01/04/2026
MAJLIS BERBUKA PUASA WISMA PERWIRA PUSPAHANAS TAHUN 2026
Putrajaya, 5 Mac 2026 — Wisma Perwira Pusat Pengajian Pertahanan Nasional telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Tahun 2026 bertempat di IOI Palm Garden Golf Club, Putrajaya sempena Ramadan 1447H. Majlis ini menghimpunkan pegawai daripada Markas Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), MKN, MPAT dan MTAT dalam suasana penuh harmoni bagi mengeratkan silaturahim serta memperkukuh semangat kebersamaan warga wisma.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran seramai sepuluh orang pelajar tahfiz termasuk seorang penjaga dari STAY ATM yang dijemput khas bagi bersama-sama memeriahkan majlis. Kehadiran anak-anak yatim ini menzahirkan keprihatinan warga wisma dalam menyantuni golongan yang memerlukan serta menyemarakkan lagi keberkatan Ramadan melalui amalan kebajikan dan kebersamaan.
Atur cara majlis bermula dengan ketibaan para pegawai diikuti ketibaan barisan kepimpinan tertinggi. Majlis seterusnya menerima keberangkatan hadir Laksmana Madya Datuk Sabri bin Zali, Presiden PUSPAHANAS merangkap Penaung Wisma Perwira PUSPAHANAS.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa dan para hadirin berbuka puasa beramai-ramai sebelum menunaikan solat Maghrib.
Selesai jamuan, majlis diteruskan dengan ucapan oleh Yang Dipertua Wisma Perwira PUSPAHANAS, Brigedier Jeneral Mohd Kamil bin Hj Abdul Latiff. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli wisma yang hadir serta menegaskan bahawa majlis iftar ini bukan sekadar acara berbuka puasa, malah merupakan platform memperkukuh ukhwah dan semangat kekitaan dalam kalangan pegawai.
Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan wakil pegawai yang bertukar keluar dan bersara yang disampaikan oleh Komandan MTAT, Brigedier Jeneral Zamsari bin Abu Hasan. Beliau mewakili pegawai yang diraikan merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatan serta menzahirkan kenangan bermakna bersama warga PUSPAHANAS.
Seterusnya, majlis menyaksikan penyampaian cenderamata kepada pegawai yang akan bertukar keluar dan pegawai yang menamatkan perkhidmatan sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.
Majlis turut diserikan dengan sambutan hari ulang tahun kelahiran Presiden PUSPAHANAS serta penyampaian cenderamata kenangan daripada wakil Markas dan Maktab-maktab sebagai tanda penghargaan.
Acara diteruskan dengan ucapan oleh Presiden sebelum para hadirin menunaikan solat Isyak. Majlis kemudiannya dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah yang mendapat sambutan hangat daripada para hadirin sebelum berakhir pada jam 10.00 malam.
Penganjuran majlis seumpama ini mencerminkan komitmen Wisma Perwira dalam memupuk nilai kebersamaan, memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga PUSPAHANAS.
Artikel: Mej Shahrol Ariffin bin Mohd Aris
Gambar: Kpl Mohd Haziq bin Abdul Karim
11/03/2026
WARGA PUSPAHANAS PERKASA IKRAR BEBAS RASUAH (IBR)
PUTRAJAYA, 26 Februari 2026 – Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) telah disempurnakan oleh YBhg Presiden, Laksdya Datuk Sabri bin Zali di Auditorium Utama, PUSPAHANAS hari ini.
Seramai 89 pegawai, 135 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dan 77 staf awam serta 210 Penuntut Kursus dari ketiga-tiga maktab terlibat dalam majlis ini yang bertujuan untuk menzahirkan komitmen berterusan warga PUSPAHANAS dalam menolak amalan rasuah serta mengamalkan tadbir urus berintegriti selaras nilai profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia.
Hadir sama, Ketua Staf, Mej Jen Dato’ Ts Muhammad Syafiq Poh bin Abdullah, Komandan- komandan pusat latihan bawah naungan serta barisan pegawai, anggota LLP dan staf awam PUSPAHANAS.
