25/09/2026
Program Hari Cuci Malaysia 2026 merupakan inisiatif nasional anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam usaha memperkasa budaya kebersihan serta kelestarian alam sekitar di seluruh negara. Inisiatif ini turut mendapat sokongan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan dilaksanakan di peringkat kementerian menerusi kerjasama strategik bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Bakal berlangsung pada 26 September 2026, program ini memilih Pantai Morib Baharu, Banting, Selangor sebagai lokasi utama pelaksanaan. Aktiviti pembersihan pantai menjadi fokus utama bagi memastikan kebersihan dan keindahan ekosistem pesisir pantai terus terpelihara, sekali gus mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan selesa untuk dinikmati oleh masyarakat.
Lebih istimewa, program ini turut disasarkan untuk mencipta rekod baharu dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi usaha pengumpulan sisa sampah terbanyak dalam tempoh sehari. Selain berpotensi mencatatkan sejarah baharu, inisiatif gotong-royong ini menjadi wadah dalam menyemai semangat kesukarelawanan, meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar serta memupuk nilai keprihatinan dan tanggungjawab bersama.
Dalam konteks pembinaan Negara Bangsa, program ini membawa mesej yang lebih besar daripada sekadar usaha menjaga kebersihan. Penglibatan bersama warga kerja dalam aktiviti gotong-royong mencerminkan semangat kebersamaan, kesukarelawanan, jati diri dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Persekitaran yang bersih dan lestari bukan sahaja mencerminkan kualiti kehidupan masyarakat, malah menjadi sebahagian daripada pembentukan masyarakat yang mempunyai kesedaran sivik dan rasa memiliki terhadap negara.
Semangat gotong-royong yang menghimpunkan individu daripada pelbagai latar belakang turut menjadi cerminan perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara. Melalui interaksi dan kerjasama dalam satu matlamat yang sama, nilai saling menghormati, toleransi, prihatin dan kerjasama dapat terus dipupuk, sekali gus memperkukuh hubungan antara warga kerja serta membina masyarakat yang lebih inklusif dan harmoni.
Inilah semangat Negara Bangsa apabila setiap rakyat memainkan peranan, menjaga kepentingan bersama dan bersama-sama membina Malaysia yang bersih, harmoni, lestari dan sejahtera untuk generasi kini dan akan datang.
Aaron Ago Dagang
Yuneswaran Ramaraj
Haslina Abdul Hamid
Sobri Daud
Jabatan Penerangan Negeri Selangor