pencapaian akademik dan merealisasikan potensi diri. Melalui sokongan pembelajaran yang bersasar, para pelajar diberi peluang untuk memperkukuh penguasaan mata pelajaran, membina keyakinan diri dan membuat persediaan lebih baik bagi mencapai keputusan SPM yang cemerlang.
Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti, Endowmen MPPD terus menjadi wadah tanggungjawab sosial dalam memperluas akses kepada pembelajaran berkualiti, menyantuni keperluan komuniti dan membina asas masa depan generasi yang berilmu, berkemahiran serta berdaya saing.
Sehubungan itu, MPPD mengalu-alukan sumbangan daripada individu, organisasi dan pihak korporat bagi memperkukuh kesinambungan Inisiatif Endowmen MPPD, sekali gus memperluas manfaatnya kepada lebih ramai penerima dan membuka ruang kepada lebih banyak peluang pendidikan yang bermakna.
ENDOWMEN MPPD — MENYANTUNI HARI INI, MEMBINA GENERASI ESOK.
Untuk Sumbangan:
https://www.facebook.com/share/p/1EuYTgiJrs/?mibextid=wwXIfr