19/02/2026
MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS YANG DIPERTUA WISMA, PERLAWANAN SNOOKER DAN HAPPY HOUR WISMA PERWIRA PUSPAHANAS
Putrajaya, 13 Februari 2026 - Wisma Perwira Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (WP PUSPAHANAS) telah menganjurkan Majlis Serah Terima Tugas Yang Dipertua (YDP) Wisma yang digabungkan dengan Majlis Happy Hour yang bertempat di Dewan Makan serta perlawanan snooker di Bilik Rekreasi WP PUSPAHANAS. Majlis ini menghimpunkan pegawai dan ahli wisma dalam suasana santai bagi mengeratkan hubungan sesama warga.
Majlis dimulakan dengan acara serah terima tugas YDP Wisma sebagai tanda kesinambungan kepimpinan dalam menjaga kebajikan dan pengurusan wisma. Dalam upacara tersebut, Kolonel Baharin bin Bais menyerahkan tugas kepada Brigedier Jeneral Mohd Kamil bin Hj Abdul Latiff sebagai simbol rasmi pertukaran tanggungjawab. Acara ini disaksikan oleh Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali, Presiden PUSPAHANAS merangkap penaung WP PUSPAHANAS sebagai tanda sokongan kepimpinan tertinggi terhadap peranan wisma.
Dalam ucapannya, YDP Wisma merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu atas segala sumbangan yang telah diberikan. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa baharu serta menyatakan keyakinan bahawa mereka mampu meneruskan pengurusan wisma dengan lebih baik melalui semangat kerjasama.
Majlis turut diserikan dengan sambutan hari lahir ahli wisma bagi bulan Februari dan acara cabutan bertuah. Perlawanan snooker yang diadakan menjadi aktiviti santai yang merapatkan hubungan antara ahli serta memupuk semangat kesukanan. Pasukan MPAT telah muncul sebagai juara manakala pasukan PUSPAHANAS mendapat tempat kedua.
Penganjuran majlis seperti ini menunjukkan usaha Wisma Perwira dalam memupuk ukhuwah, meningkatkan komunikasi dan mengeratkan semangat kekitaan dalam kalangan warga Pusat Pengajian Pertahanan Nasional.
11/02/2026
BENGKEL AKHIR KAJIAN PENGGABUNGAN PUSAT-PUSAT LATIHAN PERKHIDMATAN
Port Dickson, 5 Februari 2026 - Pelaksanaan Kajian Penggabungan Pusat-Pusat Latihan Perkhidmatan merupakan satu inisiatif dalam usaha memperkukuhkan sistem pendidikan dan latihan ATM agar lebih bersepadu, relevan serta selari dengan keperluan operasi semasa. Kajian ini dilaksanakan bagi menilai keberkesanan dan kesesuaian penggabungan tersebut sebagai langkah memperkasakan pembangunan modal insan, meningkatkan kecekapan penggunaan sumber serta menyokong keupayaan pelaksanaan operasi bersama.
Selaras dengan hasrat tersebut, bengkel akhir telah dilaksanakan di Pusat Pengaman Malaysia dengan kehadiran Ketua Pengarah Pengurusan dan Latihan MPPLD ATM serta melibatkan penyertaan wakil daripada MATM-BOLP, Cawangan Latihan MPPLD ATM, MK PLDTD, MPLD TLDM dan MPPLU. Pelaksanaan bengkel ini bertujuan memastikan kesahihan dan ketepatan maklumat serta data yang diperoleh, seterusnya memuktamadkan dapatan kajian secara menyeluruh dan komprehensif.
Pelaksanaan bengkel ini diharap dapat menghasilkan dapatan yang holistik sebagai rujukan dalam penetapan resolusi yang bakal diputuskan. Oleh yang demikian, komitmen dan kerjasama berterusan daripada semua pemegang taruh amat penting dalam menyokong usaha penambahbaikan sistem pendidikan serta latihan ATM secara berterusan.
Artikel: Kdr Ahmad Redhuan bin Osman TLDM
Gambar: Mej Shahrol Ariffin Mhd Aris
09/02/2026
MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS PEGAWAI STAF 1 RANCANG CAWANGAN LATIHAN PUSPAHANAS
Putrajaya, 9 Februari 2026 – Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Staf 1 Rancang Cawangan Latihan PUSPAHANAS telah dilaksanakan dengan sempurna dalam satu acara ringkas namun penuh bermakna sebagai simbol kesinambungan kepimpinan dan amanah dalam memastikan kelancaran pengurusan latihan di PUSPAHANAS.
Majlis tersebut menyaksikan penyerahan tugas daripada Lt Kol Norhisam bin Miskon yang akan bertukar keluar bagi memegang jawatan sebagai Pegawai Staf 1 TKC di MK ATM BPA berkuat kuasa mulai 7 Januari 2026 kepada penggantinya, Lt Kol Kamarulrazaimi bin Abd Razak.
Acara serah terima ini telah disaksikan oleh Kol Nizam bin Haji Che Ani TUDM, Pengarah Latihan PUSPAHANAS serta dihadiri oleh pegawai-pegawai, LLP dan staf awam Cawangan Latihan.
Dalam majlis tersebut, warga PUSPAHANAS turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Lt Kol Norhisam bin Miskon atas dedikasi, komitmen serta sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Pegawai Staf 1 Rancang. Kepimpinan dan pengalaman yang dicurahkan telah memberi impak signifikan terhadap pembangunan serta penyelarasan aspek latihan di peringkat cawangan.
Pada masa yang sama, warga cawangan menzahirkan ucapan selamat datang kepada Lt Kol Kamarulrazaimi bin Abd Razak serta berharap kesinambungan kecemerlangan organisasi akan terus diperkasakan melalui kepimpinan beliau.
Seterusnya, Lt Kol Norhisam bin Miskon telah di temuduga keluar oleh Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali, Presiden PUSPAHANAS. Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan PUSPAHANAS dalam memastikan proses peralihan tugas dilaksanakan secara teratur, profesional dan berlandaskan tradisi ketenteraan.
Artikel: Mej Shahrol Ariffin bin Mhd Aris
Gambar: Kpl Mohd Haziq bin Abdul Karim
05/02/2026
MESYUARAT PENGURUSAN LATIHAN SIRI 1/26
Putrajaya, 4 Februari 2026 – Pendidikan dan latihan merupakan komponen teras dalam pembangunan keupayaan ATM. Melalui pelaksanaan latihan yang dirancang secara sistematik, anggota ATM dilengkapkan dengan pengetahuan, kemahiran serta kecekapan yang diperlukan bagi melaksanakan operasi ketenteraan merentasi pelbagai spektrum, sama ada dalam situasi aman, krisis mahupun konflik bersenjata.
Mengambil kira situasi tersebut, Mesyuarat Pengurusan Latihan telah diwujudkan dan dilaksanakan sebanyak dua kali setahun sebagai platform perbincangan yang konstruktif melibatkan semua Maktab dan Pusat Latihan ATM di bawah naungan Markas Pemerintahan, Latihan dan Doktrin ATM (MPPLD ATM) bagi menyokong usaha penambahbaikan berterusan sistem pendidikan dan latihan ATM.
Mesyuarat kali ini telah dipengerusikan oleh Panglima PLD dan dihadiri oleh pengurusan MPPLD ATM serta wakil-wakil Maktab dan Pusat Latihan ATM. Antara perkara utama yang dibincangkan merangkumi pembentangan Dasar Pendidikan dan Latihan ATM, Rancangan Pengurusan Latihan, pelaksanaan evaluasi serta pembentangan berkaitan TRADOC Training Exercise, analisis Knowledge and Skill Gap dan Rancangan Pasukan (Intervention Plan).
Secara keseluruhannya, mesyuarat ini menjadi platform penting dalam memperkukuh tadbir urus serta mencerminkan komitmen berterusan ATM dalam mempertingkatkan kualiti pendidikan dan latihan melalui pendekatan yang terancang, bersepadu dan berorientasikan penambahbaikan berterusan demi menjamin kesiapsiagaan angkatan.
Artikel: Kdr Ahmad Redhuan bin Osman TLDM
Gambar: Mej Shahrol Ariffin Mhd Aris
29/01/2026
PAMERAN DAN JUALAN SEMPENA HARI TERBUKA PERPUSTAKAAN PUSPAHANAS
Jumpa kami pada:
🗓️ 29 Januari 2026 (Khamis)
⏰ 8.30 pagi – 4.30 petang
"MALAYSIA MADANI"
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
"BANGSA MEMBACA BANGSA BERJAYA"
Perpustakaan PUSPAHANAS
☎ : +603 4013 4517
📫 : [email protected]
26/01/2026
Putrajaya, 23 Januari 2026 - Dalam dunia yang kian bergolak dan sarat dengan ketidaktentuan geopolitik, keselamatan bukan lagi sekadar isu ketenteraan, tetapi suatu imbangan strategik yang menuntut kebijaksanaan, kerjasama dan visi jangka panjang. PUSPAHANAS Lecture Series yang telah berlangsung di Auditorium Utama telah mengangkat realiti ini menerusi syarahan oleh Mrs. Gwendoline Vamos, Head of the Indo-Pacific Deparment in the Political Affairs and Security Policy Division, NATO Headquarters, Brussels bertajuk "NATO's Role in Today's International Security Environment"'.
Mrs. Vamos telah menghuraikan bagaimana mandat NATO telah berevolusi, melangkaui pakatan pertahanan tradisional kepada sebuah organisasi yang proaktif dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan global. Lebih daripada sekadar wacana dasar, syarahan ini membuka ruang refleksi mendalam tentang implikasi politik dan keselamatan NATO terhadap kestabilan serantau dan global. Ia mengajak para peserta berfikir secara strategik, menilai peluang kerjasama dan memahami diplomasi pertahanan dalam keselamatan antarabangsa yang kompleks. Sesi ini bukan sahaja memperkayakan wacana profesional, malah menyuntik perspektif bernilai kepada semua yang hadir bahawa dalam dunia yang rapuh oleh persaingan dan ketegangan, keamanan tetap boleh dipelihara melalui kefahaman strategik, dialog berterusan dan komitmen kolektif. Para peserta turut berpeluang berinteraksi secara eksklusif dalam sesi soal jawab yang dikendalikan oleh Prof Dr Adam Leong Kok Wey, Felo Kehormat Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT).
22/01/2026
Putrajaya, 21 Januari 2026 - Hari Pengajian Pegawai (HPP) Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) telah mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya dilaksanakan di Auditorium Utama hari ini. Penganjuran ini merupakan usaha memperkukuh ekosistem pembelajaran dan pembangunan intelektual dalam kalangan warga PUSPAHANAS.
HPP diwujudkan sebagai sebuah platform pembelajaran berterusan, perkongsian ilmu serta perbincangan isu-isu semasa yang relevan dengan landskap keselamatan dan pertahanan negara. Program ini menghimpunkan warga kerja PUSPAHANAS yang terdiri daripada anggota ATM dan awam, sekali gus mewujudkan ruang interaksi merentas perkhidmatan dan latar profesional.
Melalui pendekatan ini, HPP berperanan memperkayakan keilmuan, memperhalusi pemikiran strategik serta meningkatkan keupayaan analitik warga dalam menilai cabaran semasa. Secara tidak langsung, inisiatif ini menyumbang kepada pembinaan budaya ilmu yang dinamik, progresif dan berteraskan pemikiran kritikal dalam kalangan warga PUSPAHANAS.
Bagi penganjuran sulung ini, HPP menampilkan Kolonel Nizam bin Hj Che Ani TUDM, Pengarah Latihan PUSPAHANAS sebagai pembentang dengan topik “Air Power”. Secara keseluruhannya, penganjuran HPP ini mencerminkan komitmen PUSPAHANAS dalam melahirkan warga profesional yang berpengetahuan luas, berfikiran strategik dan bersedia menghadapi cabaran pertahanan masa hadapan melalui pengukuhan budaya ilmu dan kecemerlangan intelektual.
Artikel: Kdr Ahmad Redhuan bin Osman TLDM
Gambar: Kpl Mohd Haziq bin Abdul Karim
09/01/2026
Pulau Pinang , 8 Januari 2026 – Bengkel Kajian Penggabungan Pusat Latihan ATM telah berjaya dilaksanakan di Pusat Hospitaliti Tentera Udara (PHU), Tg Bungah, Pulau Pinang bermula 5 hingga 8 Januari 2026. Penganjuran bengkel ini merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Infrastructure Readiness Assessment Road Show yang sebelum ini telah dilaksanakan di kolej serta pusat latihan di bawah naungan markas pemerintahan pendidikan dan latihan setiap perkhidmatan.
Bengkel ini menghimpunkan penyertaan pegawai-pegawai daripada MATM-BOLP, PUSPAHANAS, MK PLDTD, MPLD TLDM dan MPPLU. Turut serta ialah Ketua Sekolah serta Jurulatih Kanan daripada kolej serta pusat latihan perkhidmatan, antaranya Kolej PTT–ATD yang melibatkan Divisyen Kerani, Logistik dan Jasmani, PULMAT, PUZIDA, PULNORD, PULAPOT, KD PELANDOK yang melibatkan Fakulti Pelaut dan Fakulti Bekalan, INSTAR, PHU dan INSMAT. Penyertaan menyeluruh ini mencerminkan komitmen bersama ATM dalam menilai penstrukturan semula sistem latihan secara holistik dan bersepadu.
Objektif utama bengkel ini adalah untuk mengkonsolidasikan dapatan semasa Road Show yang telah dilaksanakan di samping menjalankan perbandingan kursus serta modul/silibus latihan sedia ada berdasarkan keperluan tugas dan kepakaran Tred Perkhidmatan. Perbincangan turut memfokuskan kepada penentuan kesesuaian kursus yang berpotensi untuk ditawarkan secara silang kepada perkhidmatan lain selaras dengan aspirasi memperkukuh interoperabiliti dan kecekapan sumber dalam ATM.
Selain itu, bengkel ini turut menilai secara menyeluruh implikasi dan impak pengoperasian pusat latihan sekiranya cadangan penggabungan direalisasikan. Penilaian tersebut merangkumi aspek gerak, tadbir urus serta sokongan logistik bagi memastikan sebarang pelaksanaan penggabungan kelak tidak menjejaskan keberkesanan latihan, kebajikan dan kesiapsiagaan operasi ATM secara keseluruhan.
Secara keseluruhannya, penganjuran Bengkel Kajian Penggabungan Pusat Latihan ATM ini menjadi platform strategik dalam memperhalusi cadangan penstrukturan latihan ATM yang lebih efisien, mampan dan berorientasikan keperluan masa hadapan. Hasil perbincangan dan dapatan bengkel dijangka menjadi asas penting kepada perancangan dan keputusan strategik JK PEMAMPAN dalam usaha memperkukuh ekosistem latihan ATM secara bersepadu.
Artikel: Kdr Ahmad Redhuan bin Osman TLDM, PUSPAHANAS
Gambar: Kpl (U) Muhamad Hairie bin Ramli, PHU
24/12/2025
Admin serta warga PUSPAHANAS mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada masyarakat beragama Kristian yang menyambutnya.
Sambutan Hari Natal merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Kristian, yang menyatukan ahli keluarga mereka, saudara mara mereka dan sahabat handai mereka sama ada yang jauh mahu pun yang dekat dalam mereka meraikan kemeriahannya.